Connect with us

Oh! Media

Kerugian RM273,000 Melalui 5 Utas Jam Mewah

Umum

Kerugian RM273,000 Melalui 5 Utas Jam Mewah

Kami menerima satu lampiran laporan polis tentang seorang pengadu yang membuat laporan Polis kerana rumahnya dipecah masuk. Melalui laporan tersebut, mangsa kehilangan 5 utas jam, 2 bentuk cincin berlian, 3 pasang subang berlian dan juga tabungan anaknya.

ADVERTISEMENT

Melihat dari senarai jam yang tertulis di atas laporan Polis tersebut, jelas mangsa bukan orang biasa-biasa dan berkemungkinan besar telah lama diperhatikan penjenayah atau mungkin juga dilakukan oleh orang yang dikenali.

Gambar yang viral di laman sosial ini juga menimbulkan perdebatan ramai apabila pekerjaan mangsa dikaitkan dengan tahap kemewahan hidup yang dimiliki. Isu yang sengaja dibangkitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Pada pandangan kami, ianya tidak patut langsung dijadikan isu. Kita tidak tahu asal-usul si pengadu, tidak kenal siapa suami pengadu dan tidak tahu apa perniagaan sampingan lain yang dijalankan pengadu, untuk itu usahlah melebih-lebih. Usahlah dengki dengan rezeki orang lain.

Apapun jika benar perkara ini, memang terkulat kami dibuatnya kerana mengalami kerugian sebanyak itu hanya melalui 5 utas jam tangan mewah sahaja. Semoga mangsa tabah dan lebih berhati-hati selepas ini kerana dikawasan tersebut memang ramai warga asing yang terkenal dengan jenayah mereka sejak sekian lama.

Update:

Berikut adalah jawapan yang diberikan pihak SPRM berhubung dengan isu ini.

SPRM: Tidak Adil Dakwa Pegawai Baru Miliki Harta Di Luar Kemampuan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius tohmahan yang dilemparkan menerusi media sosial ke atas seorang pegawai SPRM kononnya pegawai berkenaan memiliki harta di luar kemampuan.

SPRM ingin menjelaskan pegawai yang dimaksudkan hanya menyertai SPRM pada 1 Jun 2015 (Isnin) bagi menyandang jawatan Gred 44. Malangnya, rumah beliau telah dipecah masuk pada hari beliau melapor diri untuk bertugas.

Pegawai ini telah membuat satu laporan polis berkenaan kejadian ini semalam.

Dalam laporannya, beliau telah menyenaraikan barang-barang yang telah dilarikan oleh pihak yang memasuki rumah beliau, termasuk jam tangan mewah.

Laporan polis yang beliau buat telah diviralkan menerusi media sosial sejak pagi tadi. Beberapa pihak telah membuat komen dan tohmahan kononnya pegawai terbabit memiliki harta di luar kemampuan.

SPRM berpandangan bahawa tohmahan ini tidak adil ke atas pegawai berkenaan dan juga SPRM sendiri. Siasatan awal mendapati suami beliau seorang ahli perniagaan dan pemilikan harta ini adalah sah dari segi undang-undang.

Malah, oleh kerana beliau baru sahaja melapor diri semalam, pengisytiharan harta wajib juga belum dilakukan.

Oleh itu SPRM memandang serius dakwaan dan tohmahan sesetengah pihak kononnya pegawai-pegawai SPRM memiliki harta di luar kemampuan.

Pada masa yang sama, SPRM memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab mendedahkan laporan polis kes ini menerusi media sosial.

SPRM akan membuat laporan polis berhubung isu ini dan mahu Polis Diraja Malaysia siasat tindakan pihak tertentu mendedahkan aduan yang dibuat oleh mangsa menerusi media sosial.

ROHAIZAD YAAKOB
PENGARAH BAHAGIAN KOMUNIKASI STRATEGIK, SPRM
2 JUN 2015 – Sumber

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas