Connect with us

Isteri Memelihara Kehormatan Diri Walau Jatuh Cinta Pada Rakan Sepejabat

Umum

Isteri Memelihara Kehormatan Diri Walau Jatuh Cinta Pada Rakan Sepejabat

SOALAN:
Adakah seorang isteri mendapat pahala apabila dia jatuh cinta kepada lelaki lain di pejabat, tetapi dia menjaga dirinya baik-baik kerana dia tahu itu adalah haram?

JAWAPAN:
Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:

إنِّي قدْ رُزِقْتُ حُبَّها
“Sesungguhnya aku telah direzekikan cinta Khadijah.” [HR. Muslim (2435)]

Ini adalah merupakan satu ungkapan romantik yang menggambarkan betapa cinta dan kasihnya baginda SAW kepada isterinya Khadijah R.Anha. Balasan cinta dan kasih sayang seorang isteri kepada suaminya atau sebaliknya adalah merupakan rezeki. Kita dapat melihat bagaimana Khadijah R.Anha telah menjadi tunjang kekuatan kepada suaminya, Rasulullah SAW. Ketika mana di awal permulaan Islam, apabila suaminya berada dalam keadaan takut usai menerima wahyu yang pertama, dia telah menenangkan baginda menerusi katanya:

كَلّا واللَّهِ ما يُخْزِيكَ اللَّهُ أبَدًا، إنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وتَحْمِلُ الكَلَّ، وتَكْسِبُ المَعْدُومَ، وتَقْرِي الضَّيْفَ، وتُعِينُ على نَوائِبِ الحَقِّ
“Sama sekali tidak demi Allah, Dia tidak akan menghinakan kamu. Sesungguhnya kamu adalah orang yang menghubungkan silaturahim, menanggung bebanan orang miskin, membantu orang yang kesusahan, menyambut dan memuliakan tetamu, serta membantu orang yang berhak.” [HR. al-Bukhari (3)]

Sebaik-baik perhiasan dunia

Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

الدُّنْيا مَتاعٌ، وَخَيْرُ مَتاعِ الدُّنْيا المَرْأَةُ الصّالِحَةُ
“Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” [HR. Muslim (1467)]

Imam al-Qurtubi menafsirkan makna wanita yang solehah dalam hadis tersebut dengan katanya:

إِذا نظر إِلَيْهَا سرته وَإِذا أمرهَا أَطَاعَته وَإِذا غَابَ عَنْهَا حفظته فِي نَفسهَا وَمَاله
“Iaitu (wanita) yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (maruah suaminya) pada dirinya dan juga harta suaminya.” [Lihat: al-Dibaj ‘ala Sahih Muslim (4/85)]

Tafsiran ini adalah berdasarkan kepada sabda Nabi SAW di dalam hadis yang lain:

ألا أُخْبِرُكَ بخيرِ ما يكنِزُ المرءُ؟ المرأةَ الصالحةَ: إذا نَظَر إليها سَرَّته، وإذا أمَرَها أطاعَتْه، واذا غَابَ عنها حَفِظْتْه
“Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” [HR. Abu Daud (1664)]

Berbalik kepada soalan di atas, adakah dia mendapat pahala kerana telah menjaga dirinya baik-baik daripada terjebak kepada perkara haram?

Memelihara diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang diharamkan adalah merupakan antara tuntutan agama. Sebagaimana sabda Nabi SAW:

ما نَهَيْتُكُمْ عنْه فاجْتَنِبُوهُ، وَما أَمَرْتُكُمْ به فافْعَلُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ
“Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu.” [HR. Muslim (1337)]

Di antara sifat orang bertaqwa dan beriman juga ialah mereka menjauhi daripada perkara yang dikhuatiri akan mengheret mereka kepada perkara yang haram. Abu Darda’ R.A telah menghuraikan maksud taqwa dengan katanya:

تمام التقوى : أن يتقي الله العبد حتى يتقيه من مثقال ذرة، وحتى يترك ما يرى أنه حلال خشية أن يكون حراما، حجابا بينه وبين الحرام
“Kesempurnaan takwa itu ialah apabila seorang hamba takutkan Allah sehinggakan dalam sekecil-kecil perkara (sebesar zarah) dan juga dia meninggalkan perkara yang halal kerana takut terjebak kepada yang haram, sebagai penghalang antara dirinya dengan perkara yang haram.” [Lihat: Fathu al-Bari libni Rejab (1/16)]

Berazam meninggalkan perkara mungkar mendapat pahala

Di dalam satu hadis Qudsi, ada menyebutkan bahawa Allah SWT telah berfirman:

إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الحَسَناتِ والسَّيِّئاتِ ثُمَّ بَيَّنَ ذلكَ، فمَن هَمَّ بحَسَنَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْها كَتَبَها اللَّهُ له عِنْدَهُ حَسَنَةً كامِلَةً، فإنْ هو هَمَّ بها فَعَمِلَها كَتَبَها اللَّهُ له عِنْدَهُ عَشْرَ حَسَناتٍ إلى سَبْعِ مِئَةِ ضِعْفٍ إلى أضْعافٍ كَثِيرَةٍ، ومَن هَمَّ بسَيِّئَةٍ فَلَمْ يَعْمَلْها كَتَبَها اللَّهُ له عِنْدَهُ حَسَنَةً كامِلَةً، فإنْ هو هَمَّ بها فَعَمِلَها كَتَبَها اللَّهُ له سَيِّئَةً واحِدَةً
“Sesungguhnya Allah telah menetapkan nilai kebaikan dan kejahatan, kemudian Dia menjelaskannya. Maka barangsiapa berniat mengerjakan kebaikan tetapi tidak dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berniat untuk berbuat kebaikan lalu dia mengerjakannya, Allah mencatatnya sebagai 10 sampai 700 kali kebaikan atau lebih banyak lagi. Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak mengerjakannya, Allah mencatatkan padanya satu kebaikan yang sempurna. Jika dia berniat melakukan kejahatan lalu dikerjakannya, Allah mencatatnya sebagai satu kejahatan.” [HR. al-Bukhari (6491) dan Muslim (131)]

Ibnu Hajar al-‘Asqalani telah mengulas hadis berkenaan dengan katanya:

الْهَمُّ تَرْجِيحُ قَصْدِ الْفِعْلِ تَقُولُ هَمَمْتُ بِكَذَا أَيْ قَصَدْتُهُ بِهِمَّتِي وَهُوَ فَوْقَ مُجَرَّدِ خُطُورِ الشَّيْءِ بِالْقَلْبِ
“Sesuatu keazaman itu telah menguatkan lagi niat bagi melakukan perbuatan tersebut. Misalnya seseorang itu telah berkata: ‘Aku telah berazam untuk ini (melakukannya)’ iaitu bermakna ‘Aku telah niat dengan tekad akannya’ dan ianya adalah lebih tinggi lagi kedudukannya daripada sekadar sesuatu lintasan dengan hati.” [Lihat: Fathu al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, (11/323)]

Oleh demikian, dapat difahami bahawa sesiapa yang telah berazam dengan tekad mahu melakukan maksiat tetapi tidak melakukannya kerana takutkan Allah, ditulis baginya pahala. Begitulah juga, jika seseorang yang hatinya cenderung melakukan dosa dan maksiat, akan tetapi dia berusaha dan mencari jalan agar tidak melakukannya, baginya juga pahala sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis di atas.

Kesimpulan

Setelah meneliti dalil-dalil yang telah dikemukakan, kami berpendapat bahawa apa yang telah dilakukan oleh perempuan tersebut dengan menjaga kehormatan dirinya sebagai seorang isteri adalah bertepatan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak iaitu menjauhi perkara-perkara yang haram serta boleh menjatuhkan institusi kekeluargaan. Malah, dia dijanjikan mendapat pahala atas apa yang telah dilakukannya itu.

Jagalah batas-batas pergaulan sesama rakan sekerja, sama ada lelaki mahupun perempuan sebagaimana yang dikehendaki oleh syarak. Hal ini kerana sebagai seorang manusia, kita tidak dapat terhindar daripada melakukan dosa-dosa kecil akibat daripada perbuatan kita, sebagaimana sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ أَوْ يُكَذِّبُهُ
“Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan pada setiap anak Adam bahagiannya daripada perbuatan zina yang pasti terjadi dan tidak mungkin dihindari. Maka zina mata dengan melihat, zina lidah dengan perkataan, dalam keadaan nafsu berkeinginan dan membuak-buak, dan kemaluanlah yang akan membenarkan (perkara itu) atau menafikannya.” [HR. al-Bukhari (6612)]

Hadis ini menjadi peringatan kepada kita semua agar tidak bermudah-mudah dengan dosa-dosa kecil kerana kadang-kadang dosa kecil inilah yang menjadi perrmulaan kepada seorang anak Adam terjerumus ke dalam dosa-dosa besar. Justeru, ianya mesti dijauhi dan dihindari semampu mungkin.

Kami juga ingin berpesan kepada dirinya agar memperbanyakan doa dan zikir kepada Allah SWT, supaya dijauhi daripada segala perasaan yang tidak sepatutnya dan seterusnya menjadi penyebab kepada terjebaknya ke dalam perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

Semoga Allah memelihara kita semua daripada terjerumus ke dalam maksiat dan perkara-perkara yang diharamkan oleh-Nya.

Oleh: Ustaz Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri | Mufti Wilayah Persekutuan
+ Baca Respon Pembaca di Facebook Oh! Media


Oh! Youtube


Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Mencipta Oh! Media sejak dari dalam perut mak lagi. Hi Awak!

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top