Trending
Polis Siasat Akaun Sebar Berita Palsu Mengenai Kematian Zara Qairina
Polis siasat akaun TikTok sebar berita palsu tentang kematian pelajar, Zara Qairina.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menjalankan siasatan terhadap sebuah akaun TikTok bernama @berjuanguntukzara yang didapati menyebarkan berita tidak benar mengenai kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina.
Menurut laporan Kosmo, tindakan itu diambil selepas akaun berkenaan memuat naik kandungan berunsur hasutan yang boleh mengganggu siasatan sebenar dan perkara ini dikatakan sendiri Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar.
Disiasat bawah beberapa akta berat

Menurut Kumar, kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Penularan kandungan yang tidak sahih berpotensi menjejaskan kelancaran dan keberkesanan proses siasatan oleh polis.
Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat palsu yang hanya akan menimbulkan kekeliruan serta kegusaran awam.
Tragedi Zara Qairina jadi perhatian ramai

Untuk rekod, Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lepas selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, Sabah.
Mangsa mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Kes tragis ini turut mendapat perhatian meluas kerana didakwa mempunyai kaitan dengan isu buli.
Pssttt! Media sosial bukan tempat untuk sebarkan berita palsu. Hormati keluarga mangsa dan biarkan pihak berkuasa jalankan siasatan dengan adil.
Kredit: Kosmo
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.