Connect with us

Dikenakan Denda Dan Hukuman Penjara Jika Tidak Kerjakan Solat Fardu

Umum

Dikenakan Denda Dan Hukuman Penjara Jika Tidak Kerjakan Solat Fardu

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, mereka yang tiada alasan munasabah meninggalkan solat fardu boleh didakwa di bawah Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana kesalahan tidak menunaikan sembahyang fardu.

“Bagi kesalahan itu, individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Tegasnya, tindakan yang dikenakan terhadap umat Islam di negeri ini adalah satu pelaksanaan yang relevan, malah masyarakat perlu tahu itu bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai pengajaran bagi mendidik umat Islam mematuhi perintah ALLAH menerusi pelaksanaan undang-undang.

“Tindakan itu juga, secara tidak langsung menunjukkan kasih sayang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mengelakkan umat Islam daripada terus melakukan dosa dan maksiat.

“Bagi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pula, peringatan menerusi pelbagai medium termasuk bertulis, secara lisan melalui ceramah selain turun padang mendekati masyarakat terutama golongan remaja hari ini bagi memberi kesedaran dan mengingatkan kepada mereka tentang pentingnya menjaga solat fardu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguatkuasa JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail berkata, seramai lapan lelaki Islam dicekup kerana didapati ponteng solat Jumaat sepanjang tempoh 2016 hingga November lalu.

Jelasnya, kesemua mereka ini didakwa di bawah Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 iaitu mana-mana lelaki akil baligh yang tidak menunaikan solat Jumaat di masjid kecuali terdapat keadaan dibenarkan hukum syarak merupakan satu kesalahan.

Nik Zuhaiza berkata, penguatkuasaan itu juga adalah bagi meningkatkan kesedaran umat Islam mengenai kewajipan melaksanakan solat fardu yang lain bermula dengan penekanan solat Jumaat secara berjemaah.

“Mungkin ada umat Islam yang seumur hidup tidak pernah solat. Menerusi penguatkuasaan ini secara tidak langsung akan membuatkan dia hadir ke masjid walaupun bukan secara sukarela dan siapa tahu hadirnya hidayah dan memberi kesedaran kepadanya,” ujarnya.

Beliau berkata, kempen dan kesedaran perlu diteruskan dan diperkasa lagi supaya selari dengan tindakan undang-undang yang diambil.

“Di bahagian penguatkuasaan, kami akan pastikan kempen kesedaran kepada umat Islam selari dengan penguatkuasaan yang diambil,” katanya.

Penulis sepenuh masa di Oh! Media. Skop penulisan merangkumi segala aspek terkini & viral.

Comments

Lagi dalam kategori Umum

To Top