Connect with us

Oh! Media

Merancang Harta Pusaka Bagi Mengukuh Silaturrahim

Umum

Merancang Harta Pusaka Bagi Mengukuh Silaturrahim

Sesetengah masyarakat menganggap pengurusan harta pusaka hanya boleh diselesaikan melalui pembahagian secara Faraid sahaja. Sikap ini boleh dikatakan antara penyebab berlakunya kelewatan pembahagian harta pusaka bagi seseorang si mati.

ADVERTISEMENT

Kelewatan urusan pembahagian harta pusaka akan berlaku sekiranya waris-waris tidak mengetahui kedudukan harta pusaka dan siapa sebenarnya yang tergolong sebagai ahli-ahli waris kepada si mati. Keadaan ini akan menyebabkan harta-harta si mati terutamanya hartanah (harta tak alih) contohnya rumah, tanah, bangunan, premis kedai begitu juga harta alih seperti wang simpanan, KWSP, simpanan Tabung Haji, saham, syer syarikat, barang kemas dan lain-lain akan menjadi beku dan tidak dapat diurus dengan betul.

Kegagalan mengurus harta pusaka dengan baik akan mendorong berlakunya krisis dalam institusi keluarga yang membawa kepada pertelingkahan sesama waris. Hal ini kerana, terdapat waris yang menduduki harta si mati tanpa persetujuan waris-waris lain atau mengambil harta si mati secara salah. Lebih malang lagi terdapat waris yang sanggup memberi keterangan palsu di hadapan hakim semata-mata ingin berebut harta tersebut.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 188:

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Sebenarnya, untuk mengelakkan harta pusaka menjadi beku dan waris berbalah sesama sendiri, ianya mampu ditangani dengan berkesan sekiranya masyarakat kita membuat perancangan awal secara teratur dan sistematik sebelum meninggal dunia. Perancangan ke atas pembahagian harta pusaka dilakukan adalah untuk mencapai empat (4) matlamat berikut iaitu:

  1. Supaya kita dapat melakukan amal jariah untuk diri kita;
  2. Supaya kita dapat memberi harta kepada orang yang kita sayang;
  3. Supaya kita dapat memastikan waris kita tidak menagih simpati daripada orang lain; dan
  4. Supaya kita dapat mengagihkan harta pusaka kepada mereka yang berhak

Sebagai hamba Allah SWT yang diberikan kesempatan untuk hidup di muka bumi ini, tidak dapat tidak, kita amat digalakkan untuk menyediakan bekalan sedekah jariah sebelum menemui Allah SWT. Dalam hal ini, seseorang boleh membahagi hartanya semasa hidup secara sedekah dan wakaf sama ada dalam bentuk harta alih dan harta tak alih. Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Apabila matinya manusia, akan terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan atau anak soleh yang mendoakannya.” (Riwayat Muslim)

Kita juga amat digalakkan untuk memberikan harta kepada yang disayangi seperti anak-anak secara hibah, supaya dengan demikian ia akan dapat memperkukuhkan tali silaturrahim. Sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Saling memberi hadiahlah kamu, nescaya kamu akan saling sayang-menyayangi.” (Riwayat al-Bukhari)

Pemberian secara hibah adalah digalakkan dan boleh dilakukan ketika seseorang masih hidup. Ia tidak mempunyai had dan sesiapapun boleh menerimanya termasuk waris. Sekiranya pembahagian harta pusaka itu ingin dilakukan selepas meninggal dunia, seseorang boleh merancang secara wasiat terutama kepada anak angkat atau waris yang terhalang daripada menerima harta pusaka itu nanti. Ini bermakna, seseorang itu boleh menyediakan perancangan tersebut semasa hidup dan dilaksanakan sebaik sahaja meninggal dunia pada kadar tidak melebihi daripada 1/3 harta pusaka.

Semua masyarakat perlu sedar akan kepentingan menulis surat wasiat kerana ia merupakan kaedah yang membolehkan seseorang yang terhalang daripada menerima harta pusaka, menikmati sebahagian daripada hasil titik peluh pemilikan harta selama ini. Galakan menulis wasiat ini dijelaskan melalui hadis daripada Abdullah bin Umar Radhiallahu Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak sepatutnya seseorang Muslim yang mempunyai sesuatu ingin diwasiatkan tidur dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Namun, kesedaran tentang keperluan menulis wasiat ini cukup rendah terutama dalam kalangan orang Islam, sedangkan ia sepatutnya dijadikan sebahagian daripada keperluan hidup sebagai seorang Muslim.

Mengapakah terjadi demikian? Jawapannya adalah kerana sesetengah umat Islam tidak memikirkan tentang kematian yang akan datang pada bila-bila masa, atau kemungkinan kerana ilmu dan maklumat berkenaan pengurusan harta pusaka yang agak dangkal pada diri kita. Aneh dan pelik apabila ada sesetengah umat Islam sanggup berbelanja ratusan ringgit untuk ber‘whatsapp’ menghantar pesanan-pesanan ringkas setiap hari, tetapi gagal untuk berbelanja demi ‘menulis pesanan terakhir’ yang hanya dilakukan sekali dalam hidupnya.

Kelebihan menulis surat wasiat sebenarnya antara lain mampu memudahkan proses pembahagian harta, mengelakkan salah faham atau perbalahan antara waris di samping dapat melantik wasi atau pentadbir yang diyakini bertanggungjawab, amanah dan berkesan untuk mentadbir harta pusaka kita nanti.

Sebagai pemilik harta, kita juga perlu memastikan waris-waris akan memperolehi harta pusaka daripada kita. Kita tidak ingin melihat, waris-waris kita nanti pada suatu ketika meminta-minta daripada orang lain atau menagih simpati daripada mana-mana pihak. Hadis daripada Saad bin Abi Waqqas Radhiallahu Anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya apabila engkau meninggalkan ahli waris kaya itu lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka miskin, meminta-minta kepada manusia dengan tangan mereka.” (Riwayat al-Bukhari)

Ingatlah sesungguhnya harta itu adalah suatu amanah daripada Allah SWT. Semua harta kita akan dipersoal dan dipertanggungjawabkan dari mana ianya diperolehi dan kemana ia dimanfaatkan. Oleh itu pastikan harta itu dapat diuruskan dengan baik dan diberikan kepada mereka yang berhak dan disayangi dengan cara yang paling adil.

Firman Allah Allah SWT:

“Dan hendaklah takut (kepada Allah daripada melakukan aniaya kepada anak-anak yatim oleh) orang-orang (yang menjadi penjaganya), yang jika ditakdirkan mereka pula meninggalkan anak-anak yang daif (yatim) di belakang mereka, (tentulah) mereka akan merasa bimbang terhadap (masa depan dan keselamatan) anak-anak mereka; oleh itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah, dan hendaklah mereka mengatakan perkataan yang betul (menepati kebenaran).” (An-Nisa’: 9)


Oleh: Jabatan Agama Islam Selangor
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas