Sebelum ini kita selalu dikhabarkan dengan ‘kereta terbang’ dan sekarang ini, Capital A Berhad melalui cabang perniagaan penerbangannya, AirAsia Aviation Group Limited (AirAsia) akan menyediakan perkhidmatan ‘teksi udara’ atau lebih mesra dikenali dengan ‘teksi terbang’ menjelang 2025.
BACA: “Snakes On A Plane” – Kecoh! Video Ular Dalam Pesawat Dah Macam Dalam Filem Hollywood!
Menerusi laporan Harian Metro,teksi udara ini akan diberikan tumpuan buat perjalanan yang susah dilalui dengan kenderaan darat.
Peluang untuk sektor pelancongan
Dengan adanya teksi terbang ini, ia diramalkan dapat beri peluang baru untuk sektor pelancongan, terutama untuk destinasi yang hanya dapat dikunjungi dengan kenderaan tertentu.
Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A menyatakan perkhidmatan ini dapat beri lembaran baru bagi perjalanan jarak pendek.
Sebagai contoh, perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke pusat bandar Kuala Lumpur mengambil masa sehingga 90 minit sekiranya trafik sesak namun, menggunakan perkhidmatan ini, ia hanya mengambil masa 15 minit dengan kos sekitar AS$50 bagi penerbangan untuk empat penumpang.
Malah, ia juga membuka peluang baru bagi sektor pelancongan seperti ke Genting Highlands atau Pulau Pangkor yang sebelum ini hanya dapat dikunjungi dengan kenderaan dan laluan tertentu saja.
AirAsia akan memajak 100 pesawat electric vertical take-off and landing (eVTOL) VX4 daripada Avolon.
Pesawat eVTOL ini akan beri peluang kepada AirAsia untuk merevolusikan perjalanan udara dengan mobiliti udara lebih maju dan mengubah cara berhubung dengan lebih cekap.
Avolon bekerjasama dengan AirAsia
Syarikat Avolon dan AirAsia akan bekerjasama dan membentuk kakitangan untuk mohon pensijilan tempatan, menyelidik peluang pasaran yang berpotensi dan keperluan infrastruktur buat mobiliti udara dalam bandar (UAM).
Tony menyatakan pesawat jenis VX4 menetapkan tahap keselamatan yang tinggi dan semua juruterbang perlu menjalani latihan seperti juruterbang pesawat komersial.
Namun, dengan kewujudan teksi terbang ini, ia sama sekali tidak akan mengacau perniagaan teksi kerana laluan yang digunakan berbeza.
Tumpuan utama perkhidmatan ini adalah untuk sektor pelancongan dan laluan yang belum diteroka AirAsia.
Selain itu, ia juga boleh digunakan bagi perkhidmatan lain seperti penghantaran barangan dan sektor kesihatan.
Pesawat tersebut akan beroperasi selama 10 hingga 12 jam sehari dengan jarak penerbangan 169 kilometer sehala. Pesawat ini tidak akan mengganggu laluan pesawat komersial dan boleh dikatakan 100 kali lebih selamat daripada helikopter.
Pesawat ini akan mengambil masa hanya 60 saat untuk naik ke udara dari darat.
Tak sabarnya nak tunggu 2025 nanti! Dah tak perlu la kita nak ambil masa berejam untuk sampai ke destinasi tertentu!
Kredit: Harian Metro
+ Baca respon pembaca di Facebook dan Telegram Oh! Media