Branded
Malaysia Hasilkan 39 Peratus Je Baja Sendiri? Ini Alternatif Tempatan Dari IWK Yang Ramai Masih Tak Tahu….
Dalam menghadapi isu kekurangan baja global, penyelesaian berskala kecil kini dari IWK ini dilihat mampu membantu pekebun kecil di Malaysia terus bertahan dan kekal produktif.
Di media sosial ura-ura kenaikan harga makanan kini menjadi perbincangan hangat rentetan daripada ketegangan geopolitik antara Iran dan Amerika Syarikat.
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dalam satu kenyataan baru-baru ini, melaporkan bahawa gangguan bekalan baja bakal berlaku dan memberi ancaman besar kepada keselamatan makanan global.
Situasi ini bukan sahaja menjejaskan pengeluaran, malah turut menyebabkan peningkatan harga secara mendadak yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dunia, termasuk sektor pertanian di Malaysia yang kini berdepan kekurangan baja.
Konflik berpanjangan di Timur Tengah serta sekatan eksport dari China menjadikan kos dan ketersediaan baja semakin tidak menentu. Bagi petani tempatan, khususnya pekebun kecil, kesannya amat dirasai.
Perang Dekat Timur Tengah, Kenapa Malaysia Pun Terlibat?

Semasa pelancaran Dasar Keselamatan Makanan Negara 2023 (DKMN 2030) pada Januari 2026, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Amar Haji Fadillah Bin Haji Yusof menekankan kepentingan menangani isu ini.
Beliau menyatakan bahawa peningkatan kos input akan mencetuskan kesan domino sehingga membawa kepada inflasi harga makanan global, yang akhirnya membebankan rakyat. Kebergantungan kepada rantaian bekalan luar juga menjadikan negara lebih terdedah kepada kejutan ekonomi global.
Malaysia Hasilkan Tak Sampai Separuh Keperluan Baja Domestik!
Tahukan anda Malaysia hanya menghasilkan sekitar 39% daripada keperluan baja domestik, menyebabkan negara bergantung tinggi kepada import.
Kebergantungan Malaysia terhadap import baja bakal memberi impak kepada aktiviti pertanian negara apabila China yang membekalkan satu pertiga baja import Malaysia kini telah mengetatkan eksport bagi melindungi bekalan domestik mereka sendiri.
Gangguan laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz, yang mengendalikan satu pertiga perdagangan baja dunia, turut menyebabkan kos penghantaran meningkat dan tempoh bekalan penghantaran menjadi lebih lama.
Di dalam negara, situasi ini menyebabkan pengeluar baja tempatan menghentikan tempahan baharu apabila harga bahan mentah melonjak antara 100% hingga 150% dalam tempoh singkat.
Petani berskala besar yang bergantung kepada baja import untuk sistem fertigasi turut terkesan. Namun, impak paling besar dirasai oleh pekebun kecil.
Jadi Penyelesaikan Apa Yang Ada Untuk Pekebun Kecil?
Berbeza dengan syarikat besar yang boleh beli secara pukal atau menyerap kenaikan kos, pekebun kecil memerlukan pendekatan yang lebih praktikal dan berkesan.
Antara usaha ke arah itu adalah kajian pra-pengkomersilan oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd melalui cabang penyelidikannya, Indah Water Research Centre (IWRC).
Kajian ini menilai keberkesanan baja organik IWK yang dihasilkan daripada biosolid hasil rawatan kumbahan.
Ujian ini telah dijalankan ke atas empat tanaman landskap iaitu Vinca, Marigold, Japanese Rose dan Petunia, serta empat tanaman makanan seperti okra, sawi hijau, terung dan keledek dalam persekitaran rumah hijau.
Hasilnya menunjukkan peningkatan ketara dalam pertumbuhan tanaman dan kualiti tanah. Baja ini membekalkan nutrien penting seperti nitrogen, fosforus dan kalium yang diperlukan untuk perkembangan tanaman, sekali gus membuktikan ia selamat digunakan dalam pertanian.
Berkesan Ke Baja Organik IWK Ni?
Kalau tak berkesan, mestilah tak digunakan. Tapi….
Ada juga ujian berasingan yang dilakukan di ladang kelapa, pokok yang terjejas akibat cuaca panas melampau menunjukkan tanda-tanda pemulihan selepas penggunaan baja organik IWK bersama penggalak tumbuhan selama lima bulan.
Pokok kelapa kembali menghasilkan pelepah baharu dan berbuah, menunjukkan kesan positif terhadap kesihatan tanaman.
Satu lagi percubaan melibatkan rumput Napier selama 15 bulan turut menunjukkan peningkatan pertumbuhan vegetatif dan penghasilan biomas yang lebih tinggi hasil penggunaan biosolid kering bersama penggalak tumbuhan IWK.
Hasil dari ujian yang sama turut menunjukkan, penggunaan baja setiap dua minggu berjaya mengurangkan kos pembelian baja sehingga 68%.
Bukan Hanya Penjimatan Kos, Baja Organik IWK Menyuburkan Tanaman
Baja organik IWK dihasilkan daripada enap cemar kumbahan yang dirawat dan mengandungi sekitar 7% unsur NPK (Nitrogen, Fosforus dan Kalium).
Ia bukan saja membantu memulihkan tanah yang kurang subur, malah membekalkan nutrien penting untuk pertumbuhan tanaman. Komposisi organik membantu mengimbangi keasidan tanah akibat penggunaan baja kimia berpanjangan, sekaligus menyokong ekosistem tanah yang lebih sihat dan mampan.
Dari segi keselamatan, baja ini telah melalui pelbagai analisis untuk memastikan ia bebas daripada logam berat berbahaya dan bakteria patogen.
Kajian toksikologi oleh SIRIM juga tidak menunjukkan kesan negatif, manakala Helaian Data Keselamatan Bahan (MSDS) telah disediakan bagi memastikan pematuhan piawaian keselamatan dan alam sekitar.
Penggunaan Baja Organik IWK Difatwakan Harus Dari Segi Agama
Kami yakin, saat artikel ni dikeluarkan ramai akan pertikai, boleh ke guna baja dari hasil tinja manusia, tak kotor ke?
Pada Februari 2025, Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan bahawa penggunaan baja berasaskan biosolid adalah HARUS, selagi ia terbukti selamat dan memberi manfaat.
Keputusan ini diperkukuhkan dengan fatwa oleh Majlis Agama Islam Pahang serta sokongan daripada Negeri Sembilan, Kedah dan Selangor yang telah lebih awal menerima penggunaan bahan ini.
Berapa Lama Malaysia Mampu Bertahan?
Dalam situasi dunia yang masih tak menentu, isu ketahanan makanan menjadi keutamaan negara. Kerajaan sedang berusaha memperluaskan sumber import baja dan membuka saluran bekalan alternatif dalam tempoh tiga hingga enam bulan, sambil memastikan harga kekal kompetitif.
Penyelesaian tempatan seperti baja organik IWK dilihat dapat membantu khususnya kepada pekebun kecil.
IWK sekarang dapat menghasilkan antara 4 hingga 5 tan baja organik sehari, dengan potensi pengembangan di empat wilayah utama di Semenanjung Malaysia bagi mengurangkan kos logistik.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia, malah menyokong kelestarian alam sekitar melalui kitar semula biosolid dan mengurangkan sisa ke tapak pelupusan.
Walaupun tak dapat nak menggantikan sepenuhnya kebergantungan kepada baja import, tapi setidaknya ia dapat membantu pekebun kecil khususnya.
Perbandingan had parameter yang dibenarkan di bawah Piawaian Malaysia antara Biosolid Kering IWK dan baja organik IWK.
Kredit: Indah Water Konsortium (IWK) & irfan_newboys (Thread)







Fimie Don Dedah Realiti Berlakon Drama Hikayat Putera Shazlan | Oh! Podcast Ep25
OH! MEDIA 14/03/2026 8:00 PM