Oh! Tidak
Pelancong Malaysia Dituduh Lari Bayar Makan Di Pagi Sore Jakarta
Pelancong Malaysia panik dituduh tak bayar bil restoran di Jakarta sebelum pihak restoran akhirnya mohon maaf.
Percutian ke luar negara sepatutnya jadi memori indah, tapi lain pula nasib sekumpulan pelancong Malaysia ini apabila mereka tiba-tiba kena tuduh tak bayar bil makanan di sebuah restoran terkenal di Jakarta, Indonesia.
Lebih mengejutkan, wajah rombongan mereka turut ditularkan di media sosial oleh pihak restoran selepas dikatakan beredar tanpa membuat bayaran walaupun mereka sebenarnya sudah melunaskan bil tersebut.
Ditularkan selepas tiga hari makan di restoran

Difahamkan, kejadian berlaku pada 13 Mei lalu apabila enam rakyat Malaysia tiba di Jakarta menerusi penerbangan awal pagi sebelum singgah makan di restoran Pagi Sore yang popular dalam kalangan pelancong Malaysia.
Ketika makan di situ, mereka memesan kira-kira sembilan jenis lauk dengan jumlah bil sebanyak Rp907,500 sebelum meneruskan perjalanan menaiki kereta api laju Whoosh ke Bandung.
Namun, situasi mula jadi kecoh bila mereka kembali ke Jakarta pada 16 Mei dan dimaklumkan oleh pemandu pelancong bahawa pihak restoran telah menularkan wajah mereka kerana didakwa tidak membayar bil makanan. Apa yang membuatkan mereka lebih pelik, tuduhan itu hanya timbul tiga hari selepas kejadian berlaku.
Gurauan makan jadi punca salah faham?

Menurut individu terbabit, mereka sebenarnya ada bergurau sesama sendiri kononnya mahu ‘lari’ dan mengenakan seorang rakan supaya membayar bil. Bagaimanapun, bayaran makanan tersebut memang sudah dibuat seperti biasa sebelum mereka meninggalkan restoran.
Situasi jadi lebih panik apabila semua ahli rombongan mula mencari resit pembayaran tetapi tidak pasti siapa yang menyimpannya. Mujur mereka masih mempunyai bukti transaksi pemotongan kad bank sebagai bukti awal.
Nasib baik ejen pelancongan mereka, Mas Bima dari Purnama Trans Wisata Bandung, segera membantu menyelesaikan salah faham tersebut sebelum keadaan jadi lebih buruk.
Restoran Pagi Sore Pik tampil mohon maaf

Selepas bukti pembayaran dikemukakan, pihak pengurusan restoran akhirnya mengakui berlaku salah komunikasi di pihak mereka.
Bagi menjaga nama baik pelancong Malaysia dan agensi pelancongan, pihak ejen turut meminta permohonan maaf rasmi daripada restoran tersebut.
Akhirnya, pihak restoran tampil membuat video dan mesej bertulis memohon maaf sebelum isu itu dianggap selesai oleh semua pihak.
Pssttt! Kalau bercuti luar negara, korang memang kena simpan resit atau bukti pembayaran walaupun nampak macam benda kecil. Kadang-kadang salah faham boleh berlaku bila-bila masa dan bukti itulah yang selamatkan keadaan.
Kredit: Threads
Reaksi netizen di Facebook, X, dan Instagram.
** Selain dari Whatsapp Channel, dapatkan kemaskini Oh! Media setiap hari terus ke emel melalui langganan percuma di bawah.
Razaisyam Dan Aedy Dedah Realiti Kerja Dengan Bront Palarae Dalam Filem Tarung | Oh! Podcast Ep27
OH! MEDIA 08/05/2026 8:30 PM