Connect with us

Oh! Media

#RENUNGAN Nabil Ahmad Kongsi Pengalaman Qada Solat Sebelum Subuh, Ini Jawapan Jabatan Mufti Wilayah

qada solat

Oh! Artis

#RENUNGAN Nabil Ahmad Kongsi Pengalaman Qada Solat Sebelum Subuh, Ini Jawapan Jabatan Mufti Wilayah

Rasanya ramai sudah tahu tentang pelawak dan pengacara popular Nabil Ahmad yang sedang aktif mempelajari ilmu agama. Dalam #RENUNGAN di Ohmedia hari ini, kami tertarik dengan perkongsian dari Nabil yang pernah berusaha untuk qada solatnya yang tertinggal dahulu.

ADVERTISEMENT

Nabil menyatakan dia pernah mengamalkan solat 17 rakaat sebelum menunaikan solat Subuh setiap hari di awal penghijrahannya. 17 rakaat itu dilakukan bagi mencukupkan 5 waktu sehari yang mungkin tertinggal dahulu iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak.

Ditegur seorang sahabat supaya tidak terlalu memaksa diri…

Sahabat itu mengingatkan saya supaya melangkah perlahan-lahan dalam penghijrahan. Katanya, belajar istiqomah perlahan-lahan. Jangan terlalu memaksa kerana kalau terlalu memaksa, takut nanti penghijrahan itu rasa seperti terbeban.

Dulu, kalau dengar azan pun, saya hanya solat di rumah dan tak ke masjid. Tapi, Allah berikan kenikmatan kepada saya untuk merasakan kemanisan Islam itu sendiri. – Kongsinya.

nabil dan isteri

Nabil juga berkongsi di awal mengikuti kegiatan dakwah, dirinya masih jahil dan tidak pandai membaca al-Quran. Kini, Nabil dan isterinya, Zira Ayub lebih tenang dan akan meraikan 10 malam terakhir Ramadan tahun ini di Makkah dan menunaikan umrah.

Berikut kami kongsikan pula tentang satu soalan yang pernah diajukan dan sudahpun dijawab portal Mufti Wilayah tentang:

“Qada solat atau solat sunat, mana lebih utama?”.

qada solat

Soalan:

Asssalamualaikum wbt,

Saya tidak pernah solat dari baligh sehingga umur 22 tahun, dan dari apa yang saya tahu saya perlu menggantikan ke semua solat yang saya tinggalkan itu dengan segera, dan haram bagi saya melakukan solat-solat sunat sekiranya belum habis menggantikan solat. Oleh kerana itu sekiranya di siang hari saya bekerja dan melakukan hal-hal harian maka saya tiada masa untuk menggantikan solat, sekiranya terdapat masa terluang dimana wajib bagi saya bersegera menggantikan solat tetapi saya memilih untuk melakukan perkara lain seperti membaca buku agama,mengaji al quran dll. Perkara yang baik di sisi agama maka adakah boleh bagi saya untuk memilih dan menetapkan untuk menggantikan solat di waktu malam. Soalan saya seterusnya sekiranya saya terus tetap melaksanakan solat ganti saya itu, dalam masa yang sama bolehkan untuk saya melakukan solat sunat atau hanya solat sesetengah sunat sahaja yang dibolehkan, dan jika begitu mohon nyatakan solat sunat apakah yg boleh dilakukan. Mohon penjelasan dan pencerahan dato’ mufti, terima kasih.

Terima kasih. 

Jawapan

Assalamualaikum wbt,

Pertama sekali ingin kami ucapkan tahniah atas keprihatinan dan kesedaran saudara tentang kepentingan solat, di waktu ramai orang pada zaman ini yang mengabaikan solat fardu mereka. Islam amat menitik beratkan soal solat. Daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir.

Hadis riwayat al-Tirmidzi, Ahmad, Ibnu Majah dan lain-lain.

Dikatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الصَّلَاةَ فَلَا دِينَ لَهُ، وَالصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ

Maksudnya: Barangsiapa yang meninggalkan solat maka hilanglah agama pada dirinya kerana solat itu tiang agama.

Hadis riwayat al-Baihaqi (255) dalam Syu`ab al-Iman

Berkata ulama:

الصلاة عماد الدين فمن تركها فقد هدم الدين

Maksudnya: Solat itu tiang agama barangsiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama.

Rujuk Ihya` Ulumiddin (147/1)

Syarak juga mengkehendaki kita agar mengajar anak-anak bersolat sewaktu umur kanak-kanak. Rasulullah SAW bersabda:

مُرُوا أَوْلَادَكُمْ بِالصَّلَاةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ، وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا، وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ

Maksudnya: Suruhlah anak-anak kalian menunaikan solat pada umur mereka 7 tahun, dan pukullah mereka (jika mereka enggan bersolat) pada umur mereka 10 tahun.

Hadis riwayat Abu Dawud.

Jika kita pernah terlalai daripada menunaikan solat fardu, maka hendaklah kita menggantikan solat-solat fardu itu semampu kita kerana itu dikira hutang yang wajib kita langsaikan. Sabda Rasulullah:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.

Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Kami berpandangan bahawa menyegerakan qada solat fardu itu adalah keutamaan bagi saudara dalam hal ibadat namun dibenarkan bagi saudara melakukan solat sunat yang bersebab contohnya solat Duha dan Tahiyyatul Masjid. Juga digalakkan agar saudara memperbanyakkan bersedekah dan berbudi kepada manusia. Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua. Wallahua`lam.

Kredit: Harian Metro | muftiwp

+ Baca respon pembaca yang di Facebook dan Telegram Oh! Media.

Lagi dalam kategori Oh! Artis

Ke Atas