Connect with us

Oh! Media

Semakin Ramai Pakai Android Box Tengok Siaran Berbayar, Tak Haram Ke? Ini Jawapan Mufti WP Tentang Hukum

android box

Oh! Islam

Semakin Ramai Pakai Android Box Tengok Siaran Berbayar, Tak Haram Ke? Ini Jawapan Mufti WP Tentang Hukum

Kalau dulu kita tengok penjualan Android Box ni secara gelap tapi sekarang semakin banyak pula peniaga yang berani jual secara terang. Tidak cukup dengan itu, siap ada pula yang berani buat review dan ajar orang lain cara untuk dapatkan siaran berbayar secara percuma. Tahu tak haram?

ADVERTISEMENT

Mesti ramai yang tahu benda ni haram sebab boleh dikira ambil hak orang lain tanpa kebenaran mereka. Tapi mesti ramai juga yang buat-buat tak faham dan halalkan benda yang haram. Untuk beri lebih penjelasan dan pemahaman mengenai perkara ini, jom kita lihat apa jawapan Mufti Wilayah Persekutuan.

Isu ini telah diulas dalam laman web Mufti Wilayah Persekutuan oleh Dr. Luqman Bin Haji Abdullah. Beliau menjawab tentang hukum membeli Android Box bagi tujuan mengakses siaran berbayar secara percuma.

android box

Jawapan ringkas

Asal hukum bagi membeli dan menggunakan android box adalah harus. Namun begitu, sekiranya tujuan pembelian dan penggunaan peranti tersebut adalah untuk mengakses siaran berbayar dan hak cipta lain dengan cara yang salah maka ianya adalah diharamkan kerana mencerobohi hak dan menzalimi pihak lain.

Huraian jawapan

Android Box adalah alat atau peranti yang digunakan untuk membolehkan televisyen mendapat siaran-siaran dari seluruh dunia. Tambahan lagi, peranti tersebut dapat membolehkan televisyen menyiarkan perkhidmatan siaran strim (streaming services) lain yang biasanya hanya boleh diakses melalui laptop, komputer, telefon dan peranti pintar yang lain.[1] Selain itu, ia juga akan membolehkan pengguna mendapat akses terhadap aplikasi-aplikasi peranti pintar seperti playstore, internet dan lain-lain.

Terdapat dua bentuk siaran yang akan diperoleh melalui penggunaan peranti tersebut iaitu siaran berbayar dan siaran percuma. Justeru, tidak timbul sebarang isu syariah bagi kategori siaran percuma kerana ia boleh digunakan oleh semua orang. Namun begitu, timbul isu syariah bagi kategori siaran berbayar yang sepatutnya pengguna bayar terlebih dahulu untuk mendapat akses siaran tersebut. Terdapat keadaan di mana pengguna peranti tersebut mendapat akses kepada siaran berbayar tanpa melanggannya yang seterusnya menyebabkan kerugian kepada syarikat penyiaran.

Justeru, permasalahan ini adalah sama mengambil hak orang lain dengan cara yang batil dan menzalimi syarikat penyiaran serta pihak-pihak berkaitan dengannya. Perbuatan ini juga telah dilarang oleh Allah SWT melalui firmanNya berikut:

وَلَا تَأۡكُلُوٓاْ أَمۡوَٰلَكُم بَيۡنَكُم بِٱلۡبَٰطِلِ

Maksudnya: Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah. – Surah al-Baqarah (188)

Selain itu, permasalahan ini juga berkait rapat dengan hak cipta dan lesen penyiaran. Hak cipta, penyiaran dan seumpama dengannya adalah merupakan hak yang diiktiraf syarak. Ini dapat dilihat melalui kenyataan Dr Abu Ghuddah yang menyatakan bahawa cap dagangan, nama syarikat, tulisan atau ciptaan seseorang dalam konteks semasa dianggap mempunyai nilai di sisi syarak. Oleh itu, tidak boleh untuk seseorang mencerobohi hak tersebut atau menggunakannya dengan cara yang salah seperti mencetak tanpa kebenaran, menggodam atau menggunakannya tanpa membayar atau melanggannya. (Rujuk Majalah Majma’ Fiqh al-Islami 2080/5[2]Fiqh Nawazil 165/2[3])

Adapun bagi perbuatan membeli dengan tujuan untuk menonton siaran percuma atau fungsi-fungsi lain yang tidak melibatkan hak pihak lain dan mencerobohi hak-hak mereka, maka pembelian atau penggunaannya adalah diharuskan syarak sekiranyya menepati syarat dan rukun jual beli. Hal ini juga berdasarkan kaedah fiqh berikut:

‌الْأَصْلُ ‌فِي ‌الْأَشْيَاءِ ‌الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Hukum asal suatu perkara adalah harus sehingga terdapat perkara yang membawa kepada pengharamannya. (Rujuk al-Asybah wa al-Nazoir h.60)

Namun begitu, sekiranya pembelian peranti tersebut adalah bertujuan untuk mendapatkan akses siaran berbayar dengan cara yang salah maka ianya adalah haram sebagaimana perbincangan di atas. Ini adalah bertepatan dengan kaedah fiqh berikut:

‌الْأُمُورُ ‌بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Setiap perkara itu bergantung dengan niat tujuannya. (Rujuk  al-Asybah wa al-Nazoir h.8)


Diharapkan penjelasan panjang lebar dan jelas ini dapat menjawab persoalan kita semua.

Kredit: Muftiwip

+ Baca respon pembaca yang di Facebook dan Telegram Oh! Media.

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Skop penulisan merangkumi segala aspek terkini & viral.

Comments

Lagi dalam kategori Oh! Islam

30 Hari Paling Trending

To Top