Connect with us

Oh! Media

Di Malaysia Pun Ada? Ini 5 Rekod Penampakan Makhluk Asing Yang Pernah Berlaku

Oh! Lifestyle

Di Malaysia Pun Ada? Ini 5 Rekod Penampakan Makhluk Asing Yang Pernah Berlaku

Makhluk Asing atau alien merupakan spesis ‘mitos’ yang dipercayai wujud di angkasa lepas serta banyak teori dan kajian telah dibuat mengenainya.

ADVERTISEMENT

BACA: (Video) Kecoh Penampakan Aneh Seperti Makhluk Asing, Cetus Tanda Tanya Orang Ramai

Walaupun tiada bukti yang kukuh menyatakan bahawa makhluk ini pernah dilihat, namun rata-rata masyarakat di seluruh dunia percaya ianya wujud selain mempercayai bukan manusia sahaja makhluk yang diciptakan dalam alam semesta ini.

Setakat ini, pelbagai lambakan video penemuan dan penampakan kapal makhluk asing (UFO) yang pernah dilihat, namun ada daripadanya telah disunting bagi mengelirukan orang ramai.

Bagaimanapun, tahukah anda bahawa di Malaysia juga pernah direkodkan mengenai penemuan makhluk asing ini? Jadi, mari kita lihat beberapa kes penampakan alien yang dikatakan pernah terjadi di Malaysia.

1. Johor Bahru, Johor (1969)

Pada 2 Julai 1969, sebuah sekolah rendah yang terletak di Johor Bahru iaitu Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman dikatakan pernah menjadi salah satu peristiwa tergempar pada zaman itu.

Hal itu selepas beberapa orang murid yang mendakwa ternampak lima sosok makhluk asing berukuran kira-kira 6 ke 7 inci keluar dari piring terbang di padang sekolah mereka.

Kejadian yang dikatakan berlaku pada pukul 10.25 pagi itu memaparkan makhluk tersebut yang mengenakan pakaian serba merah dan terdapat pistol di pinggangnya. Sedar akan perkara itu, murid-murid tersebut bergegas ke bilik Guru Besar untuk melaporkan perkara berkenaan.

Ketika itu juga, beberapa orang murid telah mencuba untuk menangkap makhluk tersebut, namun gagal dan hilang disebalik lubang terdekat.

Perkara itu terus menjadi kecoh di sekolah tersebut dan semua guru serta murid berusaha menjejaki identiti itu namun gagal. Mereka dipercayai hanya menjumpai kesan rumput terbakar sahaja.

2. Kuantan, Pahang (1973)

Selain kejadian yang pernah berlaku disebuah sekolah di Johor Bahru, perkara sama juga turut terjadi di sebuah sekolah yang terletak di Kuantan, Pahang pada tahun 1973.

Hal itu selepas dua orang pelajar serta seorang guru mendakwa terlihat penampakan makhluk asing yang bersaiz 3 inci seakan-akan manusia kerdil di kawasan berhampiran.

Menurut laporan, dua pelajar tersebut dikatakan berjaya menangkap alien tersebut sehingga suasana menjadi kecoh sehinggalah seorang guru yang bertugas datang bagi melihat kekecohan itu.

Alangkah terkejutnya guru tersebut selepas mendakwa terlihat lembaga bertubuh kecil serta aneh itu sebelum ia berjaya meloloskan diri dan hilang tanpa dikesan.

3. Miri, Sarawak (1973)

Selepas beberapa penampakan yang berlaku di Semenanjung Malaysia, terdapat juga kejadian yang dikatakan berlaku di Miri, Sarawak pada tahun 1973 iaitu sebanyak 2 kali.

Untuk kejadian yang pertama, sekumpulan kanak-kanak mendakwa melihat makhluk asing bersaiz 6 inci sambil mengenakan pakaian serba putih dan sedang memotong sebuah pagar besi dengan menggunakan teknologi mereka. Namun, tiada penampakan piring terbang yang terlihat.

Bagi kejadian kedua, ia berlaku di kawasan sekitar pantai apabila beberapa orang kanak-kanak serta dewasa mendakwa terlihat lebih kurang 6 ke 7 makhluk tersebut yang turut mengenakan pakaian putih serta topeng muka.

Menurut sumber, ‘lembaga’ tersebut dikatakan hampir menyerupai fizikal manusia dan hanya dibezakan dengan saiznya yang kelihatan lebih kecil. Selain itu, mereka juga mendakwa terlihat makhluk asing tersebut yang terdiri daripada jantina wanita dan lelaki. Namun, kebenarannya masih tidak diketahui.

4. Kuantan, Pahang (1976)

Selepas berlaku kekecohan di sebuah sekolah di Kuantan pada tahun 1973, terdapat lagi satu laporan sama mengenai penampakan makhluk tersebut lebih kurang 3 tahun kemudian.

Kali ini, kejadian dikatakan berlaku di kawasan Pengkalan Tentera Diraja Malaysia apabila seorang pelajar di sekolah berdekatan mendakwa terlihat makhluk itu di parit berhampiran padang sekolah.

Pelajar tersebut dikatakan telah berjaya menangkap makhluk tersebut yang bertubuh kecil, berwarna coklat serta terselit pistol pada pinggangnya. Namun, ia berjaya meloloskan diri dari pelajar tersebut.

Petang kemudian, pelajar tersebut telah kembali ke kawasan berkenaan bersama dua orang rakannya dan mereka mendakwa terlihat ‘lembaga’ itu yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran mereka.

Seorang guru di sekolah tersebut yang dikenali sebagai En. Yew Kim Guan telah menerima laporan mengenai perkara tersebut sebelum pergi menyiasat ke lokasi kejadian. Bagaimanapun, tiada identiti aneh berjaya ditemukan. Namun, dia terkejut selepas terjumpa satu khemah kecil seakan-akan khemah Red Indian di kawasan tersebut.

5. Bukit Mertajam, Penang (1973)

Selepas beberapa kejadian yang dilaporkan berlaku pada tahun 1973, sekali lagi terdapat satu laporan pada tahun yang sama dan dikatakan berlaku di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Hal itu selepas sekumpulan pelajar yang sedang bermain bola di padang sebuah sekolah digemparkan dengan kelibat piring terbang yang mendarat di kawasan mereka bermain.

Terkejut dengan kejadian itu, mereka dikatakan terus berhenti bermain sebelum menuju ke arah ‘kenderaan udara’ tersebut sebelum melihat beberapa makhluk asing bertubuh kecil keluar dari piring terbang berkenaan.

Mereka juga dikatakan cuba menangkapnya namun gagal selepas terdapat satu pancaran cahaya telah menembak ke arah tangan pelajar tersebut. Dalam beberapa saat kemudian, makhluk asing itu hilang tanpa dikesan.

Demikianlah 5 rekod penemuan yang dikatakan pernah berlaku di Malaysia. Sebenarnya, terdapat banyak lagi kes melibatkan penemuan itu dan dikatakan sebanyak 150 kes telah dilaporkan sejak 1969.

Rata-rata daripada kisah yang didedahkan, ia banyak berlaku di kawasan sekolah dan banyak dilihat oleh para pelajar. Malangnya, tiada bukti kukuh untuk membuktikan perkara tersebut adalah benar.

Terdapat juga dakwaan menyatakan kejadian itu merupakan imaginasi pelajar oleh kerana ketika itu, berita mengenai UFO adalah sangat popular. Namun, terdapat juga masyarakat yang mempercayai kewujudan makhluk tersebut.

Kredit: Iluminasi

+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Medaia

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Lifestyle

Ke Atas