Oh! Tidak
Kantin Sekolah Sungai Ramal Ditutup Lepas Murid Muntah-Muntah
Kantin sekolah Sungai Ramal ditutup 14 hari selepas dakwaan murid muntah, pening dan sakit perut tular.
Kantin sebuah sekolah di Sungai Ramal diarahkan tutup selepas tular dakwaan beberapa murid mengalami muntah, pening dan sakit perut. Setakat ini, punca sebenar kejadian masih belum disahkan dan siasatan masih dijalankan oleh pihak berkaitan.
Perkara itu mula jadi perhatian selepas satu hantaran di Threads mendakwa kantin sekolah berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari susulan kejadian tersebut.
Seorang pengguna Threads yang dipercayai ibu kepada salah seorang murid turut memaklumkan kejadian berlaku pada Isnin. Katanya, anak perempuannya muntah sebanyak tiga kali ketika berada di sekolah.
Dengan izin ALLAH, pada waktu malam keadaannya sudah kembali pulih, setakat semalam (Selasa), keadaan dilihat terkawal.- Katanya.
Punca sebenar belum diketahui

Menurut pemilik akaun berkenaan, anaknya memberitahu lauk sambal daging yang dihidangkan agak pedas.
Dalam masa sama, beberapa komen lain mendakwa lauk itu berbau kurang elok. Namun, punca sebenar kejadian masih belum diketahui dan belum disahkan secara rasmi.
Ada juga pengguna Threads yang mempertahankan tindakan pihak sekolah dengan memaklumkan ibu bapa menerima maklumat secara berterusan melalui kumpulan komunikasi rasmi sekolah.
Notis penutupan dikongsi

Sekeping notis penutupan premis turut dikongsikan dalam hantaran yang tular itu. Berdasarkan notis berkenaan, dapur kantin sekolah tersebut diarahkan tutup selama 14 hari bermula Selasa hingga 14 Julai ini.
Arahan itu dikeluarkan di bawah Seksyen 18(1)(d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana premis didakwa berada dalam keadaan yang mungkin menyebabkan bermulanya atau merebaknya penyakit berjangkit kepada orang ramai.
Setakat ini, pihak sekolah dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor belum mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung punca sebenar kejadian.
Pssttt! Dalam isu macam ni, elok kita tunggu hasil siasatan rasmi dulu sebelum buat sebarang kesimpulan. Yang penting, keselamatan murid kena jadi keutamaan sebab bab makanan sekolah ni memang bukan benda kecil, korang.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

