Penyanyi popular, Stacy mengejutkan ramai apabila menarik diri daripada konsert A Night With Sumandak Stars Ceritera Hatiku.
Pengumuman tersebut dibuat menerusi satu hantaran di Instagram pihak pengurusannya, Rythm and Rhyme Entertainment pada Jumaat.
Difahamkan, konsert yang bakal berlangsung pada 30 November 2024 itu mengumpulkan artis kelahiran Sabah di bawah satu bumbung iaitu Bella Astillah, Adira, Marsha, Nikki Palikat, Didi Astillah dan Wani Kayrie.
Terbaru, Stacy menjelaskan punca utama beliau menarik diri adalah kerana beberapa syarat yang tidak dipatuhi pihak penganjur.
Menurut Stacy, sebagai seorang penyanyi dia sudah tentu mempunyai perancangan yang melibatkan beberapa client penting.
Jadi, sebelum pembabitan konsert Stacy sudah meletakkan beberapa syarat daripada pihaknya.
Untuk Sumandak Stars ni awal-awal saya dah tolak sebab awal-awal namanya Bella & Friends punya konsert. So, saya dah tolak memikirkan pasal kerja yang saya kena buat, sudah ada planning kerja saya sendiri. Jadi dorang tukar jadi Sumandak Stars, saya cakap lagi saya tak boleh join sebab saya sendiri pun tak nak lah jadi Bella & Friends.
Jelas Stacy, dia memahami hasrat Bella Astillah untuk mengumpulkan semua penyanyi kelahiran Sabah. Jadi, pihak penganjur ada beberapa kali memujuknya dan dia telah meletakkan syarat.
Di atas komitmen kerjaya, Stacy berkata dia tidak boleh dilihat sebagai ‘friends’ di dalam konsert tersebut. Ujarnya, segala urusan pada awalnya baik-baik sahaja sehinggalah sidang media mengenai konsert dibuat.
So bila dah PC apa semua tu keluar gambar. Saya agak terkejutlah sebab rasanya saya sudah jelaskan apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Memandangkan saya sendiri tiada lock atau pun kontrak, dan saya dengar saya orang terakhir untuk confirm. Jadi saya ada masa untuk tarik diri dan tidak mahu terlibat.
Mengenai gambar poster konsert, penyanyi ini pada awalnya menganggap ianya kesalahan teknikal dari pihak penganjur.
Namun, timbul rasa terkilan dalam dirinya apabila mendapat tahu gambar itu sudah ada draft pertama dari awal lagi.
Saya jadi macam, “Adakah benda ini disengajakan?” Atau saya sekadar dimasukkan untuk apa? Saya pun tak tahu..
Kata Stacy lagi, dia terkejut kerana apa yang dikeluarkan adalah berlainan daripada apa yang telah dibincangkan.
Sebagai seorang penyayi, Stacy juga mahu menjaga reputasi dan menjelaskan penarikan dirinya bukan semata-mata kerana poster tetapi disebabkan syarat-syarat yang tidak dipenuhi.
Namun, Stacy jujur berkata poster merupakan salah satu syarat yang ditetapkan pihaknya.