Oh! Negara
Istana Negeri Sembilan Tegur Parti Politik, Jangan Kaitkan Institusi Diraja Dalam Ceramah PRN
Istana Negeri Sembilan nasihat parti politik tidak kaitkan Institusi Diraja dalam kempen PRN.
Dalam kehangatan musim pilihan raya, macam-macam isu boleh timbul dan jadi bahan kempen. Tapi, ada perkara yang tetap perlu dijaga batasnya.
Terbaru, Istana Negeri Sembilan menasihatkan semua parti politik supaya tidak mengaitkan institusi itu dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.
Istana Negeri Sembilan junjung prinsip berkecuali
Memetik laporan Harian Metro, Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali berkata, Institusi Diraja adalah payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.

Jadi istana sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik.
Tegas beliau lagi, sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, atau mana-mana Ahli Kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.

Beliau turut menasihatkan semua calon parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri supaya tidak memainkan isu berkaitan 3R.
Katanya, semua pihak perlu berkempen secara berhemah, beretika dan mematuhi undang-undang demi menjaga keharmonian negeri.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang tidak disahkan serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang sahih.
Beliau turut memaklumkan, Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati serta tidak disalah tafsir atau dieksploitasi demi kepentingan mana-mana pihak.

