Connect with us

Oh! Media

Perlukah Berterima Kasih Pada Manusia Jika Semuanya Datang Dari Allah?

Umum

Perlukah Berterima Kasih Pada Manusia Jika Semuanya Datang Dari Allah?

Soalan:
Perlukah kita bersyukur/berterima kasih kepada seseorang atas sesuatu pemberian sedangkan kita tahu pada hakikatnya segala kurniaan dan pemberian adalah daripada Allah SWT. Mohon penjelasan.

Jawapan:
Kami mulakan dengan takrif syukur iaitu perkataan masdar (terbitan) yang memberi makna iktiraf dengan yang makruf, yang dikurniakan kepada kamu lantas dipuji atas pemberinya dan ia tidak berlaku kecuali saling berbalasan antara yang makruf dan nikmat.
[Lihat Madarij al-Salikin, 2/244-246; Al-Majmu’, 1/74 dan Nihayah al-Muhtaj, 1/22]

Syukur ialah menzahirkan nikmat melalui lisan, hati dan anggota dengan cara lidah atau lisan mengiyakan yang makruf dan memujinya. Hati pula mengiktiraf dengan nikmat sedangkan anggota melakukan perbuatan yang diredhai kepada yang disyukuri.
[Lihat Tafsir al-Qurtubi, 1/133]

Islam adalah agama yang penuh dengan nilai kasih sayang serta harga-menghargai sesama manusia. Ia mengajar umatnya agar menjaga hubungan baik sesama manusia selain hubungan dengan Allah SWT, Maha Pencipta.

Bersyukur di atas nikmat Allah adalah wajib dan tidak harus seseorang itu meninggalkannya. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَاذْكُرُونِي أَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوا لِي وَلَا تَكْفُرُونِ
“Oleh itu ingatlah kamu kepada-Ku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang-Ku), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmat-Ku).” (Surah al-Baqarah: 152)

Begitu juga firman Allah SWT:

فَاذْكُرُوا آلَاءَ اللَّـهِ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Maka kenanglah akan nikmat-nikmat Allah supaya kamu berjaya.” (Surah al-A’raf: 69)

Al-Hulaimi berkata: Thabit dengan dua ayat ini dan seumpamanya yang bahawa wajib bersyukur kepada Allah bagi hamba-hamba-Nya kerana kurniaan nikmat-Nya yang cukup banyak.
[Lihat al-Minhaj fi Syu’ab al-Iman, 2/545]

Bersyukur kepada manusia adalah dalam erti kata melahirkan perasaan terima kasih dan penghargaan atas pertolongan yang diberikan. Berterima kasih kepada manusia lain atas kebaikannya menjadi kayu ukur apakah seseorang itu dapat bersyukur kepada Allah atau tidak atas segala nikmat pemberian-Nya. Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda:

لاَ يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لاَ يَشْكُرُ النَّاسَ
“Tidak dikatakan bersyukur pada Allah bagi sesiapa yang tidak tahu berterima kasih pada manusia.” [Riwayat Abu Daud (4811) dan al-Tirmizi (1954)]

Imam al-Khattabi berkata: Hadis ini ditafsirkan dengan dua makna:

  • Sesiapa yang tabiat dan kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat (kebaikan) orang dan tidak bersyukur atas kebaikan mereka, maka nescaya termasuk kebiasaannya adalah kufur terhadap nikmat Allah SWT dan tidak bersyukur kepada-Nya.
  • Allah SWT tidak menerima syukur seorang hamba di atas kebaikan-Nya kepadanya, jika seseorang hamba tidak bersyukur kepada kebaikan orang lain dan kufur terhadap kebaikan mereka.

[Lihat Ma’alim al-Sunan, 4/113]

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ صُنِعَ إِلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَقَالَ لِفَاعِلِهِ (جَزَاكَ اللَّهُ خَيْرًا) فَقَدْ أَبْلَغَ فِي الثَّنَاءِ
“Sesiapa yang dilakukan padanya kebaikan, lalu dia berkata kepada orang tersebut: Jazakallah khairan (semoga Allah membalasmu dengan kebaikan), maka sesungguhnya dia telah benar-benar meninggikan pujian.” [Riwayat al-Nasa’ie (9937) dan al-Tirmidzi (2035)]

Imam al-Munawi Rahimahullah berkata: Maksud ucapan Nabi SAW: “فقد أبلغ في الثناء” (maka sungguh ia telah melebihkan di dalam pujian) adalah iaitu dia telah meninggikan di dalam pujian itu dan telah mengerahkan usahanya di dalam pembalasannya terhadapnya dengan menyebutkannya dengan kebaikan dan permintaanya untuknya dari Allah SWT pahala yang besar, dan jika digabungkan hal itu dengan jenis apa yang telah dia lakukan kepadanya, nescaya ini akan lebih sempurna apa yang disebutkan oleh riwayat ini, tetapi disebutkan di akhir hadis, yang menjelaskan bahawa mencukupkan dengan doa, maka sesungguhnya ini adalah ketika tidak sanggup untuk membalas seperti apa yang telah dia lakukan kebaikan kepadanya.
[Lihat kitab Faidh al-Qadir, 1/526]

Begitu juga sabda Rasulullah SAW:

مَنْ صَنَعَ إِلَيْكُمْ مَعْرُوفًا فَكَافِئُوهُ ، فَإِنْ لَمْ تَجِدُوا مَا تُكَافِئُونَهُ فَادْعُوا لَهُ حَتَّى تَرَوْا أَنَّكُمْ قَدْ كَافَأْتُمُوهُ
“Sesiapa yang telah berbuat kebaikan kepadamu, maka balaslah kebaikannya itu. Jika engkau tidak mendapati sesuatu yang dapat membalas kebaikannya itu, maka berdoalah untuknya hingga engkau menganggap bahawa engkau benar-benar telah membalas kebaikannya.” [Riwayat Abu Daud (1672)]

Daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أُعْطِيَ عَطَاءً فَوَجَدَ فَلْيَجْزِ بِهِ ، وَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَلْيُثْنِ ، فَإِنَّ مَنْ أَثْنَى فَقَدْ شَكَرَ ، وَمَنْ كَتَمَ فَقَدْ كَفَرَ
“Siapa yang diberi pemberian maka hendaklah dia membalasnya dengan itu pula. Kalau tidak maka dengan memuji, sebab dengan memuji bererti telah bersyukur dan sesiapa yang menyembunyikan (kebaikan orang padanya) bererti dia telah kufur (nikmat).” [Riwayat Abu Daud (4813) dan al-Tirmizi (2034)]

Allah SWT berfirman:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا ﴿٢٣﴾ وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ah”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Surah al-Isra’: 23)

Guru kami Dr Wahbah al-Zuhaili berkata:
“Kedua orang tua merupakan sebab yang zahir (tampak) bagi keberadaan anak-anak dan bagi pengasuhan mereka dalam suasana yang penuh dengan kelembutan, kebaikan, belas kasihan dan sikap lebih mendahulukan orang lain.”

Makna ayat di atas adalah Allah memerintahkan untuk berbuat baik kepada kedua orang tua atau Allah memerintahkan agar kamu berbuat baik dan berbakti kepada kedua orang tua kamu. Hal ini seperti firman Allah SWT dalam ayat lain:

أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
“(Dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman: 14)

Perintah untuk berbakti kepada kedua orang tua kerana kasih sayang, pemberian serta pengorbanan mereka yang sangat besar dalam mendidik dan menjaga anak mereka hingga dewasa. Hal itu merupakan sebuah kesetiaan dan harga diri untuk membalas kebaikan dan jasa mereka, iaitu dengan bersikap baik dan berakhlak terpuji kepada mereka. Atau dengan memberi apa yang mereka perlukan jika si anak dalam keadaan berkemampuan. Oleh kerana itu, Allah SWT menjelaskan beberapa bentuk kebaikan untuk kedua orang tua.
[Lihat Tafsir al-Munir, 8/72]

Kesimpulan

Sewajarnya kita menjadi manusia yang pandai bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang telah banyak melakukan pelbagai kebaikan kepada kita terutamanya mereka dari kalangan ibu bapa, guru dan orang-orang yang banyak melakukan kebaikan kepada kita.

Pemberi nikmat yang hakiki adalah Allah SWT manakala seseorang yang melakukan kebaikan adalah perantara untuk sampainya kebaikan tersebut.

Seseorang yang sukar untuk berterima kasih pada manusia yang telah melakukan kebaikan padanya, maka dia juga sukar untuk bersyukur kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT mengurniakan kita ilmu dan kefahaman serta memberikan taufik agar kita mudah untuk bersyukur atas segala nikmat pemberian-Nya.

+ Mufti Wilayah Persekutuan

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Trending

To Top