Connect with us

Oh! Media

Hukum Melukis Komik Para Sahabat Nabi SAW

Umum

Hukum Melukis Komik Para Sahabat Nabi SAW

Soalan:
Apakah hukum melukis dan melakar komik tentang para sahabat?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Para sahabat adalah pengganti Rasulullah saw dalam menyebarkan dakwah dan memikul panji-panji Islam. Mereka adalah sebaik-baik generasi yang telah dididik oleh Rasulullah saw. ‘Adalah dan kebaikan mereka telah dipuji oleh Allah swt dan Rasulullah saw. Firman Allah swt :

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّـهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّـهِ وَرِضْوَانًا
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaan-Nya. (Surah al-Fath :29)

Kata Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili: Yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah merujuk kepada para sahabat dan Para Ulama yang mana Nabi saw menyebut: “Para sahabatku seperti bintang selagi mana kalian mengikuti mereka kalian akan mendapat petunjuk.”
[Rujuk Tafsir al-Munir ( 3/495)]

Kata Sheikh al-Maraghi: “Selepas Allah menyatakan bahawa Dia mengutuskan Rasul-Nya dengan petunjuk dan membawa agama Islam sebagai satu bukti bahawa Islam lebih tinggi dari agama-agama yang lain, Allah menyatakan pula tetang keadaan Rasul itu sendiri dan apa yang diutuskan kepada mereka. Maka  sifat mereka yang disebutkan kesemuanya berbentuk pujian kepada mereka.”

Disebutkan juga kaum yang datang selepas mereka yang mana mereka memimpin manusia,memiliki negara dan menguasai dunia. Sifat mereka itu ialah:

  • Keras terhadap sesiapa yang memusuhi agama dan saling berkasih sayang antara mereka.
  • Mereka menjadikan solat dan ikhlas kepada Allah sebagai satu kebiasaan sepanjang waktu.
  • Mereka mengharapkan pahala dan keredhaan dari Allah.
  • Mereka dikenali dengan tanda yang terzahir. Terpancar cahaya dari wajah mereka. Dan juga terzahir sifat khusyu’ dan khudu yang hanya diketahui oleh orang yang mempunyai sifat fatonah.
  • Kitab Injil menyatakan sifat mereka seperti satu kaum yang menanam benih tumbuhan. Mereka mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

[Rujuk Tafsir al-Maraghi (26/115)]

Dapat kita fahami melalui ayat ini bahawa para sahabat Nabi merupakan golongan yang mempunyai keistimewaan di sisi Allah swt dan Rasulullah saw. Di antara ayat yang lain yang menunjukkan keistimewaan para sahabat sepertimana firman Allah swt :

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّـهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
“Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Surah al-Taubah : 100)

Ayat ini cukup jelas menunjukkan bahawa para Sahabat adalah golongan yang diredhai oleh Allah swt dan tersedia bagi mereka syurga yang di dalamnya terkandung banyak nikmat.

Kata Ibnu Kathir: “Allah swt mengkhabarkan tentang keredhaan-Nya terhadap golongan yang terawal dari Muhajirin dan Ansor serta orang yang mengikuti mereka dengan kebaikan. Allah redha terhadap mereka dengan menyediakan bagi mereka Syurga dan nikmat yang sentiasa kekal.”
[Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim (2/467)]

Inilah keistimewaan para sahabat sehingga mereka mendapat gelaran Radhiallahu ‘anhum yang membawa maksud Allah meredhai mereka semua yang menatijahkan nikmat dan syurga di hari akhirat kelak. Nabi saw bersabda :

اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي اللَّهَ اللَّهَ فِي أَصْحَابِي لَا تَتَّخِذُوهُمْ غَرَضًا بَعْدِي فَمَنْ أَحَبَّهُمْ فَبِحُبِّي أَحَبَّهُمْ وَمَنْ أَبْغَضَهُمْ فَبِبُغْضِي أَبْغَضَهُمْ وَمَنْ آذَاهُمْ فَقَدْ آذَانِي وَمَنْ آذَانِي فَقَدْ آذَى اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَمَنْ آذَى اللَّهَ فَيُوشِكُ أَنْ يَأْخُذَهُ
“Takutlah pada Allah tentang sahabatku. Takutlah pada Allah tentang sahabatku. Jangan kalian jadikan mereka habuan selepasku. Sesiapa yang mencintai mereka maka aku akan mengasihi orang yang mengasihi mereka. Sesiapa yang membenci mereka maka aku akan membenci orang yang membenci mereka. Sesiapa yang menyakiti mereka seakan-akan dia telah menyakitiku. Dan sesiapa yang menyakitiku maka dengan telah menyakiti Allah. Sesiapa yang menyakiti Allah maka hampir-hampir Dia mengambilnya.” [Riwayat Imam Ahmad (20578) di dalam Musnad dan Ibnu Hibban (7256)]

Nah, lihat sahaja bagaimana Nabi saw menyebut bahawa sesiapa yang menyakiti dan membenci para sahabat sama sahaja seperti dia menyakiti Nabi. Ini menjadi bukti dan burhan bahawa para Sahabat menduduki tempat yang istimewa di sisi Nabi saw. Oleh itu tiada perselisihan di dalam kalangan para ulama bahawa mengenali para sahabat adalah merupakan ilmu yang khusus. Ianya merupakan ilmu khobar yang paling tinggi dan dengan inilah para pengkaji sirah menulis buku mereka.

Menurut Sheikh Nuruddin al-Itr, Sahabat Nabi ditakrifkan sebagai:

ِمَنْ لَقِيَ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم مُؤْمِنًا بِهِ ومَاتَ عَلَى الإِْسلاَم
“Sesiapa yang bertemu dengan Nabi saw dalam keadaan beriman dengan kerasulan Baginda dan meninggal dunia dalam keadaan Islam.”
[Rujuk Minhaj al-Naqd Fi Ulum al-Hadis (hlmn 116)]

Hukum melukis gambar atau Kartun

Hukum asal permasalahan ini adalah berdasarkan hadis Nabi saw;

مَنْ صَوَّرَ صُورَةً فَإِنَّ اللَّهَ مُعَذِّبُهُ حَتَّى يَنْفُخَ فِيهَا الرُّوحَ وَلَيْسَ بِنَافِخٍ فِيهَا أَبَدًا
“Sesiapa yang melukis atau mengukir gambar sesungguhnya Allah akan mengazabnya sehingga (jika disuruh) meniupkan ruh ke dalam gambar tersebut dia tidak mampu berbuat demikian selama-lamanya.” [Riwayat al-Bukhari (2225)]

Di dalam riwayat yang lain menyebut:

كُلُّ مُصَوِّرٍ فِى النَّارِ يَجْعَلُ لَهُ بِكُلِّ صُورَةٍ صَوَّرَهَا نَفْسًا فَتُعَذِّبُهُ فِى جَهَنَّمَ
“Setiap penggambar diseksa di dalam neraka,dijadikan setiap gambar yang digambarkan sebagai ruh maka ia menjadi alat penyeksanya di dalam Neraka Jahanam.” [Riwayat Muslim (3945), Imam Ahmad (2671) di dalam Musnadnya]

Sejurus selepas hadis ini disebutkan Ibnu Abbas menyatakan:

إِنْ كُنْتَ لَا بُدَّ فَاعِلًا فَاصْنَعْ الشَّجَرَ وَمَا لَا نَفْسَ لَهُ
“Jika engkau terpaksa melakukannya maka buatlah (gambar) pokok atau apa-apa yang tidak bernyawa.”

Dapat kita fahami jika lukisan itu adalah selain dari makhluk bernyawa seperti lukisan pokok,laut, gunung-ganang maka dibolehkan.

Larangan yang disebutkan oleh Nabi saw adalah menjurus kepada pembuatan patung yang mempunyai jisim dan berbayang serta menyerupai makhluk yang bernyawa di mana ianya dijadikan sebagai sembahan. Ianya juga dikiaskan kepada lukisan-lukisan yang dilakar makhluk yang bernyawa kerana ianya juga menjadi satu penyembahan sepertimana yang berlaku kepada umat kristian yang melakar gambar Nabi Isa dan para hawariyyun yang mana mereka mempercayai itulah gambaran Nabi Isa dan para hawariyyun Baginda.

Kata al-‘Aini: “Melukis gambar makhluk yang bernyawa (mengukir patung) adalah tidak dibenarkan kerana ianya disembah pada zaman Jahiliyyah.Maka tidak dibenarkan walaupun ianya tidak mempunyai bayang dan juga tidak berjisim (merujuk kepada gambar dan lukisan) untuk menutup pintu kerosakan.”
[Rujuk ‘Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari (18/162)]

Lukisan makhluk bernyawa tersebut jika diletakkan di tempat yang mulia dan tidak menghinakannya seperti digantung di tempat yang yang tinggi. Ini berdasarkan peristiwa yang telah diceritakan oleh Aisyah r.anha:

قَدِمَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ سَفَرٍ وَقَدْ سَتَرْتُ بِقِرَامٍ لِي عَلَى سَهْوَةٍ لِي فِيهَا تَمَاثِيلُ فَلَمَّا رَآهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ هَتَكَهُ وَقَالَ أَشَدُّ النَّاسِ عَذَابًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ الَّذِينَ يُضَاهُونَ بِخَلْقِ اللَّهِ قَالَتْ فَجَعَلْنَاهُ وِسَادَةً أَوْ وِسَادَتَيْنِ
Rasulullah saw pulang dari safar dan aku menutup bilik kecilku dengan sebidang kain yang terdapat padanya gambar-gambar (lukisan-lukisan benda yang bernyawa). Apabila Rasulullah saw melihatnya Rasulullah menyentapnya seraya bersabda: “Sesungguhnya manusia yang paling dahsyat azabnya pada hari Kiamat adalah mereka yang melakukan sesuatu yang menyerupai makhluk Allah  (yang bernyawa).” Kata Aisyah: “Kami menjadikan kain tersebut sebuah atau dua buah bantal.” [Riwayat al-Bukhari (5498)]

Kesemua larangan ini adalah berbentuk sad al-Zari’ah (menutup pintu kerosakan) kerana ditakuti menjadi objek penyembahan yang boleh merosakkan akidah.

Adapun jika lukisan itu bertujuan yang tidak bercanggah dengan syara’ seperti digunakan untuk tujuan pembelajaran, pendidikan atau dakwah maka ianya dibenarkan.

Memetik pendapat Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi, beliau mengatakan: “Hukum melukis sesuatu yang bernyawa seperti manusia dan haiwan menjadi khilaf dikalangan para ulama. Jumhur mengatakan bahawa ianya haram dan sebahagian para ulama’ mengatakan ianya dibolehkan. Apa pun, penggunaan lukisan dalam media massa dengan tujuan berdakwah dan pembelajaran tidak termasuk dalam yang diharamkan bahkan sesuatu yang dituntut oleh syara’ sekiranya menjadi medium yang amat penting dalam menyampaikan dakwah dan ilmu yang bermanfaat kepada manusia dan ini tidaklah menjadi gambar yang haram padanya sepertimana gambar-gambar yang mengangkat sesuatu yang tidak bermoral, kezaliman dan gambar-gambar yang tidak senonoh.”

Seterusnya beliau memberikan beberapa justifikasi terhadap pendapatnya itu, dan secara ringkasnya adalah seperti berikut:

  • Sesungguhnya lukisan kartun bukanlah lukisan yang sempurna bahkan ianya gambar yang mempunyai ciri yang tersendiri dan tidak ada padanya ciri-ciri gambar yang hakiki.
  • Penggunaannya adalah untuk berdakwah dan juga pendidikan (tarbawiyyah) dan anak-anak kecil menerimanya, mengikutinya dan terkesan dengannya. Sewajarnya ke atas kita untuk tidak mengabaikan wasilah ini dan kita perlu menggunakannya di dalam pengajaran kanak-kanak apa yang sepatutnya dipelajari melalui akidah dan sebagainya.
  • Manusia yang lainya telah menggunakan metod ini sekian lamanya dan jika melihat kepada trend sedia ada ianya seolah-olah telah menjadi ‘makanan ruji’ bagi kanak-kanak yang sedang membesar seharian dengan program animasi-animasi yang ditayangkan di kaca televisyen. Sekiranya tiada inisiatif untuk menggantikannya dengan animasi yang lebih islamik dan sarat dengan maklumat pasti ianya merugikan.

Maka lukisan-lukisan yang dilakar dengan tujuan sedemikian tidaklah diharamkan kerana ianya dibuat bukan kerana dipuja atau disembah akan tetapi ianya adalah salah satu bentuk pendidikan dan dakwah bagi kanak-kanak khususnya dan ianya dianggap sebagai maslahat yang umum.

Hukum melukis dan melakar komik para sahabat

Berkaitan dengan lakaran komik yang melibatkan para sahabat tiada dalil khusus berkenaan larangan berbuat demikian. Akan tetapi perkara ini telah dijelaskan oleh beberapa badan fatwa dunia. Di antaranya adalah Sheikh ‘Atiyah Saqar yang merupakan bekas Pengerusi Lajnah Fatwa di al-Azhar al-Syarif. Beliau menyatakan bahawa perbuatan tersebut diharamkan dengan sebab beberapa perkara:

  • Lukisan atau lakaran tidak akan selamanya menyerupai yang asal. Akan berlaku penipuan sekiranya apa yang digambarkan itu tidak sama dengan hakikatnya.
  • Ketidakcermatan dalam menghalusi seseorang individu tersebut baik dari segi rupa sifatnya serta akhlak perilakunya yang diadaptasi di dalam lukisan, lakaran ataupun lakonan adalah sesuatu yang dapat menyakiti seseorang itu jika didapati terdapat kekurangan pada gambar atau lakonan tersebut.
  • Mereka adalah qudwah (ikutan) kepada yang lain. Penipuan ke atas mereka baik dari segi lakonan dan sebagainya boleh menyebabkan orang lain memandang serong terhadap mereka.
  • Sekiranya lukisan, lakaran atau lakonan sekiranya tidak dibuat dengan baik dapat memberikan kesan buruk kepada orang yang melihatnya. Boleh jadi seseorang yang pada asalnya menyanjung dan mencintai mereka namun setelah melihat kekurangan yang dizahirkan melalui lukisan, lakaran ataupun lakonan boleh berubah sikap dari rasa cinta kepada yang lainnya sedangkan kita semua dituntut untuk menyayangi mereka dan mengikuti mereka.

Fatwa ini mendokong fatwa yang telah dikeluarkan oleh badan autoriti sebelumnya. Antara badan tersebut:

  • Fatwa Syeikh Hasanain Makhluf Rahimahullah yang bertarikh 5 Mei 1950 melalui al-Fatawa al-Islamiyyah, Jilid 4, halaman 1297 yang mana turut mengatakan haram.
  • Lajnah al-Fatwa Al-Azhar pada Jun 1968.
  • Majlis Majma’ Buhuth Islamiyah pada bulan Februari 1972.
  • Muktamar ke-8 Majma’ pada bulan Oktober 1977.
  • Majlis Majma’ pada bulan April 1978.
  • Dar Ifta’ Mesir pada bulan Ogos 1980.

Beliau menambah lagi: “Pengharaman ini adalah berdasarkan kaedah fiqhiyah (menghindarkan kerosakan adalah diutamakan daripada mengambil kemaslahatan). Apabila sesuatu kebudayaan memerlukan kepada keluarnya daripada adab dan norma maka sesungguhnya kemudaratan itu mengatasi kemaslahatan. Di samping itu, terdapat banyak alasan pengharaman yang telah disebutkan seperti mana yang disebut di dalam dar al-Ifta’ Mesir: Sesungguhnya Allah telah memelihara para Rasul dan Nabi daripada ditiru ataupun dilakonkan oleh syaitan. Demikian jugalah Allah memelihara para Rasul dan Nabi daripada ditiru atau dilakonkan oleh manusia.

Demikian jugalah pengharaman meniru usul (nenek moyang) furu’ (anak cucu), isteri-isteri dan sahabat-sahabat Rasul. Adapun yang berkaitan dengan pengajaran yang diambil daripada kisah-kisah nabi, fatwa ini menyebutkan bagaimana mungkin kita mengambil pengajaran daripada lakonan seorang manusia biasa terhadap peribadi seorang Nabi. Siapakah yang sanggup menerima lakonan seorang bodoh, kaki judi, pemabuk, pelanggan kedai arak dan persundalan? Merekakah yang melakonkan lakonan para Nabi dan sahabat?”

[Rujuk Ahasin al-Kalam fi al-Fatawa wa al-Ahkam (1/156-158)]

Jika lakonan sahaja tidak dibenarkan kerana pelakon yang dipilih tidak seperti peribadi para sahabat apatahlagi lakaran atau lukisan yang melibatkan para sahabat yang datangnya dari khayalan dan andaian dengan sedikit maklumat dari si pelukis. Sedangkan para sahabat mempunyai wibawa dan menjadi ikutan. Sekiranya lukisan itu salah gambarannya maka ia akan menimbulkan salah faham.

Kesimpulan

Berdasarkan itu, kami melihat bahawa tidak boleh untuk melukis komik yang melibatkan para sahabat. Ini kerana untuk menjaga wibawa dan peribadi para sahabat walaupun tujuan lukisan tersebut adalah baik iaitu dakwah dan pendidikan. Kami mengesyorkan beberapa perkara jika mahu melakarkan juga komik yang melibatkan para sahabat:

  • Lukisan yang dilakar mestilah dilakar secara tidak sempurna.
  • Lukisan tersebut mesti tidak menampakkan rupa para sahabat (iiatu mukanya).
  • Dialog dan jalan penceritaan mesti berpandukan rujukan yang sahih dan muktamad.Tidak boleh mereka-reka jalan cerita atau dialog yang boleh membawa kepada unsur penipuan.

Wallahu’alam

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas