Connect with us

Oh! Media

Bomba Lemas: Syahid Kata Mufti Wilayah

Umum

Bomba Lemas: Syahid Kata Mufti Wilayah

ADVERTISEMENT
Berita kematian enam anggota Bomba kerana ingin menyelamatkan mangsa berakhir dengan terkorban mati lemas menginsafkan kami, serta memberi makna yang mendalam pada maksud pengorbanan dalam tugas. Kami iktibarkan mereka sebagai syahid berasaskan kepada nas hadis:
الشُّهَدَاءُ خَمْسَةٌ الْمَطْعُونُ وَالْمَبْطُونُ وَالْغَرِيقُ وَصَاحِبُ الْهَدْمِ وَالشَّهِيدُ فِي سَبِيلِ اللَّهِ
“Orang yang mati syahid lima golongan iaitu orang yang mati kerana taun, mati kerana penyakit perut, mati lemas, ditimpa runtuhan dan syahid di jalan Allah.” [Riwayat al-Bukhari (653)]
Tetapi, kepada rakan kita ini, mereka jauh lebih mulia kerana bukan sahaja mereka mati lemas, tetapi menolong dan membantu mangsa sehingga terkorban. Mereka adalah insan-insan terpilih dan mempunyai hati yang suci serta amat memahami tanggungjawab dan tugas yang diamanahkan, terutamanya dalam kecemasan hingga kepada nafas yang terakhir dan denyut nadi yang terakhir. Inilah syuhada’ kita. Semoga Allah menempatkan mereka bersama para nabi, al-siddiqin dan syuhada’. Amin.
Atas asas inilah, berhimpun pada kami perasaan dukacita di atas perkara dan tragedi yang berlaku dan gembira atas semangat yang ditunjukkan, yang kami sifatkan luar biasa.
Syabas Bomba Malaysia dan juga kepada mereka yang bertindak seperti syuhada’ kami ini.
Kepada ahli keluarga, bertabahlah. Insha Allah setiap apa yang telah berlaku pasti ada hikmah yang kadang-kadang amat sukar ditafsirkannya. Dengan berharap kepada Allah SWT, berdoalah dengan kesabaran yang tinggi, Insha Allah akan datang bantuan daripada-Nya.
Kepada rakyat Malaysia, saya syorkan agar dihulurkan bantuan kepada kaum keluarga untuk meringankan beban mereka dan terus dapat meneruskan kehidupan sekalipun diuji dengan perpisahan orang tercinta.
Kepada kerajaan Malaysia, kami syorkan agar diberikan anugerah kecemerlangan dan dinaikkan pangkat mereka untuk memberi sedikit kelegaan kepada ahli keluarga mereka. Sesungguhnya, inilah staf kerajaan dan pekerja di era Malaysia baru yang sanggup berkorban apa sahaja.
Akhir kalam, marilah sama-sama kita merafakkan doa agar mereka semua ditempatkan pada kedudukan yang terpuji di sisi Allah.
Al-Fatihah buat mereka. Sekali lagi, takziah buat keluarga.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ
Amin…
Akhukum fillah,
S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
4 Oktober 2018 bersamaan 24 Muharram 1440 Hijrah.

Pautan ke laman rasmi PMWP : https://bit.ly/2OuV5sj

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas