Oh! Tidak
Pemandu BMW Mengaku Tidak Bersalah Menyebabkan Kematian Adik Naura
Pemandu BMW, P. Kuhan Raj dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dalam satu kemalangan tragis.
Menurut laporan mStar, tertuduh walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haneefa Ariffin.
Pemandu BMW bawa laju sehingga menyebabkan kematian

Mengikut pertuduhan, Kuhan Raj didakwa memandu keretanya dengan laju sehingga menyebabkan kematian Nur Naura Nathifa Mohd El-Khuwailid.
Kejadian itu berlaku di Lebuhraya Bukit Jalil menghala ke Puchong pada pukul 9.50 malam, 15 November lepas.
Ketika kejadian, mangsa membonceng motosikal bapanya sebelum dirempuh dari belakang oleh kereta yang dipandu tertuduh.
Kes ini didakwa di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang membawa hukuman penjara lima hingga 10 tahun dan denda maksimum RM50,000 jika sabit kesalahan.
Jaminan & Tindakan Mahkamah

Timbalan Pendakwa Raya, Salsabila Mohammad menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh iaitu Inderpal Singh meminta agar jumlah itu dikurangkan sebab anak guamnya menyara isteri, anak, dan ibu bapa.
Mahkamah menetapkan jumlah jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin serta menggantung lesen memandu tertuduh sehingga kes selesai. Sebutan semula kes dijadualkan pada 21 Januari tahun depan.
#OhmediaNasihat
Kejadian seperti ini adalah peringatan besar buat kita semua untuk sentiasa mematuhi had laju dan memandu dengan berhati-hati.
Hargai nyawa setiap pengguna jalan raya, terutama kanak-kanak yang menjadi mangsa dalam tragedi ini. Ingat, kelajuan mungkin memendekkan masa perjalanan, tetapi ia juga boleh memendekkan nyawa.
Mari kita jadikan jalan raya tempat yang lebih selamat untuk semua.
