Oh! Inspirasi
Dermawan No.1 Asia! Pengasas Sunway Jadi Individu Pertama Terima Pengiktirafan Forbes Lima Kali
Tan Sri Jeffrey Cheah jadi individu pertama Asia terima Forbes Asia Heroes of Philanthropy lima kali kerana sumbangan besar dalam pendidikan.
Pengasas Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, sekali lagi menerima perhatian antarabangsa selepas namanya kembali tersenarai dalam Forbes Asia Heroes of Philanthropy.
Ini merupakan kali kelima beliau dipilih, menjadikan beliau satu-satunya individu di Asia yang pernah menerima pengiktirafan itu sebanyak lima kali.
Komitmen jangka panjang Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dikagumi
Memetik laporan Berita Harian, Forbes menilai pencapaian ini sebagai pengiktirafan terhadap usaha beliau yang konsisten dalam memperkukuhkan sektor pendidikan dan memperluaskan kerja kebajikan sejak sekian lama.

Pengasas dan pemegang amanah Yayasan Jeffrey Cheah sebelum ini turut disenaraikan pada 2021, 2019, 2015 dan 2009 sebagai Hero of Philanthropy .
Rekod itu menunjukkan bahawa komitmennya dalam membantu masyarakat bukan sesuatu yang baharu, tetapi adalah usaha yang sudah berjalan bertahun-tahun.
Saya sentiasa percaya setiap daripada kita mesti mempunyai tujuan hidup yang lebih tinggi. Bagi saya, ini ialah komitmen untuk memberi kembali kepada masyarakat secara bermakna demi manfaat dan kesejahteraan generasi masa depan, ujar Tan Sri Dr Jeffrey Cheah.
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan tanggungjawab moral bagi mereka yang berjaya dari segi kewangan.
Jelasnya, memajukan pendidikan negara merupakan asas masa depan sesebuah masyarakat.
Sumbangan meluas melalui Yayasan Jeffrey Cheah

Untuk rekod, Yayasan Jeffrey Cheah telah mendermakan lebih RM967 juta dalam bentuk biasiswa dan geran kepada puluhan ribu pelajar di seluruh negara. Yayasan itu dijangka melepasi angka RM1 bilion menjelang 2026.
Selain itu, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah pada November 2025 turut mengumumkan komitmen RM500 juta dalam tempoh lima tahun bagi menubuhkan salah satu dana wakaf pendidikan terbesar di Malaysia.
Dana itu bertujuan untuk menyokong penyelidikan, inovasi dan pembangunan akademik di Sunway University secara berterusan.
Pendekatan ini diinspirasikan oleh model universiti antarabangsa seperti Harvard University dan University of Cambridge.
Peranan dalam sekolah awam dan institusi kesihatan

Selain pendidikan tinggi, sumbangan Cheah turut merangkumi sektor pendidikan awam dengan lebih RM57 juta disalurkan untuk membina dan menaik taraf 10 sekolah di Malaysia.
Sumbangan lain termasuk RM5 juta kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mewujudkan Tan Sri Sir Jeffrey Cheah Distinguished Chair di Fakulti Perubatan.
Jawatan itu bakal memacu penyelidikan dalam bidang kesihatan awam dan turut bekerjasama dengan Jeffrey Cheah Sunway Medical School.

Yayasan Jeffrey Cheah kini dianggap antara yayasan pendidikan terbesar di negara ini, mengurus institusi di bawah Sunway Education Group yang beroperasi dalam struktur bukan keuntungan.
Selari dengan komitmen terhadap Matlamat Pembangunan Lestari PBB (UN-SDGs), yayasan itu turut menambah sumbangan AS$5 juta kepada United Nations Sustainable Development Solutions Network (UN-SDSN), menjadikan jumlah keseluruhan melebihi AS$25 juta sejak kerjasama dimulakan.
UN-SDSN yang dipimpin Profesor Jeffrey Sachs turut mewujudkan ibu pejabat Asia di Sunway University, salah satu daripada tiga pusat global rangkaian tersebut.
Pssttt! Bila seorang tokoh sanggup melabur sebegitu besar demi masa depan masyarakat, ia wajar dijadikan contoh bahawa kejayaan sebenar bukan pada kekayaan, tetapi pada manfaat yang kita kembalikan kepada generasi seterusnya.
Kredit: Berita Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Dulu Tak Suka Dunia Hiburan, Kini David Teo Penerbit Di Sebalik Lebih 100 Filem | Oh! Podcast Ep22
OH! MEDIA 21/01/2026 6:54 PM