Connect with us

Oh! Media

Hikmah Allah Bersumpah Dengan Sebahagian Makhluk-Nya

Umum

Hikmah Allah Bersumpah Dengan Sebahagian Makhluk-Nya

SOALAN:
Apa hikmah Allah SWT bersumpah dengan sebahagian makhluknya di dalam al-Quran?

ADVERTISEMENT

JAWAPAN:
Pertama, kita hendaklah mengetahui bahawa Allah SWT berhak melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Dia tidak ditanya apa yang dilakukan-Nya, akan tetapi para makhluklah yang akan ditanya tentang amalan mereka. Firman-Nya:

لَا يُسْأَلُ عَمَّا يَفْعَلُ وَهُمْ يُسْأَلُونَ
“Dia tidak ditanya tentang apa yang diperbuat-Nya, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” [Surah al-Anbiya’ (23)]

Imam Ibn Kathir menjelaskan: “Dia lah al-Hakim (Yang Maha Bijaksana), yang tidak ada apa pun yang setanding dengan kebijaksanaan-Nya. Tidak ada apa jua yang dapat menandingi kebesaran-Nya, keagungan-Nya, kehormatan-Nya, ilmu-Nya, kebijaksanaan-Nya, keadilan-Nya dan kelembutan-Nya. Dialah yang akan menyoal makhluk-makhluk-Nya tentang apa yang telah mereka lakukan.” (Lihat: Tafsir al-Quran al-‘Azim, 9/397)

Kedua, dalam persoalan di atas, sesungguhnya Allah SWT berhak bersumpah dengan apa sahaja dari makhluk-Nya. Imam al-Qurtubi menyatakan: “Allah SWT boleh bersumpah dengan apa sahaja yang dikehendaki dari makhluk-makhluk-Nya sama ada haiwan atau benda-benda keras yang tidak bernyawa. Ini walaupun tidak diketahui hikmah pada demikian itu.” (Lihat: al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 19/237)

Namun di sana terdapat hikmah-hikmah tertentu yang disebut oleh ulama’. Di dalam kitab Majmu’ al-Fatawa dijelaskan bahawa sesungguhnya Allah SWT bersumpah dengan makhluk-makhluk-Nya kerana ia termasuk dari tanda-tanda kebesaran-Nya. Ia merupakan dalil atas rububiyyah-Nya, uluhiyyah-Nya, keesaan-Nya, ilmu-Nya, kekuasaan-Nya, kehendak-Nya, rahmat-Nya, hikmah-Nya, keagungan-Nya dan kemuliaan-Nya. Maka Dia yang Maha Suci bersumpah dengannya. Kerana sumpah dengannya menunjukkan akan keagungan-Nya. Kita makhluk tidak dibolehkan bersumpah dengannya secara nas dan juga ijma’.

Begitu juga disebutkan bahawa Allah SWT bersumpah dengan ayat-ayat ini adalah sebagai dalil atas keagungan dan kesempurnaan kekuasaan dan hikmah-Nya. Maka bersumpah dengannya menunjukkan keagungan-Nya dan tingginya kedudukan-Nya yang mengandungi pujian kepada Allah ‘Azz wa Jalla. Sebaliknya kita tidak dibolehkan bersumpah dengan selain nama Allah atau sifat-Nya kerana kita dilarang daripada melakukan hal itu. (Lihat Majmu’ Fatawa wa Rasa’il, 10/798)

Imam Nawawi pula menyatakan bahawa Allah SWT bersumpah dengan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dari kalangan makhluk-Nya sebagai menandakan akan kemuliaan dan ketinggian-Nya. (Lihat: al-Minhaj, 11/105)

Antara contoh sumpah Allah SWT di dalam al-Quran, firman-Nya:

لَا أُقْسِمُ بِيَوْمِ الْقِيَامَةِ
“Aku bersumpah dengan Hari Kiamat.” [Surah al-Qiyamah (1)]

Syeikh al-Maraghi menjelaskan: “Sumpah Allah SWT dengan hari Kiamat itu untuk membesarkan dan menghormati keadaannya. Allah SWT sahaja yang boleh bersumpah dengan apa yang dikehendaki-Nya dari makhluk-Nya.” Said bin Jubair berkata: “Aku bertanya kepada Ibn Abbas tentang firman-Nya “Aku bersumpah dengan Hari Kiamat.” Dia menjawab: “Tuhanmu bersumpah dengan apa yang dikehendaki-Nya dari makhluk-Nya.” (Lihat: Tafsir al-Maraghi, 15/7314)

Allah SWT juga pernah bersumpah dengan matahari seperti firman-Nya:

وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا
“Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang.” [Surah al-Syams (1)]

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan: “Allah SWT bersumpah dengan matahari yang sentiasa bersinar, baik ketika terbenam mahupun terbit kerana matahari adalah ciptaan Allah yang agung. Allah bersumpah dengan cahaya dan waktu dhuhanya, iaitu waktu terbit matahari ketika cahayanya sempurna kerana itu adalah pembangkit kehidupan makhluk hidup.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/543)

Kesimpulan

Sesungguhnya Allah SWT berhak bersumpah dengan apa sahaja yang dikehendaki-Nya dari makhluk-Nya. Antara hikmah Allah SWT bersumpah dengan sebahagian makhluk-Nya adalah sebagai tanda kekuasaan, kemuliaan dan keagungan-Nya, di mana ia merupakan sebahagian daripada tanda-tanda bukti kewujudan, keesaan dan kebesaran-Nya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang tepat serta keyakinan yang teguh dalam agama. Amin.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas