Sebelum ini, Planetarium Negara pernah memaklumkan bahawa Malaysia bakal berpeluang menyaksikan fenomena Hujan Meteor Geminids pada waktu malam dari 4 hingga 17 Disember 2021.
Menerusi perkongsian di laman Facebook, juraian meteor ini akan mencapai maksimum dengan kadar 120 meteor sejam atau 2 meteor seminit pada Isnin 13 Disember 2021, jam 9 malam sehingga menjelang awal pagi 14 Disember.
Pusat pancaran meteor-meteor tersebut datangnya dari buruj Gemini yang terletak di langit sebelah Utara. * Penampakan hujan meteor ini bergantung kepada keadaan cuaca semasa.
Tambahnya, orang ramai digalakkan untuk berada di kawasan yang gelap dan jauh dari sumber cahaya bagi menyaksikan fenomena tersebut.
Juraian Meteor Geminids terangi langit Port Dickson
Berhubung dengan perkara itu, langit di Port Dickson, Negeri Sembilan, dilaporkan telah diterangi sebanyak 20 juraian meteor Geminids bermula pukul 1 pagi hingga 6 pagi tadi.
Menurut Ketua Unit Baitul Hilal, Muzamir Mazlan, perkara itu dapat dilihat berdasarkan pemerhatian pihaknya terhadap fenomena itu selama dua malam berturut-turut.
Cerapan meteor Geminids pada pagi ini agak baik. Jika pada tahun-tahun sebelum ini langit tidak secantik ini.
Fenomena hujan meteor Geminids berlaku pada bulan Disember setiap tahun ketika musim Monsun Timur Laut.
Jaluran meteor boleh dilihat dengan mata kasar
Tambahnya lagi, orang ramai boleh menyaksikan keunikan jaluran meteor tersebut yang melintasi ruang angkasa dengan jumlah yang banyak serta boleh dilihat dengan mata kasar.
Juraian meteor tanpa menggunakan teleskop melalui satu arah sahaja. Hanya dengan melihat menggunakan mata kasar dan boleh mengambil gambar guna kamera DSLR.
Meteor Geminids akan muncul dari kawasan buruj Gemini dan merupakan juraian meteor terbanyak. Kemuncaknya pula akan berlaku pada 13 dan 14 Disember setiap tahun.
Selain itu, terdapat beberapa lokasi seperti di Jeti Teluk Pelandok, Sungai Sekawang, Kampung Orang Asli Bukit Kepong dan Hutan Lipur Pasir Panjang yang merupakan kawasan sesuai untuk melihat meteor tersebut.