
Oh! Tidak
Fasilitator Motivasi Terkenal Sekali Lagi Didakwa Amang Seksual Pelajar
Fasilitator motivasi didakwa lakukan amang seksual terhadap pelajar 14 tahun di Padang Besar.
Seorang fasilitator motivasi didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar Perlis atas dakwaan melakukan amang seksual fizikal dan berkomunikasi secara seksual melibatkan seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun.
Insiden dipercayai berlaku di sebuah sekolah di Padang Besar pada pertengahan Julai lalu ketika sesi program berlangsung.
Berdepan hukuman berat jika sabit kesalahan

Tertuduh berusia 44 tahun iaitu Mohd Zulkarnain Atan bagaimanapun menafikan tuduhan dan minta dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor, tertuduh didakwa melakukan sentuhan berunsur seksual, malah turut berkomunikasi secara seksual terhadap mangsa.
Perbuatan itu dikatakan berlaku sekitar jam 9 pagi di dewan sekolah berkenaan pada 10 Julai lalu.
Perbuatan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 11(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
Sekiranya sabit kesalahan, hukuman yang menantinya cukup berat iaitu maksium 20 tahun penjara berserta sebatan bagi pertuduhan pertama, manakala penjara maksimum tiga tahun menanti untuk pertuduhan kedua.
Tertuduh sakit jantung, asma serta sakit tulang belakang

Dalam hujahan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap tertuduh. Namun, peguam bela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Ayuni Ahmad, merayu jumlah minima kerana anak guamnya seorang duda tanpa pendapatan tetap selain menanggung ayah tua dan kakak yang bergelar ibu tunggal.
Nur Ayuni juga menjelaskan tertuduh menghidap sakit jantung, asma serta sakit tulang belakang yang memerlukan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.
Ternyata, ini bukan kali pertama tertuduh berdepan pertuduhan seumpama itu. Pada Februari tahun lalu, dia pernah dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh atas dua pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki di sebuah universiti awam di Melaka.
Pssttt! Kes sebegini wajar diberi perhatian serius kerana melibatkan pelajar bawah umur yang sepatutnya dilindungi. Semoga pihak berkuasa dapat memastikan keadilan ditegakkan dan mangsa mendapat pembelaan sewajarnya.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Dapatkan kemaskini harian Oh! Media setiap hari terus di emel melalui langganan percuma di bawah.
