Connect with us

Oh! Media

Dari Meniaga Cekodok Untung RM15 Sehari, Kini Lelaki Ini Memiliki 9 Bisnes Food Truck!!

Branded

Dari Meniaga Cekodok Untung RM15 Sehari, Kini Lelaki Ini Memiliki 9 Bisnes Food Truck!!

ORANGNYA cukup sederhana dan merendah diri. Di awal perbualan lagi anak kelahiran Felda Jengka 12 ini memberitahu, dirinya cuma lepasan sekolah aliran vokasional. Ketika berusia 18 tahun sama seperti kebanyakan anak muda lain, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dengan niat mencari peluang kehidupan yang lebih baik.

Tak betah bekerja setempat seperti kebanyakan pekerja “makan gaji”, Mohd Rezuan Kihi, 39, memutuskan untuk memulakan langkah pertama di ibu kota dengan membantu bapa saudara berniaga buah buahan.

“Masa mula sampai KL saya berambut panjang jadi orang nampak macam rock je.. terus lekat panggilan Mat Rock sampai sekarang,” ujarnya.

Selepas dua bulan menimba pengalaman, Mat Rock mula mengatur langkah sendiri. Beliau memohon lesen seterusnya menyewa tapak niaga di sebuah medan selera. Menggunakan wang hasil kerja keras yang jarang sekali dibelanjakan kecuali bila benar-benar perlu sebanyak RM1,500 beliau berniaga pisang goreng, cekodok, donat dan minuman secara kecil kecilan.

“Hasil jualan sehari dapatlah RM65 tapi lepas itu kena bayar gaji RM25 seorang pada dua pekerja,” imbaunya sambil tersenyum.

Rasanya jika untung kecil sebegitu, tak ramai peniaga yang mahu mempertahankan bisnes mereka. Namun bagi seseorang yang berpandangan jauh seperti Mat Rock, meraih untung besar dalam masa segera bukan sesuatu yang paling dikejar. Strategi perniagaan lebih diutamakan. Atas sebab itulah tapak niaga di medan selera terbabit yang pernah menjadi tempatnya memasak makanan yang dijual di lokasi lain ketika baru bertatih dulu, dikekalkan sampai ke hari ini.

Pada sebelah malam Mat Rock berniaga pula burger berhampiran rumah di Keramat. Meskipun ketika ini untung tak sebesar mana namun ia tidak melunturkan rasa percayanya terhadap potensi untuk terus maju.

Masak Berbelas Jenis Lauk Setiap Hari

Akhirnya hasil kerja keras disertai sikap berjimat cermat, Mat Rock naik setahap lagi apabila mula berniaga menggunakan caravan pada 2011. Hasil pengamatannya berniaga menggunakan kenderaan mempunyai kelebihan besar bila mana lokasi boleh diubah mengikut sambutan pelanggan.

Sejak itu bermulalah rutin berniaga nasi campur Mat Rock di Jalan Tengah, Kuala Lumpur mulai jam 11 pagi hingga 2 petang, seterusnya bertukar kepada menu nasi lemak pada sebelah malam di Keramat Permai. Kegigihannya terserlah apabila memasak sendiri berbelas-belas jenis lauk untuk dijual setiap hari.

Nasib Mat Rock sebagai peniaga makanan di ibu kota tampak kian cerah apabila peluang demi peluang yang datang diraihnya. Selain menambah tapak niaga di medan selera Bukit Bintang, beliau menceburkan diri dalam bidang katering dan membuka restoran.

Pada 2014 Mat Rock memulakan evolusi penting dalam perniagaannya apabila mengambil keputusan unuk fokus kepada menu jualannya yang paling laris, ayam goreng kunyit. Panggilan namanya turut dikomersialkan lantas Mat Rock Ayam Goreng Kunyit mula meniti di bibir para pelanggan tetap terutama mereka yang gemarkan makanan pedas. Ini kerana set nasi ayam goreng kunyit Mat Rock turut menyertakan sambal dengan tahap kepedasan yang amat tinggi hinggakan sesiapa pun pasti akan sentiasa terkenang kepedasan yang dirasai ketika pertama kali menjamahnya.

Pada 2015, Mat Rock tak menoleh ke belakang lagi apabila mendengar tentang peluang yang dibuka Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi para peniaga yang mahu mendapatkan lesen berniaga “food truck”. Pada tahun sama, tiga buah trak makanan berjaya dikeluarkan apabila permohonannya mendapat kelulusan.

Mat Rock semestinya layak untuk berbangga kerana daripada peniaga cekodok pisang yang untung jualan cuma RM15 sehari, hari ini beliau memiliki sembilan “food truck” yang tertera logo wajahnya.

Ayam goreng kunyitnya juga sudah popular dan jadi sebutan ramai terutama bagi mereka yang biasa menelusuri Jalan Bulan, Wisma Jakel, Lebuh Ampang, Jalan Tengah, Wisma Sentral, Jalan Tun Perak, Jalan Yap Kwan Seng, sekitar Maluri dan Jalan Raja Chulan.

Mat Rock turut memiliki dapur sentral di Pandan Indah selain turut memasarkan produknya menggunakan khidmat penghantaran makanan. Terbaharu, beliau sedang menanti kelulusan bagi menjalankan perniagaan secara francais sekaligus tercapailah cita-cita mahu melihat cawangan jenamanya ada di setiap pelosok negeri dan tak hanya di Lembah Klang sahaja.

Rahsia Kejayaan

Mengenang kembali faktor yang membuatkan perniagaan “food truck” miliknya berkembang dengan sangat pantas Mat Rock berkata, selain berusaha keras dan sanggup berkorban untuk bersusah sebelum berjaya, peniaga mesti bijak mengatur strategi dan menggunakan segala peluang yang boleh membantu perniagaan mereka selangkah ke hadapan.

Antara contoh terbaik yang dilakukan beliau ialah memohon dan mendapatkan pensijilan BeSS (BERSIH, SIHAT dan SELAMAT) yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan (BKKM). Logo ini ternyata amat membantu dalam merebut tempat terhad di tapak-tapak acara atau karnival mega yang menjadi rebutan ramai peniaga “food truck” tak kira di dalam mahupun luar negara.

Malah peluang yang diterima Mat Rock untuk menyertai Malaysia Fest 2018 di Singapura yang berlangsung pada Mei, Ogos dan seterusnya November tahun ini turut dibantu pensijilan BeSS kerana ianya diterima pakai bagi mengiktiraf seseorang peniaga itu benar-benar menyajikan makanan yang bersih, sihat dan selamat.

“Nak dapatkan BeSS pun taklah sesusah mana sebenarnya sebab trak yang dibeli khas untuk perniagaan makanan biasanya dilengkapi ciri-ciri yang diperlukan untuk lulus pensijilan ini termasuk sinki yang sempurna,” kata Mat Rock.

Tambah beliau, peniaga tidak rugi apa-apa pun untuk memohonnya kerana mereka bukan sahaja tidak perlu keluarkan wang kocek sendiri malah kakitangan BKKM sedia membantu untuk membetulkan kekurangan yang ada selain memberi bimbingan dan khidmat nasihat sehingga pensijilan terbabit dapat diperoleh.

“Pengguna memang dapat manfaat besar daripada pensijilan BeSS kerana mereka tak perlu lagi bersusah payah untuk mengenal tempat makan yang bersih. Bagaimanapun para peniaga makanan sendiri amat rugi kalau tak ambil peluang mendapatkan logo BeSS kerana ia juga boleh meningkatkan kepercayaan pengguna untuk membeli produk kita,” ujar Mat Rock yang sempat menyematkan pesanan berguna buat peniaga makanan di luar sana yang ingin berjaya sepertinya, sebelum mengakhiri perbualan kami malam itu.

+ Baca ribuan respon pembaca di Facebook Oh! Media.

Comments

Lagi dalam kategori Branded

Ke Atas