Trending
Mahkamah Keluar Perintah Baharu, Najib Razak Jalani Hukuman Penjara Secara Tahanan Rumah Serta-Merta
Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjara kes SRC International secara tahanan rumah di kediamannya sehingga 23 Ogos 2028.
Intipati berita
- Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib Razak menjalani baki hukuman penjara kes SRC International menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta.
- Perintah pelepasan terdahulu bertarikh 6 November 2026 berkaitan pembayaran denda RM50 juta dibatalkan dan digantikan dengan perintah baharu.
- Najib perlu menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
- Keputusan baharu dibuat selepas AGC memohon Mahkamah Tinggi mengkaji semula perintah terdahulu bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bakal menjalani baki hukuman penjara dalam kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta secara serta-merta.
Menurut laporan Kosmo, perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi hari ini mengeluarkan perintah pelepasan baharu sekali gus membatalkan perintah terdahulu yang dikeluarkan pada 6 November lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin.
Mahkamah batalkan perintah terdahulu, Najib Razak jalani tahanan rumah

Menerusi keputusan mahkamah, perintah pelepasan yang dikeluarkan sebelum ini berkaitan pembayaran denda RM50 juta dibatalkan dan digantikan dengan perintah baharu.
Hakim Aslam turut menjelaskan bahawa Najib perlu menjalani baki hukuman penjara selama enam tahun menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Yang pertama sekali, perintah pelepasan atas pembayaran denda, ‘which is an order of discharge on payment of fine’ bertarikh 6 November 2026, dengan ini dibatalkan dan digantikan sepenuhnya dengan perintah ini.
Yang kedua, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat, tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan itu secara tahanan di rumah di Langgak Duta sehingga 23 Ogos 2028.
AGC sebelum ini mohon perintah pelepasan dikaji semula

Terdahulu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan Najib.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar mengesahkan permohonan itu dibuat berdasarkan perintah yang dikeluarkan mahkamah pada 6 November lalu.
Permohonan itu bertujuan mendapatkan satu perintah pelepasan baharu, selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Sebelum ini, Najib dilaporkan sudah membayar denda RM50 juta di kaunter pembayaran hasil dan deposit Mahkamah Tinggi bagi membolehkan baki hukumannya dijalani menerusi tahanan rumah.
Bagaimanapun, beliau kembali ke Penjara Kajang selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
AGC kemudian memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat.
