Connect with us

Oh! Media

Meskipun Matanya Buta, Tapi Hatinya Cekal

Umum

Meskipun Matanya Buta, Tapi Hatinya Cekal

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah yang dialami oleh Mohd@Moha Hazeefisz Maarif, 40, cekal menjaga isterinya yang cacat penglihatan malah turut menderita kanser serta masalah saraf walaupun beliau sendiri dilahirkan tanpa pancaindera penglihatan.
Bapa kepada tiga orang anak ini juga perlu memberi perhatian terhadap seorang daripada anaknya yang mengalami masalah gangguan hiperaktif defisit tumpuan (ADHD) selain menjaga bapa mentua berusia 90 tahun yang tinggal bersama.
Namun, ujian berat ini tidak pernah mematahkan semangat Mohd@Moha, dan tidak menyesali takdir yang menimpanya. Kesempitan hidup pernah memaksa dia dan isteri, Nur Shafina Ab Hamid, 39, meminjam wang daripada ahlong.
Namun, pengalaman itu menjadi pengajaran berharga untuk mereka agar mereka berdua terus kuat dalam mengharungi susah senang hidup berumah tangga bersama-sama anak mereka. Anak sulung mereka, Halimaton Sa’adiah, 17, disahkan mengalami ADHD. Dua lagi anak ialah Hani Raudhatul Husna, 15, dan Muhammad Haziq Hasbullah, 11.
Dia tidak pernah berasa kesal dilahirkan tanpa deria penglihatan seperti individu lain kerana menganggapnya sebagai pembakar semangat untuk terus kuat memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.


“Jujurnya, saya rasa hidup saya sama saja seperti orang lain, cuma bezanya tidak dapat melihat seperti mereka. Jadi, tiada apa yang perlu dikesalkan sebaliknya saya kini bersyukur kerana sudah mempunyai pekerjaan tetap iaitu sebagai pegawai khidmat pelanggan di sebuah hospital swasta. Sudah sembilan tahun saya berkhidmat di situ dan tak sangka juga apabila diterima bekerja kerana sewaktu menghadiri temuduga, ramai calon lain lebih berkelayakan,”

Akibat masalah saraf, isteri beliau, Nur Shafina berkata, dia tidak dapat berjalan seperti orang normal sejak setahun lalu dan kini bergerak dengan bantuan kerusi roda. Pada masa sama, Nur Shafina turut bertarung nyawa apabila disahkan menghidap kanser ovari tahap empat pada 2015.


“Sejak tidak dapat berjalan, suami banyak membantu melakukan kerja rumah dan kadangkala, ada jiran yang datang membantu. Dua anak perempuan saya turut membantu tetapi hanya ketika cuti sekolah saja kerana mereka berdua tinggal bersama emak di Triang Hilir, Simpang Durian, Negeri Sembilan. Ikutkan, kehidupan saya memang banyak berubah berbanding dulu namun suami sentiasa ada di sisi. Mungkin itu kelebihan mempunyai pasangan senasib kerana dia lebih memahami dan tahu bagaimana untuk menguruskan saya,” katanya.

Sumber : Metro Online

+ Baca respon pembaca di Oh! Media.

ADVERTISEMENT

Youtube Oh! Media

Comments

Lagi dalam kategori Umum

Ke Atas