Trending
Seramai 21,000 Orang Ziarah Pusara Tun Dr. Hasmah, Ada Yang Datang Hampir Setiap Hari!
Kira-kira 21,000 orang menziarahi pusara Tun Dr. Hasmah di Putrajaya dalam tempoh 13 hari selepas pemergiannya pada usia 100 tahun.
Intipati berita
- 21,000 pengunjung ziarah pusara Tun Dr. Hasmah dalam tempoh 13 hari selepas Allahyarhamah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20.
- Ada yang sanggup datang dari jauh, termasuk Sabah, Sarawak, Jepun dan negara Arab untuk membaca al-Fatihah serta mendoakan Allahyarhamah.
- Kehadiran pengunjung sangat tinggi pada awal pengebumian, dengan kira-kira 3,000 orang pada hari pertama sebelum menurun kepada sekitar 500 orang sehari menjelang hari ke-13.
- Pusara dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 7 malam untuk orang ramai menziarah. Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu pada usia 100 tahun.
Pemergian Allahyarhamah Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali terus meninggalkan kesan mendalam dalam hati orang ramai apabila kira-kira 21,000 pengunjung menziarahi pusaranya dalam tempoh 13 hari selepas pengebumiannya.
Menurut laporan Kosmo, ada pengunjung yang sanggup merentas negeri, malah datang hampir setiap hari semata-mata untuk membaca al-Fatihah dan mendoakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu.
Ada pengunjung datang hampir setiap hari

Menurut Penyelia Unit Perkuburan Perbadanan Putrajaya (PPj), Mohd. Ferdaus Bahili, kehadiran orang ramai daripada pelbagai kaum dan agama menjadi antara perkara paling ketara sepanjang tempoh pihaknya menguruskan kawasan pusara Allahyarhamah.
Katanya, pengunjung mula hadir seawal pukul 6.45 pagi hingga 10 malam pada hari-hari awal selepas pengebumian.
Kira-kira 3,000 orang datang pada hari pertama, diikuti sekitar 2,700 orang sehari bagi tempoh enam hari berikutnya.
Jumlah itu kemudian berkurangan kepada anggaran 500 orang sehari sehingga hari ke-13, menjadikan keseluruhan kunjungan dianggarkan mencecah 21,000 orang.
Lebih menyentuh hati, ada pengunjung yang datang dari utara, Pantai Timur, Sabah dan Sarawak. Malah, ada juga yang datang dari luar negara termasuk Jepun dan kawasan tanah Arab khusus untuk menziarahi pusara Allahyarhamah.
Berdasarkan pemerhatian kami, ada pengunjung yang datang lebih daripada dua kali, malah ada yang hampir setiap hari sejak hari pengebumian.
Kebanyakannya penduduk Putrajaya, khususnya wanita, yang datang untuk membaca al-Fatihah dan mendoakan Allahyarham sebagai tanda kasih serta penghargaan.
Mohd. Ferdaus turut berkongsi bahawa terdapat pengunjung yang sebak dan menitiskan air mata ketika berdoa di sisi pusara, terutama apabila Tun Dr. Mahathir turut hadir menziarahi isterinya.
Beliau yang sudah 18 tahun berkhidmat dengan PPj menyifatkan kehadiran luar biasa itu sebagai pengalaman yang jarang berlaku sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Pusara Allahyarhamah Dr Tun Hasmah dibuka kepada orang ramai setiap hari

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Mohd. Ali Jusoh berkata, pihaknya menyelaras pergerakan pengunjung, lalu lintas, parkir, laluan keluar masuk serta keselamatan bagi memastikan urusan ziarah berjalan lancar.
Pusara Allahyarhamah dibuka kepada orang ramai setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 7 malam. Enam kakitangan Unit Perkuburan PPj pula menjalankan kerja pembersihan dan pengemasan secara berkala sekitar pukul 7 pagi dan 9 malam.
Untuk rekod, Allahyarham Tun Dr. Hasmah meninggal dunia pada 28 September lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada usia 100 tahun. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 mengikut taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
