Connect with us

Oh! Media

Nazril Hisham – Seorang Lagi Rakyat Malaysia Dilaporkan Cedera Dalam Serangan

Umum

Nazril Hisham – Seorang Lagi Rakyat Malaysia Dilaporkan Cedera Dalam Serangan

Terdapat kemungkinan seorang lagi rakyat Malaysia cedera dalam serangan pengganas di Christchurch pada Jumaat, menjadikan jumlah kesemuanya tiga orang.

ADVERTISEMENT

Prof. Madya Dr. Zurinawati Mohyi berkata, beliau diberitahu oleh seorang rakan yang tinggal di New Zealand bahawa suaminya, Nazril Hisham Omar, 46, cedera dalam insiden tembakan di masjid yang sehingga kini mengorbankan 49 nyawa.

“Saya tak pasti bagaimana keadaan suami saya, cuma saya dapat khabar dia cedera. Dan saya baru saja pulang dari sana pada Selasa lepas,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Zurinawati berkata, suaminya dan tiga anak mereka yang masih bersekolah, Muhammad Haqiem Daniel, 18, Muhammad Hazieq Daniel, 14, dan Muhammad Hazriq Daniel, 10, tinggal di bandar raya di New Zealand itu sejak dua bulan lepas.

Terdahulu, Wisma Putra menyatakan dua rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu, dengan media tempatan mengenal pasti mereka sebagai Mohd. Tarmizi Shuib dan Rahimi Ahmad.

Zurinawati, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam itu berkata, beliau sedang dalam tugas rasmi membawa pelajarnya melawat sebuah universiti di Thailand ketika menerima perkhabaran itu hari ini.

“Kira-kira pukul 10 pagi waktu Hatyai, seorang pensyarah pengiring yang bersama saya mendapat panggilan telefon daripada bekas rakan universiti di New Zealand dan memaklumkan apa yang terjadi.

“Betapa risaunya saya bila dapat perkhabaran suami cedera dan bila saya cuba hubungi anak-anak pula tiada jawapan,” katanya.

Bagaimanapun, Zurinawati menarik nafas lega tidak lama kemudian apabila seorang rakannya di Christchurch memaklumkan telah membawa pulang anak-anaknya (Zurinawati) dari sekolah.

“Anak saya yang ketiga cuba menghubungi telefon bimbit ayahnya tetapi panggilan disambut oleh jururawat. Dan apabila rakan kami ke hospital, mereka tidak dibenarkan masuk.

“Jadi saya benar-benar tidak pasti bagaimana keadaan suami saya ketika ini,” tambahnya dalam nada sebak.

Pasangan itu yang mempunyai empat orang anak berkata, anak sulung mereka Muhammad Haiqal Daniel, 20, sedang melanjutkan pelajaran di UiTM Pulau Pinang.

“Saya harap dapat segera tiba di Malaysia untuk menguruskan apa-apa yang perlu. Saya akan ke New Zealand esok bersama anak sulung saya,” katanya yang menaiki van dalam perjalanan pulang ke Malaysia.

Media hari ini melaporkan kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch itu menyebabkan sekurang-kurangnya 49 maut setakat ini dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam apa yang disifatkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern sebagai serangan pengganas.

Berita penuh: Bernama

+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas