Oh! Islam
Usahawan Tempah Kain Kafan RM999, Mufti Wilayah Persekutuan Tegur Isu ‘Pakai Berjenama’ Ke Alam Kubur
Isu tempah kain kafan RM999, Mufti Wilayah Persekutuan tampil menegur kefahaman mizan dan isu jenama.
Baru-baru ini, tular video memaparkan seorang usahawan menempah kain kafan dengan seorang pereka terkenal.
Difahamkan, kain kafan sebagai persediaan untuk kematian itu ditempah dengan harga RM999.
Perkongsian tersebut mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen apabila persediaan akhir hayat dikaitkan dengan harga dan jenama.
Video itu sekali gus menimbulkan persoalan tentang kefahaman sebenar berkaitan kematian dalam Islam.
Mufti Wilayah Persekutuan tegur isu kefahaman mizan
Susulan penularan isu itu, Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil tampil memberikan teguran berhubung kecelaruan kefahaman masyarakat terhadap konsep mizan atau timbangan amalan.

Menurut beliau, tindakan menempah kain kafan itu sendiri tidak dihukum haram. Namun, setiap perbuatan perlu difahami dalam konteks mizan dan neraca yang betul, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kematian dan amalan akhir seseorang.
Mufti turut menekankan bahawa apa yang menjadi timbangan ketika seseorang meninggal dunia bukanlah nilai harga atau jenama, sebaliknya amalan soleh yang dilakukan sepanjang hayat.
Elak kaitkan kematian dengan jenama
Dalam teguran sama, masyarakat turut dinasihatkan agar berhati-hati dalam menyampaikan mesej berkaitan kematian.
Ungkapan atau naratif yang mengaitkan kain kafan dengan jenama boleh menimbulkan rasa tidak selesa serta kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Walaupun niat asal mungkin baik sebagai peringatan kematian, cara penyampaian yang kurang tepat berpotensi mengaburkan mesej sebenar Islam tentang kesederhanaan dan keikhlasan dalam menghadapi ajal.
Beliau turut terbuka menjemput usahawan berkenaan ke pejabatnya untuk menerangkan mengenai kekeliruan itu.
Pssttt! Isu ini wajar dijadikan pengajaran bersama bahawa niat baik sahaja tidak mencukupi jika cara penyampaian boleh menimbulkan salah faham. Dalam hal berkaitan kematian, kesederhanaan dan kefahaman agama perlu diutamakan agar mesej yang disampaikan benar-benar mendidik, bukan mengelirukan.
Kredit: Facebook Fauwaz Fadzil
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Dulu Tak Suka Dunia Hiburan, Kini David Teo Penerbit Di Sebalik Lebih 100 Filem | Oh! Podcast Ep22
OH! MEDIA 21/01/2026 6:54 PM