Trending
“Sedih Tengok Anak Sulung Ambil Alih Tanggungjawab Ayah” – Isteri Sebak Suami Rohingya Ditahan Sejak Oktober
Isteri luah suami Rohingya ditahan sejak Oktober, anak sulung kini bantu cari rezeki.
Seorang wanita sedang berjuang membesarkan enam anak selepas suaminya ditahan di Depot Imigresen Belantik, Sik Kedah sejak Oktober tahun lalu.
Memetik laporan Sinar Harian, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Intan berkata kehidupannya berubah sekelip mata apabila suami yang selama ini menjadi tempat bergantung kini tidak lagi berada di sisi keluarga.
Anak sulung terpaksa bantu cari rezeki
Menurut Intan, suaminya disifatkan sebagai seorang lelaki penyayang, rajin bekerja dan sentiasa mengutamakan keluarga.

Lebih memilukan, ketiadaan suami membuatkan anak sulung mereka terpaksa memikul sebahagian tanggungjawab keluarga pada usia yang masih muda.
Sedih tengok anak sulung terpaksa mengambil alih tanggungjawab ayah. Dia bekerja setiap hujung minggu sehingga lewat malam dan pada hari biasa jika dipanggil majikan.
Menurut Intan, anak sulungnya bekerja di sebuah kedai makan selepas tamat sesi persekolahan bagi membantu mencari rezeki.
Dalam masa sama, anak itu juga membantu menguruskan lima adiknya di rumah.

Intan berkata, dia dan suaminya mendirikan rumah tangga pada tahun 2008 selepas mengenali satu sama lain sejak berusia 19 tahun ketika bekerja di bandar Alor Setar.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan enam cahaya mata berusia antara empat hingga 16 tahun.
Semua anak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan.
Kehadiran suaminya dalam keluarga Intan sebelum ini diterima baik kerana lelaki tersebut dikenali sebagai seorang yang bertanggungjawab.
Malah, suaminya sudah lama menetap di Malaysia selepas dibawa masuk oleh ibu bapanya ketika masih bayi.
Sebelum ditahan, suaminya mengambil upah bekerja di kedai makan dan memotong rumput demi menyara keluarga.
Kini, dia bergantung kepada pendapatan menjual kuih selain bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM1,000.
Menurut Intan, suaminya memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Pssttt! Dalam isu seperti ini, kita mungkin berbeza pandangan tentang status dan latar belakang seseorang. Namun, dari sudut kemanusiaan, nasib anak-anak kecil yang terkesan tetap wajar diberi perhatian.
Semoga urusan keluarga Intan dipermudahkan dan anak-anaknya terus kuat menghadapi dugaan ini.
Kredit: Sinar Harian
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.

