Connect with us

Oh! Media

MAS Disaran Mansuh Hidangan Arak dan Nilai Semula Pakaian Pramugari

Umum

MAS Disaran Mansuh Hidangan Arak dan Nilai Semula Pakaian Pramugari

Syarikat penerbangan negara, Penerbangan Malaysia (MAS) disaran
memansuhkan hidangan arak dalam pesawat serta menilai semula pakaian
pramugari yang dikatakan terkeluar dari landasan syarak.

ADVERTISEMENT

Ketua
Penerangan Pemuda Pas Kedah, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, perkara itu
wajar diberi perhatian oleh pengurusan tertingginya dengan melihat
kepada aspek peringatan ALLAH SWT ekoran nahas membabitkan dua pesawat
MH370 pada Mac lalu dan terkini MH17.

Beliau berkata, tragedi dan
musibah yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT namun kerajaan atau MAS
perlu menilai kepada aspek keagamaan, kemungkinan ada unsur
peringatan-Nya berhubung apa yang berlaku dalam pesawat.

“Sebagai
syarikat penerbangan sebuah negara Islam, saya kesal kerana hidangan
arak tidak pernah cuba dimansuhkan termasuk aspek Islamik seperti aurat
pekerja wanita serta pakaian yang disifatkan tidak mengikut landasan
syarak.

“Apabila kita menaiki pesawat MAS, penumpang tidak
merasai seperti pesawat itu dikendalikan sebuah negara yang saban tahun
menganjurkan musabaqah al-Quran malah menjadi johan saban tahun dalam
taranum.

“Perkara ini amat mengecewakan kerana ayat-ayat al-Quran
yang dialunkan mengandungi banyak hukum berkenaan arak dan aurat serta
tanda-tanda kemurkaan ALLAH SWT,” katanya.

Ahmad Tarmizi turut
memetik Firman ALLAH: “Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke
dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut
langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata
bagimu” (QS Al-Baqarah 208)

“Mengabaikan perintah mengharamkan
arak serta perintah menutup aurat ertinya menolak sebahagian isi
kandungan kitab al- Quran. Firman ALLAH, “Apakah kamu beriman kepada
sebahagian Al Kitab (Taurat) dan ingkar terhadap sebahagian yang lain?
Tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian dari padamu, melainkan
kenistaan dalam kehidupan dunia, dan pada hari kiamat mereka
dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. ALLAH tidak lengah dari apa
yang kamu lakukan (QS Al-Baqarah 85),” katanya.

Ia menyokong
kenyataan bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin yang menegur
kerajaan secara terbuka selepas insiden MH370 berhubung jualan arak
dalam pesawat MAS.

“Teguran ini adalah daripada suara rakyat yang
cintakan Islam. Mac lalu kita dikejutkan dengan tragedi kehilangan
pesawat MH370, kini pesawat MH17 pula dilaporkan terkena tembakan
‘syubhah’ sama ada Rusia mahupun Ukraine,” katanya.

Beliau juga tidak berhasrat mempersenda insiden itu namun aspek keagamaan perlu diberi penelitian.

“Kami
berasa sedih dan simpati kepada keluarga mangsa. Sudah tiba masanya
kerajaan dan MAS melihat yang menimpa mutakhir ini dari sudut paling
asas iaitu unsur ketuhanan dan kehambaan,” katanya.

 Sumber: Sinar Harian

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas