
Oh! Tidak
Lelaki Merayu Ringankan Hukuman Merompak Sebab Isteri
Lelaki desak rompak demi isteri yang sakit. Kini dijatuhi 5 tahun penjara & sebatan.
“Saya tahu niat tak halalkan cara. Tapi saya sangat terdesak,” itulah luahan Faiz Razin Kamal Farid, 41, yang dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan selepas mengaku bersalah merompak dua telefon bimbit dari sebuah rumah.
Kejadian berlaku 20 Mei lalu di Flat Selayang Mansion, Chow Kit. Menurut fakta kes, tertuduh memecah masuk rumah mangsa sekitar jam 7 pagi dan menggunakan pemutar skru untuk umpil pintu.
Lebih mengejutkan, dia menutup mulut mangsa dan turut mencekik sebelum mangsa melawan dan menjerit minta tolong. Tertuduh sempat melarikan dua telefon bimbit milik seorang lelaki dan seorang wanita.
Tertuduh merayu kerana perlu tanggung kos rawatan isteri sakit…

Faiz didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda dan sebat.
Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman bermula dari tarikh tangkapan iaitu 21 Mei lalu. Faiz, yang juga bapa dua anak, tidak diwakili peguam dan merayu agar hukuman penjara diringankan.
Saya perlu duit untuk menanggung perubatan isteri dan sangat terdesak. Saya bersumpah demi Allah dan berjanji tidak akan ulangi kesalahan ini lagi. Kalau ada sebatan, naikkan sebatan saya tetapi turunkan hukuman (penjara) saya.
Isterinya difahamkan menghidap bipolar dan penyakit buah pinggang dan dia lakukan jenayah itu kerana tiada jalan lain untuk rawatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee, pula memohon hukuman yang boleh beri pengajaran kerana kes ini melibatkan pencerobohan dan keganasan terhadap mangsa.
Pssttt! Dalam dunia sekarang, ramai yang sedang terdesak tapi sampai merompak dan mencederakan orang lain, tetap tak boleh dijadikan alasan. Walaupun niat nak bantu isteri sakit, cara yang dipilih tetap salah. Moga jadi pengajaran untuk semua, terutama bila tekanan hidup makin menghimpit.
Kredit: Harian Metro
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
