Connect with us

Oh! Media

Haiwan Korban Hasil Sumbangan Dari Bukan Islam

Umum

Haiwan Korban Hasil Sumbangan Dari Bukan Islam

Soalan:
Bolehkah masjid-masjid menerima lembu-lembu untuk dikorbankan dari bukan Islam? Selalunya adalah dari hasil sumbangan ahli politik dan juga ahli perniagaan bukan Islam.

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Bagi menjawab persoalan di atas, terdapat beberapa situasi yang perlu dijelaskan:

Pertamanya, sekiranya pemberian tersebut adalah untuk melakukan korban bagi bukan Islam, maka hukumnya tidak sah korban tersebut kerana mereka yang bukan Islam tidak disyariatkan dan tidak mempunyai ahliah untuk melakukan ibadah korban.

Adapun yang keduanya, iaitu berbalik kepada persoalan di atas, jika pemberian lembu dari bukan Islam, maka ianya termasuk di dalam hukum hibah (pemberian hadiah) dan Islam tidak melarang seorang Muslim itu menerima hadiah daripada bukan Muslim bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah menerima hadiah daripada golongan bukan Islam. Ini seperti yang terdapat di dalam sebuah hadith al-Bukhari yang mana Rasulullah SAW ada menerima jubah yang dihadiahkan oleh Ukaidir (seorang Nasrani) dari Dauma.

Makanya kita katakan di sini bahawa hukum menerima lembu korban hasil sumbangan daripada bukan Islam adalah harus dan dibolehkan. Lembu yang disumbangkan itu mestilah diuruskan seperti berikut:

  1. Haiwan korban tersebut hendaklah diserahkan kepada jawatankuasa masjid/surau untuk diuruskan.
  2. Pihak jawatankuasa yang dilantik perlu memilih asnaf fakir miskin atau individu bagi mewakili bahagian korban yang diwakili.
  3. Asnaf fakir miskin atau individu yang terpilih disunatkan mengambil daging korban tidak melebihi 1/3 daripada bahagian korban yang disertai.
  4. Sekiranya perlu, pihak jawatankuasa masjid/surau boleh mengenakan kos pengurusan dengan kadar yang berpatutan kepada peserta ibadah korban yang terpilih.

Ini sepertimana yang tertulis di dalam buku Garis Panduan Pelaksanaan Ibadah Qurban, Bilangan 2 bagi tahun 2013 yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada halaman 27.

Wallahu a’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas