Oh! Negara
Kerabat Diraja Pahang, Tengku Puteri Ilyana Alia Bernikah Dengan Pelumba GT Britain
Tengku Puteri Ilyana Alia selamat bernikah dengan pelumba GT Britain, Christopher Lionel Froggatt pada 8 Ogos lalu.
Kerabat Diraja Pahang, Tengku Puteri Ilyana Alia kini sah bergelar isteri selepas melangsungkan perkahwinan bersama jejaka pilihannya, Christopher Lionel Froggatt pada 8 Ogos lalu.
Apa yang turut mencuri perhatian, pasangan Tengku Puteri itu bukan calang-calang orang dalam dunia permotoran. Christopher, 32, merupakan pelumba profesional dari Britain yang aktif bersaing dalam kejohanan antarabangsa.
Siapa Christopher Froggatt?

Nama Christopher sememangnya sudah dikenali dalam arena perlumbaan GT apabila beliau bersaing dalam GT World Challenge Europe Endurance Cup.
Berdasarkan biografi rasminya di Tempesta Racing, minat Christopher terhadap dunia perlumbaan sudah bermula sejak kecil. Sepanjang membesar, beliau turut aktif dalam pemanduan quad bike dan sukan motocross.
Namun, beliau hanya mula berkecimpung secara serius dalam sukan perlumbaan ketika berusia 24 tahun.
Suami Tengku Puteri Ilyana Alia pernah bersama Ferrari

Perjalanan Christopher kemudian berubah apabila diberi peluang mengendalikan pemanduan prestasi tinggi Ferrari di trek ujian Fiorano, Itali.
Pengalaman itu menjadi antara pemangkin utama yang membawanya lebih jauh ke arena perlumbaan antarabangsa.
Memandu jentera Ferrari 296 GT3, Christopher turut mempunyai pengalaman luas dalam Ferrari Challenge serta beberapa siri perlumbaan kategori GT3.
Majlid perkahwinan Kerabat Diraja Pahang di ibu negara

Dalam pada itu, majlis perkahwinan Tengku Puteri Ilyana Alia dan Christopher berlangsung di sebuah hotel di ibu negara.
Menurut hantaran rasmi Facebook Kesultanan Pahang, istiadat akad nikah pasangan berkenaan disempurnakan oleh Mufti Pahang, Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim selaku jurunikah.

Tengku Puteri Ilyana Alia tampil anggun dan berseri pada hari bahagianya dengan mengenakan tiara berlian warisan Permaisuri Azizah.
Untuk pengetahuan korang juga, Christopher pernah menjuarai GT World Challenge Europe Endurance Bronze Cup pada 2021 dan 2023. Beliau turut merangkul gelaran GT World Challenge Europe Sprint Cup Pro-Am pada 2020.

