Connect with us

Oh! Media

Seimbang Antara Materialistik Dan Kerohanian

Umum

Seimbang Antara Materialistik Dan Kerohanian

Mencari kehidupan akhirat dan di samping sama-sama mengambil bahagian keduniaan

ADVERTISEMENT

Firman Allah SWT:

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّـهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا
“Dan carilah pada apa yang Telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.” (Surah al-Qasas: 77)

Ibn Kathir berkata: “Ayat ini bermaksud gunakanlah apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu berupa harta yang melimpah dan kenikmatan yang panjang dalam berbuat taat kepada Rabbmu serta bertaqarrub kepada-Nya dengan pelbagai amal yang dapat menghasilkan pahala di dunia dan di akhirat. Kita juga tidak boleh melupakan bahagian kita di dunia iaitu apa-apa yang dibolehkan oleh Allah di dalamnya berupa makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan pernikahan. Sesungguhnya Tuhan memiliki hak, dirimu memiliki hak, keluargamu memiliki hak serta orang yang berziarah kepadamu pun memiliki hak. Maka berikanlah setiap sesuatu dengan haknya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/228)

Syeikh al-Maraghi dalam Tafsir al-Maraghi (10/5185) berkata: “Gunakanlah nikmat-Nya yang melimpah ruah dalam bentuk harta yang diberikan oleh Allah SWT kepadamu sebagai jalan ketaatan dan mendekatkan diri kepada-Nya bagi mendapatkan pahala di akhirat kelak. Hal ini telah ditegaskan menerusi sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

اغْتَنِمْ خَمْسًا قَبْلَ خَمْسٍ: شَبَابَكَ قَبْلَ هِرَمِكَ، وَصِحَّتَكَ قَبْلَ سَقَمِكَ، وَغِنَاءَكَ قَبْلَ فَقْرِكَ، وَفَرَاغَكَ قَبْلَ شُغْلِكَ، وَحَيَاتَكَ قَبْلَ مَوْتِكَ
“Gunakanlah dengan baik lima perkara sebelum datang lima (yang lain); masa mudamu sebelum datang masa tuamu, sihatmu sebelum datang sakitmu, kayamu sebelum datang fakirmu, waktu lapangmu sebelum datang waktu sibukmu dan hidupmu sebelum datang matimu.”

[Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7/3319) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, 4/306 (7846). Ibn al-Athir dalam kitabnya Jami’ al-Ushul fi Ahadith al-Rasul (1/392) mengatakan: “Hadith ini diriwayatkan oleh Imam Hakim dan ia menilainya sebagai Hadith Sahih sesuai dengan syarat Imam Bukhari dan Muslim. Imam al-Zahabi juga menilainya sama dengan Imam Hakim. Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya, Fath al-Bari mengatakan: “Sanad hadith ini hasan.” Hadith ini juga diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak dalam kitabnya, al-Zuhd]

Kalau Allah telah menyatakan bahawa Dia tidak menyukai orang yang suka merosakkan di atas muka bumi, maka balasan-Nya pasti akan datang, cepat atau pun lambat kepada orang yang demikian. Dan jika hukuman Tuhan datang, seorang pun tidak ada yang mempunyai kekuatan dan daya upaya untuk menangkisnya.

Menempelak orang yang tidak mahu menggunakan perhiasan dan perkara-perkara yang baik

Firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Katakanlah: “Siapakah yang mengharamkan perhiasan dari Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya dan (siapa pulakah yang mengharamkan) rezeki yang baik?” Katakanlah: “Semuanya itu (disediakan) bagi orang-orang yang beriman dalam kehidupan dunia, khusus (untuk mereka saja) di hari kiamat.” (Surah al-A’raf: 32)

Ibn Kathir berkata: “Ayat ini menunjukkan Allah SWT menyanggah pendapat orang yang mengharamkan sesuatu dari makanan atau minuman atau pakaian menurut kehendak hatinya tanpa ada dasar syariat dari Allah. Ia adalah sesuatu yang diciptakan Allah untuk orang-orang yang beriman kepada-Nya dan Rasul dalam kehidupan dunia ini, sekalipun ikut memanfaatkannya bersama mereka secara lahiriah di dunia ini orang-orang kafir.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/367)

Imam Fakhr al-Din al-Razi berkata: “Perkataan ziinah (perhiasan) meliputi semua perhiasan di antaranya ialah membersihkan badan, di antaranya pula ialah tunggangan yang baik, dan di antaranya pula perhiasan kaum perempuan. Dan termasuk pula dalam lingkungan Thayyibaat (yang baik-baik daripada rezeki) tiap-tiap yang enak rasanya dan menimbulkan selera dari makan makanan dan minum minuman. Bahkan Rasulullah SAW telah menolak fahaman Uthman bin Mazh’un yang pernah bermaksud bahawa beliau hendak memotong kemaluannya dan hidup sebagai seorang pendeta.” (Lihat Mafatih al-Ghaib, 14/230)

Demikianlah anjuran Islam supaya manusia dapat memperimbangkan antara agama dengan kebendaan, dunia dengan akhirat. Jika diamati beberapa sikap Rasulullah SAW ketika melakukan perseimbangan, menyelesaikan konsep mengasingkan diri, menyembunyikan diri dan tidak ingin kepada dunia, kita berkeyakinan bahawa sikap tersebut sesuai dengan fitrah semula jadi manusia dan tidak bertentangan dengan keinginan nafsu. Bahkan ia sesuai dengan kaedah yang telah digariskan oleh Islam sebagai satu perjalanan semula jadi yang seimbang serta sederhana. (Lihat Syariah Islam: Ciri-Ciri dan Keunggulan (terj.) oleh Abdullah Nasih Ulwan, hlm. 25)

Antara contoh dari beberapa pendirian ini, dapat dipetik melalui hadis-hadis berikut:

1. Daripada Anas R.A, beliau menyebut bahawa tiga orang lelaki telah datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW bertanyakan tentang ibadah Baginda SAW. Apabila mereka diberitahu, seolah-olahnya mereka menganggap ibadah mereka itu sedikit. Lantas mereka berkata, di manakah kedudukan kita jika dibandingkan dengan Nabi SAW. Baginda telah diampunkan Allah dosa-dosa yang lalu dan akan datang. Salah seorang dari mereka berkata: “Adapun aku, aku akan mengerjakan solat malam selama-lamanya.” Lelaki kedua berkata: “Aku akan berpuasa selama-lamanya dan tidak berbuka.” Lelaki ketiga pula berkata: “Aku akan mengasingkan diri dari wanita dan tidak akan berkahwin selama-lamanya.” Kemudian Rasulullah SAW datang berjumpa mereka dan bersabda:

أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا، أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُومُ وَأُفْطِرُ، وَأُصَلِّي وَأَرْقُدُ، وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ، فَمَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
“Kamukah yang berkata begitu dan begini? Adapun demi Allah, sesungguhnya aku orang yang paling takut kepada Allah dalam kalangan kamu, paling bertaqwa dalam kalangan kamu kepada-Nya, namun begitu, aku berpuasa dan berbuka, bersolat dan tidur dan mengahwini wanita. Maka sesiapa yang membenci sunnahku, dia bukan daripada kalanganku.” [Riwayat al-Bukhari (6063) dan Muslim (1401)]

Apa yang dimaksudkan oleh Baginda SAW dengan katanya itu ialah walaupun baginda sudah diampunkan namun takut kepada Allah mendorong baginda kepada berijtihad dan sentiasa beribadat. Tetapi jalan ibadat hendaklah berdasarkan kepada apa yang dipraktikkan oleh baginda. Sesiapa yang tidak menyukai jalan ini maka ia bukan mengikuti sunnah Rasul yang merupakan syarat kepada keredhaan Allah. (Lihat al-Mufhim li ma Ashkala min Talkhis Muslim oleh al-Qurtubi, 4/86)

2. Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai Abdullah, benarkah aku diberitahu bahawa kamu berpuasa pada siang hari dan mendirikan solat pada malamnya?” Saya menjawab: “Benar, wahai Rasulullah.” Baginda lalu bersabda:

فَلَا تَفْعَلْ صُمْ وَأَفْطِرْ وَقُمْ وَنَمْ فَإِنَّ لِجَسَدِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِعَيْنِكَ عَلَيْكَ حَقًّا وَإِنَّ لِزَوْجِكَ عَلَيْكَ حَقًّا
“Kalau begitu, jangan kamu lakukan demikian, tetapi puasalah dan berbukalah, solatlah dan tidurlah, kerana sesungguhnya kamu mempunyai kewajipan terhadap tubuh kamu, kamu mempunyai kewajipan terhadap terhadap kedua-dua mata kamu dan kamu mempunyai kewajipan terhadap isteri kamu.” [Riwayat al-Bukhari (5199) dan Muslim (1159)]

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Battal, katanya:

وَأَنَّهُ لَا يَنْبَغِي لَهُ أَنْ يُجْهِد بِنَفْسِهِ فِي الْعِبَادَة حَتَّى يَضْعُف عَنْ الْقِيَام بِحَقِّهَا مِنْ جِمَاع وَاكْتِسَاب
“Hendaklah suami tidak terlalu menyusahkan dirinya dalam ibadah sehingga menjadikannya lemah untuk menunaikan hak isterinya iaitu keperluan seks dan bekerja untuk keluarga.” (Lihat Fath al-Bari, 9/299)

Pendirian Rasulullah SAW tersebut merupakan bukti paling kukuh yang menunjukkan bahawa Islam adalah agama fitrah, seimbang, bersifat pertengahan dan sederhana. Islam meletakkan beberapa asas kukuh serta dasar yang wujud untuk membina kesempurnaan peribadi manusia agar mereka bangkit bersama-sama risalah dan tugasnya dalam menjalani kehidupan berlandaskan kaedah yang paling sempurna.

Syariat Islam yang Bersifat Wasatiyyah

Suka dinyatakan di sini pandangan ulama’ berkenaan dengan syariat Islam yang bersifat wasatiah. Antaranya:

1. Syeikh Muhammad Rashid dalam Tafsir al-Manar berkata: “Sesungguhnya wasat merupakan keadilan dan yang terbaik. Ini kerana lebih daripada tuntutan merupakan melampau. Sedangkan kurang daripadanya merupakan kecuaian. Setiap yang melampau dan cuai cenderung daripada hakikat yang sebenarnya, sudah tentu membawa kepada kejahatan dan dicela. Justeru, yang terbaik ialah pertengahan antara dua perkara supaya kamu dapat menjadi penyaksi dengan kebenaran atas sekalian manusia secara jasmaninya dengan apa yang mereka abaikan pada hak Allah dan secara rohaninya dengan apa yang mereka melampau sehingga jadilah mereka golongan yang sesat.” (Lihat Tafsir al-Manar, 2/4)

2. Syeikh Muhammad Tahir Ibn `Asyur dalam kitabnya al-Tahrir wa al-Tanwir berkata: “Ayat 143 daripada surah al-Baqarah menunjukkan pujian Allah terhadap orang Islam kerana Allah mengurniakan mereka kelebihan, menjadikan mereka pertengahan yang memungkinkan mereka dari sebab-sebabnya menjelaskan hakikat syariat. Kemudian menjadikan pemikiran pengikutnya selamat daripada campuraduk dengan segala kesesatan yang telah menyerap kepada umat lain.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 3/123)

3. Syeikh Muhammad Abduh menafsirkan perkataan Tawassut Islami dengan menyebut: “Sesungguhnya telah nyata bahawa Islam itu bukan semata-mata ruhi dan juga jasadi yang jamid tetapi insani yang pertengahan antara itu mengambil setiap bahagian sehingga berbetulan dan menepati kehendak fitrah manusia yang tiada pada yang lain.”

Benarlah kata-kata Ibn Qayyim: “Syariat adil kesemuanya, rahmat kesemuanya dan maslahah kesemuanya. Maka setiap masalah keluar daripada keadilan kepada kezaliman, daripada rahmat kepada lawannya, daripada maslahah kepada mafsadah dan daripada hikmah kepada mainan dan sia-sia maka ia bukan daripada syariat sekalipun dimasukkan kepadanya dengan takwilan.” (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-‘Alamin, 3/149)

Justeru, dapat disimpulkan hakikat wasatiyyah seperti berikut:

  • Bersederhana atau iqtisad dalam kehidupan boleh membawa kebahagiaan di dunia dan di akhirat.
  • Manhaj Nabawi amat sesuai untuk semua lapisan manusia samada pada tempat dan keadaan.
  • Melampau boleh menatijahkan kebinasaan samada dalam agama atau kehidupan.
  • Maqasid al-Syariah dengan meraikan sifat keinsanan yang difitrahkan Allah sebagai pemegang amanah dan khalifah di bumi ini.
  • Kesinambungan antara semua aspek merupakan kemuncak kehidupan dan hakikat kehidupan.

Penutup

Sebenarnya keistimewaan Islam jelas terbukti melalui pensyariatannya serta dasar-dasarnya. Ini kerana antara dasar sifat Ilahi itu adalah seimbang antara material dan kerohanian, begitu juga dengan meraikan maslahah sama ada untuk individu atau ummah.

Al-Syahid Imam Hasan al-Banna berkata: “Dakwah ini selain bersifat rabbani yang bererti menolak, menentang dan menyekat segala fahaman kebendaan di samping pasrah, beriman, bergantung dan merasakan kehadiran Allah SWT dalam semua amalan. Dakwah ini juga bersifat kemanusiaan yang bererti mewujudkan hubungan persaudaraan sesama manusia dan menjadikan kesejahteraan seluruh manusia sebagai matlamatnya kerana ia bercirikan Islam. Islam adalah untuk semua manusia bukan ras (kelompok) tertentu dan bukan bangsa tertentu.” (Lihat Risalah Da’watuna fi Taur Jadid, hlm. 10)

Semoga Allah SWT mengurniakan kita ilmu dan kefahaman dalam melaksanakan setiap apa yang diperintahkan oleh-Nya. Amin.

+ Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media

Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas