Branded
IWK Jalin Kerjasama Dengan Pengusaha Hotel Di Pulau Langkawi Bagi Melindungi Pengurusan Air Sisa Kumbahan
Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah menjalinkan kerjasama dengan pengusaha hotel di Pulau Langkawi dalam usaha bersama ke arah kelestarian pengurusan lemak, minyak dan gris (FOG) serta pengurusan air sisa kumbahan di pusat pelancongan ini.
Jalinan kerjasama ini telah dinyatakan dalam satu penyataan sokongan bersama antara IWK dan Persatuan Hotel Malaysia (Kedah dan Perlis) dengan memberi tumpuan kepada amalan kelestarian alam sekitar dan garis panduan pengurusan FOG, di samping memperkukuhkan kerjasama strategik antara IWK dengan pemain industri.
Kadar pematuhan kurang 15%

Ketua Pegawai Operasi IWK, Ir. Mohd Taufik Salleh berkata, berdasarkan rekod IWK, tahap penerimaan komuniti terhadap pengosongan tangki septik secara berkala masih rendah dengan kadar pematuhan kurang daripada 15 peratus.
Keadaan ini amat membimbangkan kerana tangki septik yang tidak dikosongkan secara berkala berisiko mengalami kegagalan fungsi dan limpahan air sisa kumbahan. Akibatnya, air sisa kumbahan boleh mengalir ke sistem perparitan, seterusnya mencemarkan sungai dan kawasan perairan pantai
Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohamad Yusoff bin Haji Zakaria, dan turut disertai kira-kira 100 peserta terdiri daripada pengusaha hotel serta wakil agensi kerajaan termasuk Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Pada majlis tersebut, IWK bersama SPAN turut melancarkan OPS HELANG sebagai inisiatif memperkukuhkan pematuhan pengosongan tangki septik secara berkala, di samping meningkatkan kesedaran komuniti dan pengusaha hotel terhadap kepentingan pengurusan air sisa kumbahan yang berkesan.
Libatkan premis komersial, domestik

OPS HELANG yang berlangsung dari 13 hingga 15 Julai 2026 memberi fokus kepada pemeriksaan dan pemantauan pematuhan pengosongan Tangki Septik Individu (IST) melibatkan premis komersial dan domestik di seluruh Pulau Langkawi.
Menurut Ir. Mohd Taufik, operasi IWK di Pulau Langkawi disokong oleh empat Loji Rawatan Kumbahan Serantau iaitu di Kuah, Pantai Tengah 1, Pantai Tengah 2 dan Padang Matsirat, dengan rangkaian paip pembetungan bawah tanah sepanjang 85.5 kilometer.
Selain sistem rawatan kumbahan berpusat, IWK selaku pemegang lesen yang dilantik turut memantau serta menyediakan perkhidmatan pengosongan Tangki Septik Individu bagi sistem kumbahan setempat di seluruh pulau ini yang merangkumi 3,852 pengguna Tangki Septik Individu (IST) dan 14,766 pengguna tangki primitif (palong).

Pelaksanaan OPS HELANG bukan sekadar aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan, malah merupakan usaha bersama untuk meningkatkan kesedaran serta memastikan semua pihak memahami tanggungjawab masing-masing dalam menjaga sistem pembetungan.
Pengurusan sisa kumbahan yang efektif adalah kunci utama bagi memastikan perairan laut dan ekosistem pulau ini kekal terpelihara untuk generasi akan datang. Kerjasama daripada pemilik premis, pengusaha hotel, komuniti serta semua pihak berkepentingan amat diperlukan bagi menjayakan usaha ini
Usaha ini turut selari dengan komitmen Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuhkan infrastruktur pembetungan di Langkawi.
Antara inisiatif yang telah dilaksanakan termasuk Projek Sambungan Hartanah Fasa 4 di Pantai Chenang dan Pantai Tengah ke Loji Rawatan Kumbahan Pantai Tengah yang melibatkan 123 premis dengan kos RM7.52 juta di bawah SPAN.
Projek tersebut telah siap pada Oktober 2024. Selain itu, projek perintis menaik taraf sistem pembetungan primitif di Pulau Tuba turut sedang dilaksanakan.

