Trending
Sabitan Kes Rogol Da’i Syed Tak Selamat, Peguam Dakwa Hubungan Atas Dasar Suka Sama Suka
Peguam Da’i Syed mempertikaikan sabitan kes rogol di Mahkamah Rayuan.
Keputusan rayuan akhir membabitkan pendakwah selebriti, Da’i Syed ditangguh ke 17 Ogos akan datang.
BACA: Da’i Syed Didakwa Lakukan Gangguan Seksual, Wanita Ini Siap Bersumpah!
Memetik laporan Bernama, peguam yang mewakili Da’i Syed berhujah bahawa sabitan terhadap Da’i Syed tak selamat dan tak wajar dikekalkan.
Jelasnya, terdapat kelemahan dalam kes pihak pendakwaan, khususnya berkaitan isu persetujuan.
Semasa prosiding, peguam Datuk M. Athimulan yang mewakili Da’i Syed berhujah Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam mensabitkan perayu selain dapatan melabelkan mangsa sebagai seorang wanita naif.
Hujah pihak merayu mendakwa hubungan seksual berlaku suka
Peguam Da’i Syed berhujah bahawa keterangan saksi pendakwaan sendiri menunjukkan wujud beberapa keadaan yang menurut pihak pembelaan menggambarkan hubungan seksual antara perayu dan mangsa berlaku atas dasar suka sama suka.

Menurut Athimulan lagi, hakim Mahkamah Sesyen yang pertama sebelum ini membuat dapatan bahawa mangsa bersetuju melakukan hubungan seks berdasarkan tindak-tanduknya sebelum dan selepas kejadian.
Susulan dapatan itu, Da’i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful pada awalnya dilepas dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan tanpa dipanggil membela diri.
Namun, keputusan tersebut kemudian diketepikan oleh Mahkamah Tinggi selepas mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Da’i Syed kemudiannya diarahkan membela diri sebelum akhirnya didapati bersalah oleh hakim Mahkamah Sesyen yang lain.
Peguam dakwa berlaku ketidakadilan
Dalam hujahnya, Athimulan mendakwa hakim Mahkamah Sesyen kedua terkhilaf apabila gagal membuat penilaian maksimum terhadap keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan berlaku ketidakadilan terhadap perayu.
Pihak pembelaan turut berhujah bahawa Da’i Syed tidak pernah memaksa wanita berkenaan untuk pergi ke rumahnya.
Menurut peguam itu, mangsa mempunyai ruang untuk menolak atau beredar, namun memilih untuk tidak berbuat demikian.
Athimulan juga membangkitkan mengenai perbualan di Instagram selepas kejadian yang menurutnya dimulakan oleh mangsa.
Beliau berhujah perbualan itu tidak menunjukkan unsur tuduhan rogol, sebaliknya didakwa memperlihatkan mangsa mahu bertemu semula dengan Da’i Syed, manakala perayu beberapa kali memaklumkan bahawa dirinya sibuk.
Pada 23 Januari lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan Da’i Syed dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.
Da’i Syed yang didapati bersalah dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen.
Susulan itu, pendakwah selebriti berkenaan membawa kes tersebut ke Mahkamah Rayuan.
Dalam masa sama, pihak pendakwaan turut mengemukakan rayuan balas terhadap hukuman yang dijatuhkan.
Timbalan Pendakwa Raya Iznina Hanim Hashim yang mewakili pihak pendakwaan berhujah bahawa keterangan saksi menyokong naratif mangsa bahawa dia telah dirogol.
Beliau turut berkata terdapat bukti keadaan yang menunjukkan mangsa mengalami kemurungan serta perubahan tingkah laku selepas insiden berkenaan.
Hujahnya, mangsa mendapatkan rawatan di hospital dan laporan perubatan menyebut bahawa dakwaan serangan seksual itu adalah antara faktor yang menyumbang kepada kemurungannya.
Pihak pendakwaan turut menegaskan bahawa keputusan mangsa mengikut perayu ke rumahnya, tidak terus beredar selepas mendapati tiada orang lain di situ serta kelewatan membuat laporan polis tidak boleh dianggap sebagai tanda persetujuan untuk melakukan hubungan seksual.
Beliau berkata, bukan mudah untuk mangsa membuat laporan polis terhadap seseorang yang dikenali ramai sebagai pendakwah.

