Trending
Stok Beras, El Niño & Musim Tengkujuh: Penjelasan Mohamad Sabu Tentang Keterjaminan Makanan Negara
Jujur cakap, sebelum duduk dengar perbualan santai dalam Oh! Podcast Ep34, ramai antara kita mungkin hanya nampak isu makanan ini bila harga barang naik atau bila tiba-tiba viral stok habis.
Tapi bila YB Datuk Seri Mohamad Sabu selaku Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kupas satu per satu dalam episod ini, barulah nampak betapa luas kerja di belakang tabir dari musim tengkujuh, cuaca panas El Niño, sampai ke soal eksport hasil tempatan.
Ini antara perkara yang paling menarik perhatian kami sepanjang sesi tersebut.
Kepentingan Beras Kepada Rakyat Malaysia
Di Malaysia, beras ini memang lain macam sensitiviti dia. Kurang sayur atau daging mungkin bising sikit, tapi kalau bab beras terganggu, satu negara boleh rasa gelisah.
Tambahan pula, permintaan beras bukan sekadar untuk rakyat kita saja, tetapi turut melibatkan ramai pekerja asing yang kebanyakannya berada dalam usia produktif.
Sebab itu kadar sara diri (Self-Sufficiency Ratio atau SSR) beras perlu dinaikkan semula secara berperingkat dari 55 peratus ketika ini kepada sasaran 70 peratus menjelang 2030.
Apa yang menarik, usaha ke arah itu sedang berjalan melalui pembukaan sawah baru di Sarawak dan Sabah (termasuk di Kota Belut) bayangkan tanah terbiar mula diusahakan semula, serta penambahbaikan sistem pengairan.
Di kawasan tertentu seperti Sekinchan, hasil padi sudah pun mencecah 7 hingga 10 tan per hektar angka yang cukup memberi gambaran potensi jika purata keseluruhan dapat ditingkatkan.
Perancangan Kerajaan Hadapi Fenomena El Niño
Lepas isu hujan lebat dan banjir monsun, cabaran seterusnya ialah ramalan cuaca panas El Niño yang boleh mencecah sehingga 40°C.
Di sinilah kami nampak perancangan teknikal KPKM bersama agensi seperti MADA dan KADA:
- Kawalan Air Empangan: Paras air di empangan utama seperti Pedu, Ahning, dan Muda dipantau rapi. Jika paras air terlalu rendah, bekalan minuman asas akan diutamakan manakala air untuk sawah mungkin perlu dicatu secara berjadual.
- Kaedah & Jadual Penanaman: Pesawah digalakkan ikut jadual penanaman yang ditetapkan serta mencuba pendekatan seperti tabur kering bagi mengurangkan risiko kerosakan tanaman akibat cuaca panas.
- Stok Ikan Sejuk Beku: Bila air laut terlalu panas, ikan pantai atau “ikan rakyat” biasanya lari ke laut dalam. Jadi LKIM sudah siap-siap bina stok ikan sejuk beku lebih awal untuk menampung pasaran jika bekalan segar terjejas.
“Dalam pemikiran, dalam kajian mesti kita bersedia ke arah itu. Oleh itu pada para pesawah kita minta betul-betul kena menanam dan sebagainya ikut jadual supaya tidak berlaku kerosakan tanaman kerana kelalaian kita.”– YB Datuk Seri Mohamad Sabu
Kerisauan Rakyat Ketika Bekalan Makanan Terganggu

Bila dengar cerita banjir besar atau sekatan eksport luar negara (contohnya isu sekatan eksport beras putih di India), normallah kalau orang ramai mula risau stok cukup atau tidak.
Dari segi stok beras kecemasan negara, simpanan sedia ada dilaporkan mampu bertahan sekitar 6 bulan sekiranya bekalan luar terputus sepenuhnya. Selain itu, program Jualan Agro Madani di sekitar 5,000 lokasi turut dijadikan salah satu saluran untuk bantu rakyat dapat harga barangan sekitar 10% hingga 30% lebih rendah daripada harga pasaran biasa, sambil cuba menjaga keseimbangan dengan peniaga sedia ada.
Nasihat Untuk Petani
Cuaca sekarang memang susah nak agak, banjir kilat pun boleh datang di luar musim biasa Daripada perkongsian dalam podcast ini, ada beberapa poin praktikal yang ditekankan untuk komuniti pertanian dan perikanan:
Ikut Jadual Penanaman: Membantu mengurangkan risiko tanaman rosak atau tenggelam pada waktu kritikal,
Manfaatkan Perlindungan Takaful: Penyertaan takaful pertanian (seperti di bawah AgroBank) memudahkan urusan bantuan bila berdepan musibah luar jangka.
Teroka Kaedah Moden: Anak muda yang berminat boleh melihat peluang dalam akuakultur seperti biofloc atau vertical farming yang lebih terkawal dan tidak bergantung sepenuhnya pada cuaca luar.
Pesanan Kepada Rakyat Malaysia
Paling dekat dengan kita sebagai pengguna ialah sikap waktu membeli-belah bila timbul khabar angin bekalan terjejas, elakkan panic buying. Beli ikut keperluan secukupnya supaya orang lain pun sempat dapat bahagian masing-masing.
“Kalau puan dah beli sebulan dua kampit, kekalkan dua kampit beras itu. Jangan beli lima. Dia menyebabkan hak orang lain nak beli tu akan terjejas.” ujar YB Datuk Seri Mohamad Sabu berseloroh.
Akhirnya, isu makanan ini bukan kerja satu pihak saja ia perlukan kerjasama antara kerajaan, pemain industri, dan sikap peka kita sebagai pengguna.
Kalau nak faham keseluruhan gambaran dasar, perancangan, dan cerita di sebalik tabir KPKM dengan lebih jelas, jangan baca ringkasan ini saja. Tonton episod penuh Oh! Podcast Ep34 sampai habis supaya anda dapat dengar sendiri penjelasan dan konteks penuh.
