Connect with us

Oh! Media

Kes Makin Meningkat, Petugas KKM Sudah Penat

COVID-19

Kes Makin Meningkat, Petugas KKM Sudah Penat

Peningkatan kes harian jangkitan Covid-19 termasuk kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) berada pada tahap kritikal yang melebihi kadar 90 peratus.

ADVERTISEMENT

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pada masa sama, petugas barisan hadapan (Perubatan dan Kesihatan) kini mengalami gelaja lesu upaya, kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes COVID19 untuk tempoh yang kian berlarutan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) ingin memaklumkan bahawa jumlah purata kes baharu harian selama tujuh hari (30 Jun hingga 6 Julai 2021) ialah sebanyak 6,539 kes dan ia didapati masih tinggi berbanding nilai ambang PPN (Pelan Pemulihan Negara) (untuk Fasa Satu ke Fasa Dua) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari (atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk).

“Lebih membimbangkan lagi, trend kemasukan kes COVID-19 ke ICU masih berada pada tahap yang tinggi. Ia tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 hingga 12 Jun 2021) hingga kini,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19 hari ini.

Apa yang lebih membimbangkan lagi apabila penduduk di negeri Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Sarawak, Pahang, Labuan, Putrajaya dan Negeri Sembilan mencatatkan 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk.

Tambah beliau, empat negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Labuan mencatat peningkatan 38 kes bagi setiap 100,000 penduduk, melebihi kapasiti maksimum hospital yang menyebabkan sistem kesihatan hampir lumpuh.

“Malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini. Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, disebabkan peningkatan ini, satu cadangan untuk membuat beberapa hospital di Lembah Klang sebagai pusat rawatan Covid-19 sepenuhnya seperti Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dipertimbangkan.

Manakala, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) pula akan dijadikan pusat rawatan untuk pesakit Covid-19 yang berada pada tahap empat dan lima.

“Ia juga termasuk memindahkan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisme penyumberan luar, mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes COVID-19, menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19 dan menambah kapasiti katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” katanya.

Beliau juga menasihati negeri yang sedang beralih ke Fasa Dua PPN untuk sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) dan tidak leka sehingga boleh menyebabkan negeri terbabit kembali ke PKPD.

Kredit : BeritaHarian

+ Baca respon pembaca di Facebook Oh! Media

Lagi dalam kategori COVID-19

Ke Atas