Connect with us

Oh! Media

“Aduan Kurang, Rakyat Sudah Boleh Terima GST” – Hasan Malek

Umum

“Aduan Kurang, Rakyat Sudah Boleh Terima GST” – Hasan Malek

Sebagai rakyat Malaysia, kami merasakan kenyataan yang biasa dibuat menteri di Malaysia ni memang sungguh menyedihkan. Begitu mudah buat kesimpulan kononnya aduan tentang GST kurang, RAKYAT SUDAH BOLEH TERIMA GST. Seharusnya mereka memainkan peranan untuk terus memahamkan rakyat, dan teruskan berusaha untuk mengurangkan beban hidup rakyat.

ADVERTISEMENT

Membaca apa yang dilaporkan portal The Malaysian Insider ini, ianya amat mengecewakan kami. Ianya tentang Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek hari ini mengatakan, rakyat sudah memahami dan boleh menerima pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilaksanakan sejak dua minggu lalu. Kesimpulan ini dibuat beliau berdasarkan statistik kementerian yang menunjukkan pengurangan dari segi bilangan aduan pengguna yang diterima.

“Saya melihat daripada statistik kementerian, nampaknya aduan sudah mulai berkurangan. Maknanya rakyat sudah mula memahami (GST). Bertentangan apa yang diwar-warkan sebelum ini di media sosial, dengan sikap pembangkang dan lain-lain, banyak yang negatif daripada positif. Oleh itu alhamdulillah, dua minggu ini rakyat sudah boleh menerima hakikat GST tak membebankan mereka.”

Beliau juga menyatakan, maklumat yang diperolehi daripada media massa mengenai GST membuatkan rakyat tidak ada masalah dalam memahami pelaksanaan cukai tersebut.

“GST satu sistem percukaian yang cukup telus. Maknanya, orang tak boleh lari dari membayar cukai dan sebagainya. Jadi rakyat sudah boleh memahami, apatah lagi maklumat yang diberikan semua stesen TV, radio, media dan lain-lain, mereka sudah cukup faham.”

Sebelum ini dilaporkan, selepas enam hari GST dilaksanakan, kementerian menerima 692 aduan daripada pengguna melalui pusat gerakan anti pencatutan. Sementara itu, Hasan turut mengulangi hasratnya berhubung penghapusan 10% caj perkhidmatan di restoran dan hotel.

Menurutnya, sementara menunggu keputusan mesyuarat mengenai perkara itu, restoran dan hotel disarankan agar meletakkan notis di pintu masuk premis mereka supaya pengguna sedia maklum mereka mengenainya.

Menteri kena ingat dan lihat sedikit bagaimana kehidupan rakyat biasa ketika ini. Apa gunanya telus orang tak boleh lari dari bayar cukai tapi rakyat yang miskin semakin papa kedana. Anak muda yang berniaga baru nak maju terus bungkus? Minum kopi kat mamak pun bercukai sedangkan gaji mereka tak naik-naik dan masih ramai yang menganggur.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas