Connect with us

Review Sony RX100M3. Kamera Point & Shoot Yang Sempurna

Umum

Review Sony RX100M3. Kamera Point & Shoot Yang Sempurna

RX100 merupakan model kamera kompak paling hebat yang pernah dikeluarkan Sony setakat hari ini. Bermula dari RX100 kemudian dengan RX100 II, model kamera kompak ini sentiasa mendapat tempat di hati ramai penggemar fotografi dan paling hebat menerima pujian melangit dari ramai reviewer di Internet dan juga penggunanya. Tidak dinafikan ianya membuktikan kehebatan dan kemajuan Sony dalam menghasilkan kamera sekecil ini tetapi mampu menjadi pesaing rapat kepada DSLR yang bersaiz jauh lebih besar dan juga berat.

Dengan populariti sedia ada, tahun ini Sony melancarkan kemaskini terbaru bagi kamera ini iaitu RX100 III atau RX100M3 yang telah mula dijual di Malaysia beberapa bulan lalu pada harga RM2,999. OhMedia telah mendapatkan kamera ini pada hari pertama ianya mula dijual dan kami ada berkongsi sedikit sebanyak di Facebook, Twitter dan Instagram, namun atas permintaan kami akan berkongsi lebih lanjut tentang kamera ini secara lebih dekat di dalam artikel kali ini.

Walaupun harga tersebut mungkin agak mahal pada sesetengah orang, namun jika anda meminati bidang fotografi tetapi malas untuk membawa DSLR yang bersaiz besar, kamera kompak seperti RX100M3 ini merupakan pilihan yang sangat genius. Ianya muat untuk masuk ke dalam poket anda, ianya ringan tetap solid dan binannya juga cukup premium dan berkualiti tinggi.

Ianya merupakan kamera utama yang Oh! Media gunakan ketika ini untuk merakam video, mengambil gambar, dan juga sebagai senjata utama untuk beberapa gambar di Instagram yang mana sebelum ini semuanya kami lakukan menggunakan DSLR. Apa yang boleh kami katakan, ianya benar-benar pelaburan yang berbaloi untuk anda dan tiada mana-mana kamera “point & shoot” lain yang setaraf dengannya buat masa ini.

Fungsi Utama

– 20.1 megapixel 1″-type Exmor R BSI-CMOS sensor
– 24-70mm equiv. F1.8-2.8 Carl Zeiss Vario-Sonnar T* lens
– Pop-up SVGA OLED electronic viewfinder with 1.44M dots
– 3-inch tilting WhiteMagic LCD with 1.23M dots
– 1080/60p video with full sensor readout and 50Mbps XAVC S support
– Clean HDMI output
– Zebra pattern and focus peaking
– Customizable front lens ring
– 3-stop neutral density filter
– Wi-Fi with NFC and downloadable apps
– 320 shots per charge (CIPA standard)

Kami tidak ingin bercerita tentang spesifikasi di atas dengan lebih mendalam kerana anda boleh baca sendiri dari website Sony, namun berikut adalah beberapa fungsi yang menarik pada kamera ini menurut pandangan kami di Oh! Media yang akan disampaikan dalam gaya bahasa dan ‘term’ yang cukup mudah difahami.

Electronic Viewfinder (EVF)

Biarpun kamera ini mempunyai paparan skrin yang sangat baik samaada waktu gelap atau terang, namun kewujudan EVF tetap memberikan satu kelebihan kepada penggunanya. Hanya tarik butang di tepi, dan EVF akan keluar dan membolehkan skrin dilihat melalui EVF tersebut. Ini menjadikannya seakan-akan DSLR biarpun pada saiz yang sangat kompak.

Skrin Boleh Laras

Gambar kredit untuk slrlounge.com

Berbanding keluaran RX100 dan RX100M2 sebeleum ini, RX100M3 datang dengan skrin yang boleh dilaras. Ianya boleh dipusing sehingga 180 darjah dalam apa-apa juga posisi. Ini membolehkan anda mengambil gambar dengan mudah dalam apa jua posisi tanpa perlu sampai berguling atas tanah untuk dapat hasil gambar dari bawah. Hehe!

Jika kamera dan skrin diposisikan ke arah anda, mode selfie dengan timer 3 saat akan diaktifkan. Dengan skrin yang wide dan cantik, pengalaman selfie anda juga akan jauh lebih indah. Heh.

Menghantar Gambar Ke Smartphone Cukup Mudah!

Kelebihan yang ada pada RX100M3 ini sama sahaja jika anda pernah menggunakan QX-100. Gambar yang telah diambil menggunakan kamera ini, boleh dihantar dengan cukup mudah ke smartphones anda tak kiralah guna Android atau iOS dengan menggunakan applikasi PlayMemories.

Jika di Android, pilih gambar yang diinginkan dan dekatkan sahaja smartphones dengan kamera ini dan NFC akan memainkan peranan untuk menghubungkan kedua-dua peranti dan proses perpindahan gambar terus dijalankan.

Untuk iPhone atau iPad pula, pilih gambar yang ingin dipindahkan kemudian buka setting WiFi di iPhone/iPad anda dan connect kepada point WiFi RX100M3 ini. Selepas berjaya dihubungkan, gambar akan ditransfer terus ke peranti anda.

Menariknya gambar yang dipindahkan boleh di’import dalam saiz 2M ataupun saiz original. Ini membolehkan anda berkarya atau ingin berkongsi di Facebook serta Instagram dengan lebih mudah.

Contoh gambar:

Berikut adalah gambar random yang dimuat-naik ke dalam review ini. Anda boleh klik gambar-gambar berikut untuk paparan yang lebih besar. Saiz asal adalah 5427 x 3648 dan kami resize kepada 1000 x 667. Semua gambar tidak diberi sebarang sentuhan.

Kamera ini sememangnya mampu mengambil gambar yang cantik tanpa sebarang noise di tempat yang gelap dan tidak cukup cahaya. Ianya juga mampu mengambil gambar RAW. Hasil gambar yang diambil kualitinya sukar nak dibezakan dengan DSLR high-end yang jauh lebih mahal.

Contoh Video:

Berikut adalah contoh-contoh video yang dirakamkan menggunakan kamera ini sepenuhnya. Tontonlah dalam format HD ya?

Percayalah cakap kami, selepas anda memiliki dan biasa menggunakan kamera ini, lebih banyak fungsi yang akan diketahui dari hari ke hari. Ianya sememangnya kamera point & shoot yang amat menakjubkan dan anda takkan lagi berselera untuk mengambil gambar dengan smartphones untuk berkongsi ke Facebook atau Instagram tanpa menggunakan hasil gambar dari kamera ini.

Jadi adakah kamera ini menarik minat anda? Tepuk dada tanyalah selera.

– Gambar, video, dan artikel oleh Khai Hassan.

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top