Oh! Tidak
Kelindan Lori Didenda RM2,000 Gara-Gara Tampar Pegawai JPJ Ketika Operasi
Padah menghalang tugas penjawat awam, seorang kelindan lori dikenakan denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini.
Memetik laporan Harian Metro, kejadian berlaku di Jalan Desa Palma, minggu lalu ketika pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menjalankan pemeriksaan rutin terhadap lori yang membawa muatan barangan lusuh.
Tiba-tiba berang, tampar pegawai JPJ

Pemeriksaan itu mendapati lori berkenaan melakukan pelbagai kesalahan, termasuk cukai jalan tamat tempoh dan pemandu tanpa lesen GDL yang sah.
Situasi bertukar tegang apabila suspek, yang tiba-tiba muncul, naik berang. Dia dilaporkan menunjukkan isyarat lucah, menampar muka seorang pegawai JPJ, dan turut mengeluarkan kata-kata kesat.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, suspek berjaya diberkas pada malam yang sama di Taman Maju Jaya selepas pihak berkuasa bertindak pantas berdasarkan maklumat yang diterima.
Ada tiga rekod lampau

Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kesalahan jenayah termasuk mencuri dan memiliki barangan curi.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Selepas membuat pengakuan bersalah di mahkamah, Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin memerintahkan tertuduh didenda RM2,000.
Jika gagal membayar denda, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama tiga bulan.
#OhmediaNasihat
Tak pasal-pasal kena denda pula. Sebagai orang awam, hormatilah penguatkuasa yang hanya menjalankan tugas mereka. Tindakan melulu seperti ini hanya akan merugikan diri sendiri dan memanjangkan masalah. Mari sama-sama jadi masyarakat yang lebih beradab dan bertanggungjawab.

Jap!
Baca dulu respon netizen di Facebook.
Rujukan kami: Harian Metro
Ingat Oppa Sweet Macam Dalam K-Drama? Aisyah Bongkar Realiti Sebenar Di Korea! | Oh! Podcast Ep 18
OH! MEDIA 29/10/2025 3:17 PM