Connect with us

Oh! Media

Perbezaan Hukum Suami Isteri Bermesra Siang Bulan Ramadhan

Umum

Perbezaan Hukum Suami Isteri Bermesra Siang Bulan Ramadhan

Soalan:
Bermesraan suami isteri di siang hari pada bulan Ramadhan dan tidak melakukan persetubuhan, kemudian tanpa sengaja suami keluar air mani. Apa yang saya faham suami batal puasanya, bagaimana dengan isteri? Bagaimana dengan kifarah? Membebaskan hamba (saya tidak mampu), berpuasa dua bulan berturut (saya tidak mampu). Jika tidak mampu dengan kifarah, apa jalannya? Jika memberi makan 60 orang miskin, adakah ada nilai tertentu untuk makanan yang diberikan?

ADVERTISEMENT

Jawapan:
Hukum bermesraan antara suami isteri secara seksual di waktu siang bulan Ramadhan semasa berpuasa adalah dilarang di dalam Islam. Namun, kekuatan larangan itu mengikut darjah keingkaran yang berbeza. Berikut kami sebutkan larangan-larangan yang berkaitan.

Melakukan persetubuhan semasa berpuasa dalam bulan Ramadhan adalah haram dan berdosa besar hukumnya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَائِكُمْ ۚ هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ كُنتُمْ تَخْتَانُونَ أَنفُسَكُمْ فَتَابَ عَلَيْكُمْ وَعَفَا عَنكُمْ ۖ فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ ۚ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا حَتَّىٰ يَتَبَيَّنَ لَكُمُ الْخَيْطُ الْأَبْيَضُ مِنَ الْخَيْطِ الْأَسْوَدِ مِنَ الْفَجْرِ ۖ ثُمَّ أَتِمُّوا الصِّيَامَ إِلَى اللَّيْلِ ۚ وَلَا تُبَاشِرُوهُنَّ وَأَنتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ ۗ تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا ۗ كَذَٰلِكَ يُبَيِّنُ اللَّهُ آيَاتِهِ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَّقُونَ
“Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Dia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu; dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukum-Nya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 187)

Disebutkan oleh Syeikh Sulaiman al-Bujairimi: “Melakukan persetubuhan ketika siang Ramadhan adalah satu daripada dosa-dosa besar juga kerana diberatkan ke atas pelakunya dengan berpuasa dua bulan berturut.” [Rujuk Tuhfah al-Habib (2/392)]

Lelaki dan wanita yang membatalkan puasa Ramadhan mereka dengan bersetubuh masing-masing wajib melakukan imsak dan menggantikan puasa tersebut selepas Ramadhan. Wajib ke atas lelaki perkara-perkara berikut:

1. Wajib takzir, yakni hendaklah didisiplinkan oleh hakim jika dia tidak mahu bertaubat.

2. Wajib melakukan kafarah uzhma mengikut tertib kemampuan berikut:

  • Bebaskan hamba perempuan beriman;
  • Berpuasa dua bulan berturut-turut;
  • Memberikan makan 60 orang miskin.

Ini berdasarkan Arab Badwi yang datang menemui Rasulullah ﷺ sebagaimana yang terdapat di dalam hadis Abu Hurairah RA seperti berikut:

بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ النَّبِىِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلَكْتُ. قَالَ: مَا لَكَ؟ قَالَ: وَقَعْتُ عَلَى امْرَأَتِى وَأَنَا صَائِمٌ، في رواية: في رَمَضَان. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: هَلْ تَجِدُ رَقَبَةً تُعْتِقُهَا؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَسْتَطِيعُ أَنْ تَصُومَ شَهْرَيْنِ مُتَتَابِعَيْنِ؟ قَالَ: لاَ. قَالَ: فَهَلْ تَجِدُ إِطْعَامَ سِتِّينَ مِسْكِينًا؟ قَالَ: لاَ. فَمَكَثَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم، فَبَيْنَمَا نَحْنُ عَلَى ذَلِكَ، أُتِىَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِفرقٍ فِيهِ تَمْرٌ. قَالَ: أيْنَ السَّائِلُ؟ فَقَالَ: أَنَا. قَالَ: خُذْهَا فَتَصَدَّقْ بِهِ. فَقَالَ: الرَّجُلُ أَعَلَى أَفْقَرَ مِنِّى يَا رَسُولَ اللَّهِ، فَوَاللَّهِ مَا بَيْنَ لاَبَتَيْهَا أَهْلُ بَيْتٍ أَفْقَرُ مِنْ أَهْلِ بَيْتِي، فَضَحِكَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى بَدَتْ أَنْيَابُهُ، ثُمَّ قَالَ: أَطْعِمْهُ أَهْلَكَ
“Ketika kami duduk di samping Rasulullah SAW, seorang lelaki menemui Baginda, dan berkata: “Wahai Rasulullah! Aku binasa.” Baginda bertanya: “Kenapa?” Jawabnya: “Aku telah menyetubuhi isteriku, sedangkan aku berpuasa.” Dalam riwayat yang lain, dalam bulan Ramadhan. Sabda Baginda: “Adakah kamu boleh mendapatkan hamba untuk dimerdekakan?” Jawabnya: “Tidak.” Baginda bersabda: “Adakah kamu mampu berpuasa dua bulan berturut-turut?” Jawabnya: “Tidak.” Sabda Baginda: “Adakah kamu mampu memberi makan 60 orang miskin?” Jawabnya: “Tidak.” Rasulullah SAW diam seketika. Semasa kami berkeadaan demikian, Nabi memberi sebakul tamar, lalu bersabda: “Di manakah orang yang bertanya tadi?” Lelaki itu menjawab: “Aku.” Sabda Baginda lagi: “Ambillah tamar ini dan sedekahkan.” Lelaki itu berkata: “Adakah ada orang yang lebih fakir daripadaku wahai Rasulullah? Demi Allah, tidak ada keluarga yang lebih fakir daripada keluargaku di antara Timur dan Barat Madinah ini!” Nabi SAW ketawa sehingga kelihatan giginya, lalu bersabda: “Berikan makan tamar itu kepada keluargamu.” [Riwayat al-Bukhari (1936)]

Hukum melakukan istimna’

Sekiranya suami melakukan istimna’ yakni sengaja mengeluarkan mani, termasuk juga meminta isterinya melakukan kepada dirinya, maka puasa lelaki itu batal, dan dia adalah berdosa.

Perbuatan mengeluarkan air mani dengan apa cara sekalipun, seperti aktiviti seksual yang melibatkan kelakuan melihat, berfikir, mendengar, menyentuh tanpa lapik atau berlapik, yang disengajakan, tanpa dipaksa dan diketahui merangsang pengeluaran air mani, adalah membatalkan puasa. [Rujuk Busyra al-Karim (hlm. 548) oleh Syeikh Sa`id Ba`Isyn Rahimahullah]

Ini berdasarkan qiyas aula dengan perbuatan jimak yang melibatkan ilaj (terbenamnya kepala zakar ke dalam faraj) dengan tujuan mengeluarkan mani. Hal ini munasabah dengan larangan Baginda ﷺ yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa firman Allah:

يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي
“Dia (orang yang berpuasa itu) meninggalkan makanannya, minumannya, serta syahwatnya kerana Aku.” [Riwayat al-Bukhari (1894)]

Dalam pada masa yang sama, isteri itu juga berdosa kerana bersubahat melakukan maksiat. Firman Allah ﷻ:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَان
“Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.” (Surah Al-Maidah: 2)

Kata Imam al-Hafiz Ibn Katsir Rahimahullah dalam tafsiran beliau ke atas ayat ini: “Dia (Allah ﷻ) melarang kamu dari saling membantu atas perkara yang batil serta tolong menolong atas perkara-perkara dosa dan sesuatu yang diharamkan.”

Kata Imam Ibn Jarir al-Tobari Rahimahullah: “Dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah perintahkan untuk ia dilakukan. Dan maksud Al-‘Udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama kamu dan melampaui apa yang telah Allah fardhukan ke atas diri kamu dan selain kamu.” [Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azhim (3/7)]

Kefahaman tersebut dijadikan kaedah sadd al-dzari`ah dalam mazhab yang menyebut:

إِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ
“Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.” [Rujuk Ma`lamah Zayed li al-Qawa`id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah (no.666)]

Sekalipun istimna’ diqiyaskan sebagai pembatal puasa dengan persetubuhan, namun daripada sudut kafarahnya, ia tidak diwajibkan menurut mazhab al-Syafie.

Berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah: “Jika seseorang beristimna’ secara sengaja maka batallah puasanya dan tiada kafarah ke atasnya. Berkata al-Mawardi: “Jika dia menggaru zakarnya kerana suatu yang mengganggu dan tidak bermaksudkan istimna’ lalu dia keluar mani maka tiada kafarah ke atasnya. Adapun berkenan kebatilan puasanya maka terdapat dua pendapat.” Aku (al-Nawawi) berkata: Pendapat yang lebih sahih bahawa ia tidak batal, seperti hukum kumur-kumur yang tidak berlebihan.” [Rujuk al-Majmu` (6/242)]

Hukum berasmara tanpa jimak atau istimna’

Berkata Syeikh Sa`id Ba`isyn dalam huraian beliau terhadap kitab Muqaddimah al-Hadhramiyyah oleh al-Allamah Imam Abdullah Bafadhal Rahimahullah: “Diharamkan ke atas orang yang berpuasa fardhu untuk menyentuh, seumpama mencium, jika perkara itu menggerakkan syahwatnya sehingga ditakuti boleh menyebabkan keluar air mani atau berlaku persetubuhan, bukan semata-mata tegangnya zakar dan keluarnya mani tetapi itu dimakruhkan.” [Rujuk Busyra al-Karim (hlm. 548)]

Berkata Syeikh Muhammad al-Zuhaili: “Akan tetapi dimakruhkan secara tahrim ke atas orang yang berpuasa untuk mencium jika perbuatan itu menggerakkan syahwat lelaki dan wanita, kerana mendedahkan puasanya untuk binasa. Jika tidak menggerakkan syahwat, maka jadilah hukumnya makruh, sedangkan lebih utama untuk perkara itu ditinggalkan.” [Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/185)]

Ini berdasarkan riwayat Aisyah R.Anha:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُقَبِّلُنِي وَهُوَ صَائِمٌ، وَأَيُّكُمْ يَمْلِكُ إِرْبَهُ، كَمَا كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَمْلِكُ إِرْبَهُ
“Pernah Rasulullah ﷺ menciumku sedangkan dia sedang berpuasa. Siapalah dalam kalangan kalian yang mampu menahan anggotanya, seperti mana kemampuan Rasulullah ﷺ menahan anggotanya?” [Riwayat Muslim (1106)]

Daripada keterangan di atas, kita memahami bahawa:

Hukum bermesraan antara suami isteri secara seksual, seperti bercium, adalah makruh tahrim, atau berdosa, jika menggerakkan nafsu syahwat sehingga ada kemungkinan berlakunya jimak atau inzal.
Jika ciuman itu tidak menggerakkan nafsu syahwat, maka hukumnya adalah dimakruhkan secara tanzih dan tidak berdosa. Cuma, sebaiknya dielakkan.

Penutup

Berdasarkan keterangan dan fakta di atas, telah kami jelaskan satu persatu darjah larangan bermesraan antara suami isteri sewaktu siang bulan puasa mengikut konteks-konteks yang berbeza. Ia boleh menjadi haram yang melibatkan dosa besar dan dosa, makruh tahrim atau makruh. Dalam kes di atas, suami perlu melihat kepada tabiat aktiviti bermesraan itu.

  • Jika aktiviti itu pada kebiasaannya menyebabkan keluarnya air mani, maka batal puasanya dan wajib dia imsak (menahan diri daripada perkara yang membatalkan puasa) pada sepanjang siang yang berbaki, demi menghormati bulan Ramadhan. Kemudian, selepas Ramadhan dia menggantikan semula. Wajib dia dan isteri bertaubat atas dosa itu dan memperbanyakkan amalan soleh mengatasi amalan maksiat yang mereka lakukan. Tiada kafarah tertentu yang perlu dikeluarkan oleh kedua-duanya. Isteri tidak batal puasa, melainkan jika berlaku klimaks atau perbuatan yang menyebabkan batal puasa seperti menelan air liur suami atau memasukkan sesuatu melebihi had zahir faraj.
  • Jika aktiviti itu pada kebiasaanya tidak menyebabkan keluar air mani, seperti ciuman dan sentuhan ringan, atau memandang, maka jika keluar air mani secara tidak sengaja, sama ada bagi lelaki atau perempuan, maka tidak batal puasa.

Semoga penerangan ini memberikan manfaat dan penyelesaian kepada penanya. Wallahua’lam.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Makan


Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas