Connect with us

Mufti: Laungan Takbir Sempena Pertabalan Sultan Pahang

Umum

Mufti: Laungan Takbir Sempena Pertabalan Sultan Pahang

Soalan:
Apa pandangan berkenaan cadangan Sultan Pahang yang baru Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang menitahkan supaya kalimah Allahu Akbar (الله أكبر) yang bermaksud Allah Maha Besar dilaungkan pada istiadat pemasyhuran Baginda sebagai Sultan Pahang yang keenam di Istana Abu Bakar pada 15 Januari?

Jawapan:
Kami mulakan dengan melafazkan Alhamdulillah atas pemasyhuran Baginda Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah sebagai Sultan Pahang keenam pada hari ini dan semoga ianya membawa kebaikan dan keberkatan kepada negeri Pahang Darul Makmur khasnya dan Malaysia amnya.

Menjawab persoalan di atas, kami dapati ia adalah satu tindakan dan acara yang amat baik dan terpuji. Ini kerana perubahan yang dilakukan setidak-tidaknya mengingatkan kita kepada Allah SWT yang bersifat Maha Agung dan Maha Besar.

Takbir dari sudut bahasa bermaksud mengagungkan, sebagaimana yang disebut dalam al-Qur’an al-Karim:

وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ
Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah akan kebesaranNya! [Surah Al-Muddathir (3)]

Dengan maksud hendaklah kamu agungkan Tuhanmu dan dikatakan dengan kalimah Allahu Akbar (الله أكبر). Diriwayatkan juga bahawa tatkala turunnya ayat ini Rasulullah SAW terus menyeru “Allahu Akbar!” (الله أكبر). Maka Saidatina Khadijah R.Anha juga bertakbir dan dia amat sukacita dan yakin bahawa itu merupakan satu wahyu. (Rujuk Kitab al-Inayah ‘ala al-Hidayah, 1/239)

Maksud Takbir ‘Allahu Akbar’ (الله أكبر)

Saidina Ali bin Abi Talib RA telah mensyarahkan banyak makna berkenaan dengan ibarat Allahu Akbar (الله أكبر). Antaranya dengan makna bahawa Allah SWT sahaja yang kekal dan pada setiap sesuatu yang lain adalah binasa. Dia-lah Allah yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu dan tidak menyegerakan hukuman atau azab kerana kemuliaan dan kasih sayang-Nya.

Menurut Imam al-‘Izz ibn Abd al-Salam, maksud takbir ialah lafaz pujian yang dipuji dengannya Tuhan dan diagungkan-Nya. (Rujuk Qawaid al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 2/66)

Takbir mempunyai banyak hukum sama ada ketika solat atau di luar daripada solat. Secara umumnya, antara keadaan dan waktu yang sunat dilakukan takbir ketika di luar solat ialah:

  • Takbir ketika azan
  • Takbir ketika iqamah
  • Takbir selepas solat sebagai wirid
  • Takbir dalam perjalanan ke tempat solat hari raya
  • Takbir sewaktu hari-hari Tasyriq
  • Takbir ketika sai’e antara Safa dan Marwah
  • Takbir sewaktu wuquf di ‘Arafah
  • Takbir sewaktu melontar Jamrah
  • Takbir ketika melihat anak bulan Ramadhan
  • Takbir ketika menyembelih dan memburu
  • Tawaf di sisi Hajar al-Aswad

(Rujuk al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/212-216

Takbir di Tempat Tinggi

Selain itu, terdapat juga beberapa keadaan yang disunatkan kita bertakbir iaitu tatkala kita berada di tempat yang tinggi, atau dalam suasana yang penuh dengan kemuliaan.

Kata Abdullah Bin Jabir RA:

كُنَّا إِذَا صَعِدْنَا كَبَّرْنَا وَإِذَا تَصَوَّبْنَا سَبَّحْنَا
“Apabila kami mendaki kami bertakbir, apabila turun kami bertasbih.” [Sahih al-Bukhari (2994)]

Imam al-Bukhari meletakkan athar ini di bawah bab bertakbir jika naik ke tempat tinggi lagi mulia (باب التكبير إذا علا شرفا). Kata Imam al-‘Aini, iaitu tempat yang tinggi dan mulia. (Rujuk ‘Umdah al-Qari, 14/245)

Ini juga boleh membawa maksud jika seseorang itu naik atau diangkat untuk duduk di tempat yang mempunyai kedudukan seperti takhta dan sebagainya, maka tiada masalah baginya untuk bertakbir. Ini berdasarkan keumuman athar yang disebutkan oleh Jabir RA.

Dalam riwayat lain, Abdullah Bin Umar R.Anhuma menyatakan :

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا قَفَلَ مِنْ الْحَجِّ أَوْ الْعُمْرَةِ وَلاَ أَعْلَمُهُ إِلاَّ قَالَ الْغَزْوِ يَقُولُ كُلَّمَا أَوْفَى عَلَى ثَنِيَّةٍ أَوْ فَدْفَدٍ كَبَّرَ ثَلاَثًا ثُمَّ قَالَ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ سَاجِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ صَدَقَ اللَّهُ وَعْدَهُ وَنَصَرَ عَبْدَهُ وَهَزَمَ الأَحْزَابَ وَحْدَهُ
“Nabi SAW apabila pulang daripada haji atau umrah. Kata perawi: tidak aku ketahui melainkan Ibnu Umar berkata peperangan. Ibnu Umar berkata lagi: Setiap kali Baginda melalui lereng bukit atau naik ke tempat tinggi, Baginda akan bertakbir tiga kali kemudian berkata tiada Tuhan selain Allah Yang Maha Esa. Tiada sekutu bagi-Nya. Dialah Pemilik segalanya. Bagi-Nya pujian dan dialah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Kami pulang dalam keadaan kami bertaubat, kami menyerahkan diri dan kami bersujud. Kepada Tuhan kami memuji. Benarlah janji Allah. Dia akan menolong hamba-Nya dan mengalahkan pakatan dengan keesaan-Nya.” [Riwayat al-Bukhari (2995)]

Ibnu Hajar al-‘Asqalani menyebut bahawa bertakbir ketika naik ke tempat tinggi digalakkan kerana tempat yang tinggi itu adalah sesuatu yang sangat disukai oleh nafsu dan berkemungkinan boleh membawa kepada sifat takabbur. Maka digalakkan bagi sesiapa yang naik ke tempat yang tinggi untuk menyebut kebesaran Allah dan Allah Maha Besar daripada segalanya. Maka bertakbir itu adalah sebagai tanda syukur kepada Allah dan meminta agar ditambahkan kemuliaan. (Rujuk Fath Al-Bari, 11/188)

Di dalam satu riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa seorang lelaki berjumpa dengan Rasulullah SAW lalu berkata:

يَا رسول الله ، إنّي أُريدُ أنْ أُسَافِرَ فَأوْصِني ، قَالَ : عَلَيْكَ بِتَقْوَى اللهِ ، وَالتَّكْبِيرِ عَلَى كلِّ شَرَفٍ
“Wahai Rasulullah, aku ini ingin bermusafir. Berilah wasiat (nasihat) kepadaku. Rasulullah SAW bersabda: Wajib untuk engkau bertaqwa kepada Allah dan bertakbir pada setiap tempat yang tinggi.” [Riwayat al-Tirmizi (3445)]

Imam al-Tirmizi mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis hasan. Ibnu Allan al-Siddiqi pula menyebut bahawa yang dimaksudkan ialah bertakbir ketika naik ke tempat yang tinggi. (Rujuk Dalil al-Fallahin Syarh Riyadh al-Solihin, 6/299)

Takbir Ketika Perang

Daripada Anas R.A, katanya:

صَبَّحَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَيْبَرَ وَقَدْ خَرَجُوا بِالْمَسَاحِي عَلَى أَعْنَاقِهِمْ فَلَمَّا رَأَوْهُ قَالُوا هَذَا مُحَمَّدٌ وَالْخَمِيسُ مُحَمَّدٌ وَالْخَمِيسُ فَلَجَئُوا إِلَى الْحِصْنِ فَرَفَعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدَيْهِ وَقَالَ اللَّهُ أَكْبَرُ خَرِبَتْ خَيْبَرُ إِنَّا إِذَا نَزَلْنَا بِسَاحَةِ قَوْمٍ {فَسَاءَ صَبَاحُ الْمُنْذَرِينَ} وَأَصَبْنَا حُمُرًا فَطَبَخْنَاهَا فَنَادَى مُنَادِي النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يَنْهَيَانِكُمْ عَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ فَأُكْفِئَتْ الْقُدُورُ بِمَا فِيهَا
Nabi SAW berada di Khaibar pada waktu pagi ketika penduduk Khaibar sedang keluar dengan membawa alat pertanian yang dipikul di leher mereka. Tatkala mereka melihat Baginda SAW, mereka berkata: “Muhammad dan tenteranya, Muhammad dan tenteranya.” Lalu mereka berlindung di sebalik tembok. Lantas Nabi SAW mengangkat kedua belah tangan Baginda dan berkata: “Allahu Akbar, hancurlah Khaibar. Sesungguhnya kami apabila datang ke perkampungan suatu kaum, maka buruklah akibatnya pagi hari yang dialami orang-orang yang diberi peringatan.” Kemudian kami mengambil keldai-keldai sebagai harta rampasan perang) lalu kami memasaknya. Kemudian seorang wakil pihak Nabi SAW melaungkan: “Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah melarang kamu memakan daging-daging keldai.” Kemudian semua kuali masakan dan isinya ditumpahkan. [Riwayat al-Bukhari (2991)]

Mafhum daripada hadis ini bahawa Nabi SAW tatkala melihat musuh di Khaibar bertakbir dan berdoa. Ini menunjukkan penggunaan takbir ketika menghadapi musuh adalah sunnah Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW juga menggunakan kalimah takbir dalam Peperangan Badar dan Khaibar. Dengan sebab itulah Imam al-Bukhari telah menggesa supaya digunakannya ketika peperangan seperti yang ditajukkannya.

Sejarah yang Memulakan Takbir

Kalimah takbir dengan ‘Allahu Akbar’ (الله أكبر) digunakan pada tempat yang banyak. Para ulama’ telah khilaf siapakah yang memulakannya. Antaranya:

  • Jibril AS yang bertakbir kerana gembira akan gantian sembelihan Ismail dengan Kibasy, lantas menyebut: “Allahu Akbar!”
  • Rasulullah SAW apabila turunnya ayat: قُمْ فَأَنذِرْ ﴿٢﴾ وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ; Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia). Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya! (Surah al-Muddathir: 2-3)

Berdasarkan nas ini, seperti kaedah:

الْعِبْرَة بِعُمُومِ اللَّفْظِ لا بِخُصُوصِ السَّبَبِ
“Ibrah diambil dari keumuman lafaz, bukan dari kekhususan sebab”

Penggunaan ibarat “Allahu Akbar” ini sebagai menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِتُكَبِّرُوا اللَّـهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185)

Justeru, perintah supaya takbir atas kesyukuran adalah perintah daripada Allah sama ada dengan sebab hidayah yang dikurniakan atau apa-apa kurniaan daripada-Nya.

Dan Rasulullah SAW menggunakannya untuk mendekatkan kepada Allah SWT. Begitu juga penggunaannya untuk membawa berita gembira semasa Perang Khandaq tatkala sahabat lemah untuk menghancurkan batu besar yang menghalang perjalanan mereka, lantas Rasulullah SAW mengambil kapak dan memukul batu tersebut hingga pecah seraya bersabda: “Allahu Akbar! (الله أكبر) Telah dibuka kepadaku kunci-kunci kota Parsi.”

Takbir Empat Kali

Dalam hal ini, kami dapati sejarah ada menunjukkan ke arah itu. Antaranya:

Para sahabat yang memimpin tentera seperti Sa’d bin Abi Waqqas[1] RA dalam peperangan al-Qadisiyah pada tahun 14 Hijrah memulakan takbir empat kali sebelum menyerang tentera Parsi.
Begitu juga yang dilakukan oleh al-Nu’man bin Muqarrin[2] RA dalam peperangan al-Nahawand pada tahun 21 Hijrah.

Kesimpulan

Ibarat takbir dengan Allahu Akbar dilafazkan pada pelbagai tempat sama ada ketika menggambarkan kegembiraan, kebahagiaan atau dukacita.

Tuntasnya, kami berpandangan amalan bertakbir sempena pertabalan Sultan yang dilakukan menepati suruhan yang dianjurkan oleh Baginda SAW, dan amalan yang dilazimi oleh para sahabat. Bahkan bertakbir juga dianjurkan pada setiap perkara-perkara kemuliaan yang lain. Sesungguhnya dengan bertakbir jelas menggambarkan keagungan Allah dan betapa kerdilnya kita di hadapan yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa. Maka layaklah kita menjadi hamba-Nya dalam menjalankan tugas sebagai khalifah Allah di muka bumi dengan melaksanakan segala amanah-Nya yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Semoga jawapan ini menatijahkan sebuah kefahaman kepada kita berkenaan dengan isu takbir ketika pemasyhuran.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Nota Hujung:

[1] Sa’ad ibn Abi Waqqas (bahasa Arab: سعد بن أبي وقاص‎) ialah salah seorang sahabat terawal memasuki Islam pada 610-11. Beliau adalah bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW kerana beliau merupakan sepupu ibu Baginda, Aminah binti Wahab yang merupakan suku kaum Bani Zuhrah dan berasal dari kota Makkah. Beliau mempunyai tubuh yang agak rendah tetapi tegap. Rambutnya hitam dan lebat. Beliau memeluk agama Islam ketika berumur 17 tahun. Sa`d terkenal kerana peranannya dalam penaklukan Empayar Parsi pada 636 dan pemergiannya ke China pada 616 dan 651.

[2] Nu’man ibn Muqarrin merupakan ketua suku bagi Bani Muzainah yang tinggal agak jauh dari Yathrib. Beliau masuk Islam bersama sepuluh orang saudara lelakinya dan empat ratus orang penunggang kuda ketika Nabi Muhammad SAW berada di Madinah. Semasa Peperangan Islam-Riddah, Khalifah Abu Bakar melancarkan serangan terhadap kaum yang murtad. Ketika ini, beliau dan kaumnya terlibat aktif dalam peperangan tersebut. Kemuncak perjuangannya apabila kerajaan Islam pimpinan Khalifah Umar Al-Khattab melancarkan pembukaan Islam di negara Parsi. Nu’man pernah berjuang di bawah pimpinan dua orang panglima Islam yang terkenal iaitu Khalid bin al-Walid dan Sa’ad ibn Abi Waqqas. Berikutan pengalamannya yang berada di bawah pimpinan dua panglima tersebut, beliau dilantik sebagai panglima besar dalam Perang Nahawand. Kejayaannya menewaskan tentera Parsi Sassanid merupakan kejayaan umat Islam secara keseluruhannya berikutan tumbangnya empayar Parsi. Namun beliau juga turut terkorban syahid dalam pertempuran tersebut.

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top