Menerusi video yang dimuat naik @majoritiofficial, lelaki tersebut yang dilihat memandu secara lawan arus di lebuhraya SKVE telah melanggar dua penunggang motosikal sehingga berlakunya kecederaan.
Video yang berdurasi selama dua minit 30 saat itu menunjukkan lelaki berkenaan memandu dengan agak laju sebelum bertembung dengan dua penunggang motosikal yang melalui laluan tersebut.
Dapat dilihat juga kelakuan lelaki tersebut seperti berada di bawah pengaruh alkohol semasa ditahan oleh orang ramai.
Pemandu berjaya ditahan pihak polis
Harian Metro memaklumkan bahawa lelaki yang memandu secara melawan arus itu telah berjaya ditahan pihak polis.
Menurut Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, suspek ditahan kira-kira 4 petang semalam, ketika menerima rawatan di Hospital Banting selepas mengalami kecederaan di kepala ekoran kemalangan itu.
Siasatan mendapati ketika kejadian 2.49 petang semalam, penunggang motosikal Honda Dash dari arah Banting menghala ke Bandar Saujana Putra tiba di Hentian Rehat dan Rawat (RNR) Tanjung 12 Lebuhraya SKVE (arah Pulau Indah ke Bandar Saujana Putra).
Ketika itu, penunggang Honda Dash sedang bergerak lurus, tiba-tiba terlihat sebuah Perodua Bezza berhenti di lorong kecemasan menyebabkan penunggang motosikal itu terus memberhentikan kenderaannya di hadapan Perodua Bezza.
Secara tiba-tiba, Perodua Bezza bergerak semula lalu melanggar sisi bahagian hadapan Honda Dash itu sehingga penunggang terjatuh dan mengalami kecederaan ringan di kaki dan tangan.
Ahmad Ridwan menambah, suspek yang ketika ini mengalami kecederaan di bahagian kepala tidak akan direman.
Suspek ditangkap di hospital selepas dibawa dengan ambulans dari tempat kemalangan dan ditahan di wad kerana cedera di kepala.
Suspek tidak akan direman kerana mengalami kecederaan.
Isu yang membabitkan pemanduan secara lawan arus akibat daripada pengaruh alkohol ini bukanlah satu isu yang baru berlaku di Malaysia. Diharapkan ada jalan penyelesaian yang dibuat oleh badan induk yang berkenaan bagi menangani isu ini dari terus berlaku di negara ini.