Connect with us

Oh! Media

Review: OnePlus One

Umum

Review: OnePlus One

OnePlus, sebuah syarikat baru yang mahu mencipta sebuah smartphone sempurna pada harga mampu milik dengan motto ‘Never Settle’. Percubaan pertama mereka adalah OnePlus One, sebuah smartphone dengan spesifikasi hebat yang dijual pada harga sekitar RM 960 sahaja.

ADVERTISEMENT

Benarkah OnePlus One ini sempurna? Berbaloikah untuk membelinya, adakah ia mampu bersaing dengan Samsung dan syarikat gergasi lain? Baca review sepenuhnya untuk mengetahui.

Unboxing

Anda boleh lihat betapa berkualitinya keseluruhan pakej OnePlus One ini. Rasanya seperti membeli sebuah smartphone premium yang mahal dan kebiasaannya hanya Apple yang menitikberatkan perkara-perkara seperti ini.

Kami sangat berpuas hati dengan bungkusan OnePlus One, lain daripada yang lain dengan jarum pembuka sim bersama sarungnya dan kabel pengecas yang nipis bagi mengelakkan ianya bersimpul. Kesemua bungkusan dan aksesori menggunakan tema warna merah-putih.

Design

OnePlus One tidak nampak seperti sebuah smartphone bajet yang berharga sekitar RM 1,000 kerana rekaannya cukup cantik dan premium. Badan OnePlus One sedikit melengkung pada bahagian belakang dengan material magnesium, kemasan bingkai aluminium pada bahagian bezel serta kaca Gorilla Glass 3 memenuhi ruangan hadapan.

Walaupun saiznya agak besar, badannya 4mm lebih kecil dan 6 gram lebih ringan berbanding Galaxy Note 3. Jika anda selesa menggunakan Note 3, tiada masalah untuk anda menggunakan OnePlus One. Tetapi, jika anda merupakan pengguna iPhone ketika ini, mungkin perbezaan saiznya agak ketara dan memerlukan sedikit masa untuk selesa.

Skrin

Skrin OnePlus One juga cukup cantik dan tajam dengan resolusi 1920×1080 bersaiz 5.5 inci. Skrinnya mempunyai kualiti yang cukup baik kerana menggunakan panel IPS LCD yang sama dengan HTC One M8.

Secara keseluruhan, kami berpuas hati dengan skrin OnePlus One ini. Anda juga boleh mengubah tetapan warna skrin di dalam Settings jika mahukan saturasi warna yang lebih terang seperti skrin AMOLED.

Hardware

Spesifikasi OnePlus One sememangnya antara yang paling berkuasa di pasaran buat masa ini. Dengan Snapdragon 801, 3GB RAM, kamera 13MP, bateri 3,100mAh dan LTE membuatkan ianya antara yang terbaik ketika ini.

Beberapa ciri lain yang membuatkan OnePlus One lebih menarik adalah dua pembesar suara yang kuat dan sedap hasil kerjasama JBL, 3 mikrofon untuk rakaman suara dan noise cancellation yang lebih baik dan kerangka belakang yang boleh ditukar-tukar mengikut citarasa anda.

Software

Selain spesifikasi hebat, OnePlus One juga menggunakan sistem operasi yang lebih menarik berbanding kebanyakan peranti Android yang lain di pasaran. OnePlus One menggunakan Android Kit Kat 4.4.2 bersama-sama CyanogenMod 11S.

Apakah itu CyanogenMod? Ia adalah custom firmware yang memberi kebebasan kepada pengguna untuk mengubah hampir apa sahaja yang mereka mahu mengikut citarasa sendiri. Memandangkan OnePlus dan CyanogenMod bekerjasama sejak awal, terdapat beberapa fungsi menarik yang tidak terdapat pada peranti-peranti lain.

Walaupun secara keseluruhan Android 4.4.2 pada OnePlus One ini nampak hampir serupa dengan stock Android seperti Nexus, anda akan kagum apabila mula bermain dan mengubah tetapan-tetapan yang terdapat di dalam OnePlus One ini. Inilah yang membuatkan kami lebih suka dan terus jatuh cinta, kerana perkara-perkara kecil di dalamnya yang menarik dan boleh diubah-ubah mengikut citarasa sendiri.

Antara yang menarik adalah pilihan tema. Terdapat ratusan tema yang boleh dipilih mengikut citarasa anda melalui aplikasi Themes Showcase walaupun tidak semuanya percuma. Selain tema, anda juga boleh memuat turun fonts, sound packs, boot animations dan wallpapers.

OnePlus One mempunyai butang fizikal pada bahagian bawah skrinnya tetapi anda boleh memilih untuk menutupnya dan menggunakan butang pada skrin, seperti Nexus dan HTC One M8. Pilihan butang fizikal atau pada skrin adalah sesuatu yang unik dan tidak pernah ada pada peranti lain. Selain itu, anda juga boleh mengubah ikon bateri, membuang jam daripada status bar, tekan dua kali untuk sleep dan slide bahagian atas skrin untuk mengubah brightness.

OnePlus One edisi Bamboo (buluh). Menarik bukan?

Selain pelbagai ubahsuai yang unik, OnePlus One juga mempunyai beberapa gestures menarik yang boleh dilakukan pada lock screen. Antaranya adalah double tap untuk mengaktifkan skrin, melukis bulatan untuk mengaktifkan kamera, melukis huruf ‘V’ untuk membuka lampu LED, melukis 2 garisan untuk memainkan musik dan melukis anak panah untuk memilih lagu seterusnya. Perkara-perkara seperti ini membuatkan OnePlus One cukup unik dan dapat menarik minat sesiapa sahaja yang mencubanya.

Anda boleh tonton video unboxing di atas untuk mendapat gambaran bagaimanakah visual CyanogenMod 11S ini.

ROM

Dengan OnePlus One, pendek kata anda memang boleh buat apa sahaja dengan phone anda. Cyanogenmod sangat bagus namun jika anda lebih menggemari ROM lain seperti ColorOS, MIUI dan lain-lain, banyak lagi yang boleh anda lakukan. Tonton video berikut:

Performance & Battery

Dengan cip Snapdragon 801 Quad Core 2.45Ghz, 3GB RAM dan Adreno 330 GPU, anda boleh jangkakan bagaimana hebatnya prestasi OnePlus One ini. Lakukanlah apa sahaja, merakam video 4K, multitasking, bermain permainan 3D yang berat, semuanya dapat dilakukan dengan baik tanpa sebarang masalah atau lag. Kami sangat berpuas hati dengan prestasi keseluruhan peranti ini.

Kapasiti baterinya juga agak besar iaitu 3,100mAh, lebih besar daripada HTC One M8 dan juga Galaxy S5. Hampir setiap hari, OnePlus One milik kami masih mempunyai 20-30% bateri pada waktu malam dengan penggunaan sepanjang hari.

Kami menggunakan OnePlus One untuk melayari web, membuka Facebook/Twitter/Instagram, bermain permainan, mengambil gambar dan video, membalas email dan membuat panggilan. Ia mampu bertahan sepanjang hari tanpa perlu anda membawa powerbank atau pengecas kereta. Dengan harga mampu milik seperti ini, kami cukup berpuas hati dengan prestasi baterinya.

Kamera

OnePlus One menggunakan kamera 13 megapiksel dengan aperture f/2.0 dan kamera hadapan 5 megapiksel. Kamera 13 megapiksel pada bahagian belakang tersebut mempunyai 6-elemen lens yang dibuat oleh Sony, sama seperti kamera yang terdapat di dalam iPhone ketika ini.

Aplikasi kamera di dalam OnePlus One ini dibangunkan oleh CyanogenMod sendiri, dimana ianya mempunyai beberapa mod seperti HDR, Landscape, Night, Smart Scene, Beauty, Slow Shutter, Action dan Steady. Kami rasakan mod Auto adalah yang terbaik dan menghasilkan gambar yang cantik pada hampir semua situasi. Anda hanya perlu swipe ke atas dan ke bawah untuk menukar mod.

Gambar yang dihasilkan tidaklah secantik Lumia 1520 atau Galaxy S5 tetapi ianya jauh lebih baik berbanding Nexus 5 dan semua peranti lain yang lebih kurang sama harga dengannya. Gambar pada waktu siang cukup baik dan tajam manakala gambar pada waktu malam mempunyai noise dan kurang tajam.

Gambar outdoor pada waktu malam di Suria KLCC

Gambar indoor pada waktu malam di Taiping Sentral

Gambar close-up yang dikongsikan pengguna melalui forums.oneplus.net

Efek bokeh yang dihasilkan kamera 13MP ini cantik dan tajam

Gambar-gambar lain hasil kamera OnePlus One yang kami ambil sendiri akan dikongsikan lebih banyak melalui akaun instagram ohmedia, ohgeekz dan shiblivision.

Dari segi rakaman video pula, OnePlus One cukup hebat dan berkuasa dengan sokongan rakaman resolusi 4K dan bit rate 20mbps. Anda juga boleh merakam video slowmotion 60fps dengan resolusi 1080p. Hasil rakaman video 4K cukup memuaskan hati kami walaupun memakan memori dengan sangat banyak.

Kekurangan

Tidak ada smartphone yang sempurna walaupun OnePlus menggunakan motto ‘Never Settle’. Beberapa kekurangan kecil pada peranti ini adalah bateri yang tidak boleh dibuka, prestasi kamera pada waktu malam kurang baik dan ada yang mengatakan bahagian bawah skrin nampak sedikit kekuningan. Dari apa yang kami kaji, masalah skrin kekuningan tersebut boleh dihilangkan dengan meletakkan OnePlus One di bawah cahaya matahari sekitar 1-2 jam untuk mengeringkan cecair di bawah kaca tersebut. Masalah ini hanya dihadapi oleh sebilangan kecil pengguna sahaja, bukannya semua.

Satu lagi kekurangan adalah slot mikro-sd yang pada kami agak penting untuk disertakan bersama. Perbezaan harga model 16GB dan 64GB tidaklah banyak, sekitar RM 150 sahaja. Jika anda gemar mengambil gambar, merakam video dan menggunakan banyak aplikasi, kami sarankan anda membeli terus model 64GB.

Update: Kekurangan pada skrin dan kamera telah diperbetulkan dalam kemaskini Android 4.4.4 yang dilancarkan kepada semua pengguna pada minggu kedua bulan Ogos 2014.

Penutup

Buat masa ini, OnePlus One masih belum dilancarkan di Malaysia tetapi anda boleh membeli daripada beberapa penjual dengan harga sekitar RM 1,100 untuk model 16GB dan RM 1,400 untuk model 64GB. Jika ianya dilancarkan di sini nanti, harga sebenarnya adalah sekitar RM 960 untuk model 16GB dan RM 1,130 untuk model 64GB. Adakah berbaloi jika anda beli sekarang ini pada harga yang sedikit mahal? Ya, masih berbaloi. Percayalah!

Jika anda meminati Android, ini adalah peranti terbaik untuk anda miliki. Rekaan premium dan unik, spesifikasi paling berkuasa, bateri tahan lama, menggunakan CyanogenMod dengan ciri-ciri menarik dan paling penting, harganya cukup rendah, sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana syarikat lain.

Pada kami, OnePlus One adalah sebuah smartphone yang hampir sempurna dengan harga separuh lebih murah berbanding peranti flagship lain seperti Galaxy S5, HTC One M8 dan Xperia Z2.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas