Trending
Suspek Disyaki Di Bawah Pengaruh Dadah Ketika Tembakan, Berang Diminta Alihkan Barang
Kira-kira 10 malam tadi, negara digemparkan dengan insiden tembakan yang berlaku di sebuah pusat membeli belah di Setia Alam, Selangor.
Dalam kejadian itu, seorang pekerja pembersihan warga asing cedera terkena tembakan dan kini dilaporkan stabil.
BACA: Suspek Kes Tembakan Di Setia Alam Dikenal Pasti, Ada 11 Rekod Lampau!
Terbaru, Bernama melaporkan, kejadian dipercayai berpunca daripada kemarahan suspek yang ditegur oleh pekerja pembersihan agar mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan tersebut.
Suspek berusia 30-an, disyaki di bawah pengaruh dadah

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek ketika itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah. Namun, pihaknya masih menyiasat motif sebenar kejadian.
Polis giat kesan suspek

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan suspek yang diburu dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berkulit cerah dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah.
Siasatan lanjut sedang giat dijalankan dengan bantuan Bukit Aman dan beliau yakin kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan bagi mempercepatkan proses penangkapan suspek.
#ApaKataOhmedia
Kami percaya dengan kecekapan pasukan PDRM dan berharap kes ini dapat diselesaikan dengan segera. Orang ramai juga tidak perlu risau kerana PDRM telah mengesahkan pusat beli belah terbabit kini selamat untuk dikunjungi.
