Trending
Tragedi Aidilfitri: Ibu Hamil Dan Anak Maut, Terlibat Kemalangan Ngeri Di Terowong Menora
Sehari sebelum sambutan Aidilfitri, satu kemalangan tragis berlaku di Kilometer 264 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke selatan, berhampiran Terowong Menora, Ipoh.
Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Bezza yang dipercayai hilang kawalan akibat tumpahan minyak di jalan sebelum terbabas.
Menurut laporan mStar, terdapat satu video tular yang dimuat naik di Facebook oleh Mohd Shahnom Ismail menunjukkan mangsa, Nur Fatihah Badrul Hisyam digilis dan diseret di bahagian kepala selepas kemalangan.
Kenderaan yang melanggar mangsa tidak berhenti memberi bantuan dan terus berlalu pergi.
Ibu, anak dan bayi dalam kandungan maut

Dalam kejadian itu, bayi dalam kandungan mangsa yang berusia lapan bulan serta seorang lagi anaknya, Naira Falisya Abdul Rahman, 1 tahun, meninggal dunia di lokasi kemalangan.
Pihak hospital berusaha menyelamatkan Nur Fatihah dengan menjalankan pembedahan kecemasan bagi mengeluarkan bayi dalam kandungan, namun beliau disahkan meninggal dunia keesokan harinya (Isnin) akibat kecederaan parah.
Suami mangsa, Abdul Rahman Abdul Rahim, 29, yang memandu kenderaan tersebut turut mengalami kecederaan parah dan kini dalam keadaan kritikal.
Lebih memilukan, Abdul Rahman trauma selepas melihat sendiri kejadian ketika dia berusaha merangkak keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan isteri dan anaknya.
Barang berharga mangsa dicuri selepas kemalangan

Lebih menyedihkan, selepas kemalangan barangan berharga milik mangsa seperti barang kemas, jam tangan, wang tunai, dan dompet didakwa telah dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan insiden ini dan kes kini disiasat sebagai langgar lari.
Pihak berkuasa juga meminta bantuan orang ramai untuk memberikan maklumat berkenaan dua hingga tiga kenderaan yang terlibat dalam kemalangan ini.
#ApaKataOhmedia
Pemandu diingatkan untuk sentiasa berhenti dan memberi bantuan sekiranya terlibat dalam kemalangan. Meninggalkan mangsa dalam keadaan kritikal bukan sahaja tidak berperikemanusiaan, malah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Semoga keluarga mangsa diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini.

Razaisyam Dan Aedy Dedah Realiti Kerja Dengan Bront Palarae Dalam Filem Tarung | Oh! Podcast Ep27
OH! MEDIA 08/05/2026 8:30 PM