Trending
Pemegang Pasport Lebih 10 Tahun Hadapi Masalah Penerbangan Di Luar Negara, JIM Ambil Langkah Segera
JIM tetapkan tempoh sah laku maksimum pasport Malaysia 10 tahun selepas isu kesulitan ke luar negara.
Selepas tular isu pemegang Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) berdepan kesulitan ketika mahu melakukan penerbangan di luar negara, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tampil mengambil tindakan segera bagi menangani isu tersebut.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, JIM memaklumkan tempoh sah laku maksimum PMA kini ditetapkan kepada 10 tahun berkuat kuasa serta-merta.
Tular isu pemegang pasport lebih 10 tahun berdepan masalah
Sebelum ini, seorang pengguna media sosial mendakwa berdepan kesukaran ketika melakukan penerbangan antarabangsa selepas pasport Malaysia miliknya mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun.
Dakwaan itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, khususnya mereka yang sudah memperbaharui pasport 10 tahun dan merancang untuk ke luar negara.
JIM dalam kenyataan terbaharu memaklumkan perkara itu telah dirujuk kepada International Civil Aviation Organization (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh PMA melebihi 10 tahun.
Bagaimanapun, JIM menjelaskan kekeliruan mula timbul apabila beberapa pemegang PMA melebihi 10 tahun berdepan masalah semasa proses pendaftaran masuk dengan beberapa syarikat penerbangan di luar negara.
Pengeluaran pasport lebih 10 tahun dihentikan sementara
Bagi mengelakkan kekeliruan berulang, JIM menetapkan tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah selama 10 tahun sahaja.
Penetapan itu dibuat bagi menyeragamkan tempoh sah laku PMA serta mengelakkan kekeliruan berkaitan keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.

Berkuat kuasa serta-merta, pengeluaran PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu berkenaan diselesaikan bersama pihak syarikat penerbangan dan ICAO.
Selain itu, pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.

JIM turut memaklumkan pemegang PMA yang terlibat akan diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.
Dalam masa sama, JIM akan mengeluarkan surat pemberitahuan kepada semua syarikat penerbangan bagi membantu pengembara warga Malaysia yang terjejas di luar negara.

Jabatan itu menegaskan komitmen untuk terus menambah baik pelaksanaan PMA demi memberi kemudahan kepada rakyat serta memastikan urusan perjalanan antarabangsa dapat berjalan dengan lebih lancar dan teratur.

