Kerajaan Malaysia berkomitmen membawa 41 rakyat Palestin yang cedera bersama waris mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan di negara ini. Langkah ini, yang dilakukan atas dasar kemanusiaan, tidak seharusnya dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar, menegaskan walaupun usaha ini mungkin kelihatan kecil, ia sebenarnya membuka mata dunia tentang penderitaan rakyat Palestin.
Hal ini bukan isu agama, tetapi lebih kepada isu kemanusiaan. Mereka tiada negara, tiada apa-apa untuk mendapatkan bantuan, terutama dalam kesihatan.- Katanya.
Kita bantu atas sifat kemanusiaan…
Kamarul Zaman juga menjelaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara bertanggungjawab untuk membantu atas dasar kemanusiaan.
Malaysia patut bantu atas sifat kemanusiaan, tiada institusi lain yang bantu, jadi apa salahnya Malaysia membantu dengan kelebihan yang ada.- Katanya.
Beliau menambah, rakyat Malaysia tidak perlu risau kerana negara ini sentiasa mengutamakan kebajikan rakyatnya melalui pelbagai saluran bantuan.
Di Malaysia, walau sesusah mana sekalipun, banyak bantuan dari kerajaan, NGO, dan pelbagai majlis agama. Orang Palestin ini tiada apa-apa.- Jelasnya lagi.
Usaha kerajaan yang baik seperti ini harus diteruskan…
BACA: Video Ketibaan Pesakit Palestin Undang Rasa Sebak, Pesakit Paling Muda Bayi 8 Bulan
Pandangan beliau turut disokong Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman, yang menegaskan bahawa bantuan ini adalah tanda keprihatinan dan kemanusiaan yang mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
Ia juga sebenarnya satu bentuk ‘soft diplomacy’ iaitu diplomasi melalui kemanusiaan.- Katanya.
Pada 16 Ogos lalu, dua pesawat Airbus A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membawa rakyat Palestin yang cedera bersama waris mereka ke Pangkalan Udara Subang, Selangor.
Walaupun usaha ini mulia, ia dikecam sesetengah pihak, mengundang kekecewaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Semoga saudara kita di Palestin bebas dari kekejaman rejim zionis.