Trending
Sistem Imigresen Digodam, Lebih 1,000 PLKS Palsu Dikeluarkan! Pegawai JIM Dan Polis Antara Suspek Diberkas
Sistem Imigresen digodam, lebih 1,000 PLKS palsu dikeluarkan dan 12 suspek diberkas.
Bila sistem penting negara boleh digodam untuk keluarkan dokumen palsu, memang ia bukan lagi isu kecil. Lebih membimbangkan, kegiatan ini didakwa turut melibatkan individu daripada agensi penguat kuasa sendiri.
Memetik laporan Sinar Harian, satu sindiket yang dipercayai menggodam Sistem Imigresen Malaysia berkaitan proses permohonan dan kelulusan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah akhirnya berjaya ditumpaskan menerusi Op Crack.
Pegawai JIM, polis antara 12 individu ditahan
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman memaklumkan, operasi itu dijalankan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Selasa.

Seramai 12 individu diberkas dalam operasi tersebut. Lebih mencuri perhatian, mereka yang ditahan bukan calang-calang individu.
Suspek terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM dan seorang pegawai polis.
Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan.
Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan dipercayai telah mengeluarkan sebanyak 1,306 PLKS palsu. Kegiatan itu turut menyebabkan kerajaan mengalami kerugian dianggarkan sebanyak RM2.4 juta.
Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menjalankan penggeledahan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya.
Risikan sejak Mei 2026

Menurut Abd Halim, kejayaan menumpaskan sindiket ini adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM.
Operasi risikan itu telah dilaksanakan sejak Mei 2026 di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang. Turut membantu dalam operasi ini ialah Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.
Kesemua suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 16(a) Akta SPRM 2009.

